Pengikut

Selasa, Disember 25, 2007

Hari Natal hari Krismas

HARI ini 25 Disember, kepada penganut Kristian adalah Hari Natal atau hari kelahiran Jesus. Kepada muslim Jesus itu ialah Nabi Isa a.s. Jadi mengikut agama Kristian, 25 Disember adalah Hari Raya mereka.

Beberapa agama di dunia, agama yang menyaingi Islam adalah Kristian. Jika ditelusuri, penganut Kristian juga menyembah Allah swt, Cuma konsep ketuhanan dalam akidah Islam dan Kristian nyata berbeda. Sebagai muslim wajar amat mengetahui agama yang menjadi pesaingnya. Setelah mengetahui akidah agama lain, barulah seseorang muslim dapat menyatakan dengan gagah mengapa dirinya menganut Islam.

Berdasarkan Konsensus Nicea tahun 325SM, akidah agama Kristian ada dua. Pertama dimulai dengan mempercayai adanya dosa warisan. Dosa warisan ini dikatakan berasal daripada Nabi Adam dan Hawa yang berdosa kerana melanggar perintah Allah dalam syurga. Lantaran dosa itu, Nabi Adam dan Hawa diperintahkan ke dunia tetapi Allah tidak mengampuni dosa ini. Akidah umat Kristian ialah dosa Nabi Adam dan Hawa ini diwarisi oleh manusia. Maka, asal lahir saja bayi sebenarnya membawa dosa yang dahulunya dilakukan oleh dua bibit manusia: Nabi Adam dan Hawa.

Akidah kedua Kristian ialah lanjutan dosa warisan ini ialah ‘penyaliban Jesus’ sebagai menebus atau membersihkan dosa manusia turun temurun itu. Mereka memahami Allah telah menjelma dalam tubuh Jesus untuk membersihkan semua dosa warisan ini dengan jesus mengorbankan dirinya. Dengan penyaliban (pembunuhan) Jesus ini dianggap sempurnalah dosa keturunan ini dibersihkan oleh Jesus.

Prinsip Islam pula, dosa Nabi Adam dan Hawa telah diampunkan oleh Allah semasa baginda Nabi Adam masih hidup lagi. Dalam Islam tidak ada dosa dan pahala yang boleh diwariskan atau diagih-agihkan sesama manusia. Setiap manusia menanggung amal baik dan buruknya sendiri-sendiri. Orang hidup tidak dapat memindahkan dosa dan pahala kepada mereka yang masih hidup atau kepada mereka yang telah mati. Dan orang mati pun tidak pula dapat mewariskan dosa dan pahalanya kepada mereka yang masih hidup.

Akidah Islam berkenaan Nabi Isa a.s. ialah baginda seorang manusia yang dilahirkan luar biasa, tanpa melalui persenyawaan antara benih lelaki dan perempuan. Bagi Allah, kejadian Nabi Isa digambarkan seperti kejadian Nabi Adam, dengan kalimah “kun faya kun!”

Nabi Isa adalah pesuruh Allah dan diberikan kitab Injil untuk membimbing kaumnya, bani Israel atau Yahudi. Nabi Isa a.s. tidak mati disalib seperti yang dipercayai oleh umat Kristian. Seorang pengikutnya yang curang telah diubah wajahnya oleh Allah swt, menyerupai Nabi Isa. Kemudian musuh-musuh baginda Nabi Isa menganggap orang itu adalah Nabi Isa. Lalu manusia yang diserupakan wajahnya seperti Nabi Isa itulah yang disalib.

Jika sesiapa sanggup mengkaji Bible akan menemui beberapa perbedaan fakta mengenai dua asas akidah Kristian. Tidak perlulah membuka al Quran untuk membuktikan perbedaan fakta, cukup dalam Bible itu sendiri. Begitu juga dengan konsep triniti iaitu ‘Tuhan satu dalam tiga - tiga Tuhan dalam satu’, bukan mudah difahami. Keesaan Tuhan dalam akidah Islam jauh lebih mudah difahami, sekalipun oleh orang yang sangat rendah pencapaian pelajarannya. Ini pasti sebab akidah adalah pintu masuk seseorang ke dalam Islam, tidak mungkin menjadi begitu sukar dan terpaksa melalui perdebatan yang panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan