Pengikut

Khamis, Ogos 12, 2010

SELAWAT bersahut-sahutan tiada dalam Sunnah

SOLAT tarawih adalah ibadah khusus, bertaraf sunat.  Ibadah khusus merupakan satu mekanisme khusus atau khas hubungan manusia terhadap Allah.  Kalaulah Rasulullah tidak memberi tahu atau mengamalkan semasa hayat baginda sebagai seorang Rasul, yakinlah bahawa semua muslim tidak tahu apa-apa pun yang namanya solat tarawih.  Kalaulah Allah tidak mewajibkan puasa pada bulan Ramadan seperti dalam surah al-Baqarah ayat 183 (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan juga kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” maka kita sebagai muslim tidak perlu puasa wajib ini.


Menjadi prinsip dalam amal ibadah itu mesti berdasarkan petunjuk al-Quran dan Sunnah Rasulullah.  Dalam urusan ibadah khusus seperti puasa dan solat, para muslim tidak ada kebebasan menentukan perlakuan ibadah itu sendiri, melainkan berdasarkan wahyu Allah dan petunjuk Nabi.  Jika ayat 184 surah al-baqarah menjelaskan sesiapa yang diharuskan tidak berpuasa, maka itulah ketetapan yang diguna sepanjang zaman.  Kita yang sudah ada pendidikan dari universiti tetap tidak ada hak untuk menggubal atau menambah apa-apa hokum ibadah.

Bagaimana muslim tahu solat tarawih itu dilakukan pada waktu malam?  Jawabnya berdasarkan hadis nabi.  Daripada A’isyah r.a. (maksudnya): Bahawa nabi mengerjakan solat di masjid, maka bersolat di belakangnya beberapa orang. Kemudian di malam berikutnya bersolat pula nabi, maka banyaklah orang yang menurutinya… (hingga akhir hadis). Riwayat Abu Dawud.

Berapa rakaat solat Tarawih nabi?  Jawabnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Jamaah (tujuh perawi) daripada A’isyah r.a. (maksudnya) “Bahawa nabi tidak mengerjakan solat malam, baik pada Ramadan atau selainnya lebih daripada 11 rakaat.”

Hadis lain daripada Jabir r.a. (maksudnya) “Bahawa nabi mengerjakan solat dengan mereka (sahabat) delapan rakaat dan mengerjakan witir.  Kemudian mereka menanti kehadiran nabi pada malam berikutnya, maka nabi tidak keluar ke masjid.” (riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Itulah petunjuk sunnah mengenai solat Tarawih.  Selain itu tidak ada hadis yang menerangkan mengenai surah-surah tertentu sahaja yang di baca pada rakaat pertama dan kedua atau seterusnya.  Oleh kerana tidak ditemui ketentuan surahnya, maka menjadi kebebasan untuk muslim membaca surah yang dikehendaki.

Tidak ada juga ditemui dalam sunnah baginda nabi tentang bacaan salawat dan doa-doa tertentu sebagaimana yang dilakukan oleh orang Melayu Islam sewaktu bertarawih.  Maka sesiapa yang pernah bertarawih di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tidak diserukan bacaan selawat ke atas nabi dan doa kepada empat khalifah Islam.  Setelah solat dua rakaat, tidak ada apa-apa petunjuk bacaan. Imam terus berdiri dan memulakan solat yang baru pula.

Menjadi amalan yang dikatakan ‘baik’ oleh masyarakat Melayu bersahut-sahutan selawat dan doa antara setiap dua rakaat tarawih.  Sayangnya cara berselawat dan mendoakan khalifah ini tidak ada dalam petunjuk sunnah.  Semua ini hanyalah rekaan orang-orang terdahulu atas fikirannya untuk mengisi ruang antara dua rakaat itu.  Kembali kepada hak menentukan cara dan di mana sesuatu ibadah dilakukan, itu adalah hak Allah dan diterangkan oleh rasul-Nya.  Oleh itu jika kita kerap mengatakan yang umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah nabi, maka eloklah kembalikan mengikuti contoh ibadah solat Tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah. 

Siapalah kita untuk menambah bentuk atau kaedah ibadah di celah-celah solat Tarawih itu.  Jika kita masih beranggapan cara kita orang Melayu bertarawih dengan diselang-seli selawat dan bersahut-sahutan sebagai lebih baik, ertinya cara yang nabi tunjukkan kurang baik!  Begitukah pendirian kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan