Pengikut

Jumaat, Disember 21, 2007

Jangan mati adat

SEMALAM, 20 Disember juga 10 Zulhijah di Malaysia. Saya dan keluarga berada di tanah leluhur, ke rumah ayah dan bunda. Memang agak istimewa Idul Adha kali ini sebab paginya orang kampung banyak datang ke rumah, menyembelih tiga ekor lembu sebagai korban dan seekor kambing. Malamnya ayah buat kenduri. Saya lebih suka kenduri dinamakan ‘jamuan makan’.

Jamuan makan ini merupakan farewell kerana adik saya sekeluarga akan berangkat ke UK untuk tempoh empat tahun. Maka, bermula tahun hadapan, buat sementara kami kehilangan gelak tangis anak-anaknya. Ayah dan bunda akan terasa sepi daripada kerenah cucu-cucu itu.

Begitulah adatnya sejak dahulu, merasai ada kematian, kesyukuran kerana apa-apa kegembiraan atau kerana majlis perpisahan, orang kita mengadakan kenduri. Bermula dengan membaca surah yasin dan kemudian baca tahlil berjemaah. Pengisiannya sama, menjurus kepada mengingati arwah. Pada saya sepatutnya, doa itu lebih menjurus kepada harapan dan keselamatan adik saya sekeluarga dalam perjalanan dan di negara orang selama empat tahun itu. Adat tetap adat, payah hendak diubah fesyennya sekalipun menempuh suasana berbeda. Apa tah pula jika adat diserikan dengan ritual agama.

Pemikiran saya mungkin berbeda. Semoga Allah menyelamatkan iman dan amalan saya, jika saya menyebut: Saya memang kerap solat jemaah di masjid seboleh-bolehnya lima waktu, kerana solat berjamaah di masjid itu sunah. Di surau dan masjid tidak banyak menyahut amalan sunah berjamaah, tetapi kenduri adat sungguh mendapat sambutan. Kenduri tahlilan ini selalu diadakan sebaik sahaja selesai solat Isyak. Seperti kes di rumah, sebaik saya pulang dari surau, orang sudah banyak berkumpul di rumah untuk kenduri tahlil. Ya mereka memang tidak bersolat jamaah di mana-mana surau atau masjid, tetapi menepati waktu untuk bertahlil. Subuhnya di surau tadi hanya tiga orang berbanding semalam bertahlil lebih 30 orang!

Antara solat berjamaah dan kenduri adalah salah satu contoh kebanyakan kita tidak memahami tuntutan sunah. Ini sama juga dengan banyaknya orang bertarawih pada awal bulan Ramadan, kemudian menyusut setelah setengah bulan. Citra beribadah orang kita ini sebagai citra adat. Banyak nian citra agama yang sepatutnya sunah sudah diselaputi adat bangsa.

Maaf jika saya memberi perbandingan ini dengan contoh versi Hindu di Bali tidak sama dengan Hindu di India atau Malaysia. Penganut Hindu Bali itu orang Melayu dan telah berlarutan sejak zaman Majapahit (berakhir kurun ke-14). Penyerapan adat penduduk Bali dalam ajaran Hindu, menyebabkan ritual Hindu Bali sangat berbeda dengan Hindu di Malaysia (dianut orang India). Sila rujuk semula rencana sebelumnya ‘mengapa menyembah Hyang’ yang mendedahkan pemujaan roh nenek moyang sebagai adat orang Melayu sebelum zaman Hindu-Buddha.

Jangan kaget jika dikatakan adat ritual Melayu zaman sejak zaman pra-Hindu Buddha masih melekat dalam dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah. Seperti kenduri arwah, inovasi adat ini dihiasi dengan ayat-ayat al Quran sehingga dilihat seperti kehendak sunah. Para penentang adat pengantin bersanding kerap berhujah ‘bersanding sebagai adat Hindu’. Kesilapan pendukung adat bersanding ialah tidak menyertakan sedikit bacaan al quran oleh pengantin. Jika dahulu disediakan modul bersanding yang wajib ada bacaan al Quran dan doa pemujaan roh nenek moyang oleh pengantin, maka persandingan pengantin akan kekal dilihat satu kaedah agama mendekatkan manusia kepada Allah.

Secara jujur penggiatnya mengakui Rasulullah dan para sahabatnya tidak ada acara berkenduri arwah. Tidak ada modulnya yang dimulakan dengan bacaan yasin, baca surah ikhlas, beberapa potong surah al Baqarah, tahlil dan doa. Akhirnya tentulah makan. Secara jujur juga mereka mengakui solat berjamaah setiap waktu adalah sunah Rasulullah.

Dalam satu hadis, Rasulullah pernah mengatakan bahawa Islam ini pada awal datangnya dilihat sebagai asing (berbeda dengan amalan kebanyakan masyarakat Arab Jahiliyyah), dan akan kembali dilihat asing. Jika sesiapa pun berpegang kepada sunah nabi seperti tidak mahu membuat kenduri arwah, dia akan menjadi seperti duduk di pulau yang sangat jauh: sangat terasing! Opps, sensitif ya. Saya tambah: jika anda bertekad untuk seboleh-bolehnya solat berjamaah di masjid (bukan maghrib dan isyak saja), anda juga dilihat seperti orang asing, kebanyakan masyarakat sudah tidak perduli solat jemaah zuhur, asar dan subuh ini!

(Maaf foto-foto tidak dapat disertakan, ada masalah teknikal)

1 ulasan:

  1. Di Perak Utara negeri di bawah Mufti Harussani orang Melayu masih kuat pegang adat Pegangan.Buktinya semasa majlis akad nikah,tuan rumah hidangkan satu talam khas didepan juru nikah.Talam ini berisi pulut kuning,bertih dan ubi kentang rebus yang dihiris nipis.Lepas majlis akad nikah, baca doa dan makan hidangan khurafat itu tanpa sebarang teguran oleh juru nikah yang berserban berjubah. Makan punya pasal,orang hidang telan aje jangan banyak soal.Harap pihak Mufti perjelaskan tentang adat Melayu ini.

    BalasPadam