Pengikut

Khamis, September 02, 2010

MENCARI Lailatul Qadr lagi....

MAKSUD firman Allah dalam surah al-Qadr: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-quran) pada malam al-Qadr (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan.  Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.


Malam al-Qadr ada hanya pada satu bulan daripada 12 bulan, iaitu Ramadan.  Daripada 30 malam dalam Ramadan hanya ada satu malam yang Allah rahsiakan, itulah malam al-Qadr. Untuk dirincikan lagi, dikatakan malam itu dalam 10 malam terakhir Ramadan, ertinya bermula malam 21 Ramadan hingga akhir bulan. Untuk lebih jitu, dikatakan malamnya ialah yang ganjil seperti malam 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29. Jika begitu ertinya malam al-Qadr bias diduga hadirnya iaitu antara lima malam itu!

Soalnya mahu mencari atau tidak, itu saja.

Beribadahlah sebagaimana yang diatur oleh sunnah nabi seperti solat malam. Solatlah sekalipun 11 rakaat, tetapi panjangkanlah setiap rakaatnya.  Bacalah al-Quran pada malam itu, kerna membaca kitab Allah adalah ibadah khusus. Berdoalah, kerna doa adalah ibadah khusus yang disyariatkan melalui sunah nabi-Nya.

Oleh kerna kita manusia banyak kehendaknya, maka mengadulah kepada yang paling berkuasa memberi permintaan kita. Itulah Allah yang Maha Pemurah. Berdasarkan sunnah nabi waktu yang paling mustajab berdoa ialah satu pertiga malam terakhir, semantara waktu paling baik doa ialah ketika sujud dalam solat kita. 

Nah, oleh itu kesempatan dalam 10 malam terakhir Ramadan, maka berdirilah solat malam pada satu pertiga malam, dan berdoalah saat wajah kita menyentuh bumi.

Maksud hadis daripada Abu Hurairah, bersabda Rasulullah: Allah swt turun setiap malam ke langit dunia, iaitu kira-kira satu pertiga malam yang akhir. Dia berfirman, “Siapa yang memohon kepada-Ku, Aku perkenankan, dan siapa yang meminta kepada-Ku, Aku beri, dan siapa yang memohonkan ampun kepada-Ku, Aku ampuni dia”. (Riwayat Muslim)

Maksud hadis daripada Abu hurairah sabda Rasulullah: Sedekat-dekat seorang hamba kepada Tuhannya ialah ketika dia sujud. Kerna itu perbanyakkanlah doa ketika sujud. (riwayat Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan