Pengikut

Jumaat, Ogos 13, 2010

YANG sepatutnya bertaubat kepada Allah

SERUAN dalam khutbah Jumaat tadi ialah kembali pada ajaran al-Quran. Khatib mengingatkan, apabila kita dengan mudah berpuasa kerana menerima seruan wahyu Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 mengenai kewajiban berpuasa, maka sepatutnya ayat-ayat Allah yang lain juga diterima sebagaimana hukum berpuasa.


Eloklah dicatatkan semula antara isi al-Quran yang boleh diamalkan khasnya dalam bulan Ramadan sebagai bulan mendidik jiwa manusia.

Ali Imran ayat 133 -136 maksudnya: “Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

“(Iaitu) orang yang banyak berinfak (sedekah/berbelanja ke jalan Allah) sama ada pada waktu lapang atau sempit, dan orang-orang yang menahan rasa marah, dan yang memaafkan (kesalahan) orang lain (terhadap dirinya).  Dan Allah mencintai orang-orang yang membuat kebaikan.

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah, kemudian memohon ampunan atas dosa-dosanya dan siapa (lagi) yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah?  Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedangkan mereka mengetahui .”

Intisari mudah tiga ayat berkenaan yang dibaca dalam tadarus qur’an  ialah:

1.    Seruan muslim segera bertaubat kepada Allah.
2.     Allah menjanjikan syurga yang sangat luas kepada orang yang bertaubat.
3.     Antara orang yang bakal mendapat balasan syurga Allah itu ialah orang yang
>      menginfakkan (membelanjakan wang atau hartanya untuk kepentingan pihak lain) sama ada dalam keadaan cukup wangnya atau masa ketidakcukupan wang belanja hidup.
>     berjaya menahan marah dalam keadaan dirinya sangat tercabar dan boleh saja hendak menunjukkan kemarahannya.
>      memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya sedangkan dia berpeluang untuk membalas dendam terhadap orang itu.
>      bertaubat daripada perbuatan keji atau dosa besar yang melibatkan dirinya dan orang lain seperti berzina, membuat tuduhan palsu atau mengapi-apikan permusuhan manusia.
  bertaubat daripada menzalimi diri sendiri iaitu dosa yang terkena dirinya sendiri.
4.    Maksud taubat dalam ayat 136 pula ialah berhentinya mereka daripada melakukan dosa sedangkan mereka berpeluang melakukan kesalahan atau dosa-dosa itu seperti pada masa lalu.

Wallahu aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan