Pengikut

Selasa, Disember 04, 2007

wow macam di Arizona!

FOTO di atas bukan di mana-mana gurun atau padang jarak padang tekukur, tetapi di satu kawasan negeri Pahang. Bukan jauh sangat ke pedalaman, tetapi kira-kira 20 kilometer dari Bandar Muadzam Shah. Saya membawa keluarga melewati kawasan ala-gurun untuk menziarahi adik yang bekerja sebagai penolong pengurus ladang jauh di sana.

Enam tahun dahulu saya pernah memasuki kawasan berkenaan, dan kawasan yang saya nyatakan ala-gurun masih lagi hutan. Jalannya memang teruk, sekarang pun masih sama. Jalan yang seronok dinaiki kenderaan pacuan empat roda. Kali pertama dahulu saya cuba masuk, setelah 15 minit memandu pada kelajuan 20 kmj, saya berhenti untuk berfikir: betulkah ada rumah orang di dalam sana? Ibu kata teruskan saja. Semalam, sebelum saya memasuki kawasan itu, saya membayangkan seronok juga dapat masuk kawasan hutan. Setengah jam memandu dalam hutan, dengan kera bergayutan dan sekali sekala ayam hutan terbang depan kereta, seronok!

Tandus, ala-gurun dengan kawasan seluas saujana mata memandang baru saja diteroka untuk dijadikan ladang sawit. Pengalaman baru juga: meredah kawasan panas berdebu merah seperti melewati kawasan gurun!

Atas nama kemajuan dan pembangunan, tidak ada salahnya menggantikan hutan dengan ladang sawit. Tetapi, untuk memperoleh keuntungan ekonomi itu, kita sedang membayar harga yang sangat mahal iaitu pencemaran alam. Ketika memandu menyususi pantai dari Pekan ke Rompin, air laut seperti terbahagi dua. Kira-kira 50 meter dari pantai airnya berwarna seperti air teh O, selepas itu baru nampak kebiru-biruan. Air sungai Pahang pun sudah seperti air teh.

Apa nasib ikan di sana? Sebelum tahun 2001, saya tinggal di Pekan Pahang, dan antara yang menyeronokkan ialah memancing ikan di pantai. Dari pantai di Pekan menganjur ke Rompin, kawasan memancing. Kalau setakat gelama dan ikan bolos, duduklah di mana-mana. Nasib lebih baik bawa pulang kerapu dan pari. Sekarang, masih seronokkah ikan berkunjung di air teh O?

Harga yang mahal lagi? Negara wajib mengimport tenaga buruh di ladang-ladang. Sejak tanah hutan dipugar sehingga anak-anak sawit mula menghijau, semua menggunakan tenaga manusia yang gagah perkasa. Negara mahu pekerja yang sanggup bergelumang dengan lumpur, keringat dan bau busuk entah apa-apa. Yakinlah, rasanya tidak ada remaja dan orang muda Malaysia yang sanggup meninggalkan keluarga, kampung laman dan tinggal di rumah-rumah kongsi seperti yang dilakukan oleh warga asing. Orang Malaysia mahu bekerja, berehat dan menikmati kehidupan yang ada privasi. Orang seberang sanggup bekerja keras, melupakan kenikmatan hidup dan mengorbankan hidup berkeluarga. Mereka sanggup berasak-asak dalam rumah kongsi yang sangat minimum kemudahannya.

Ingat, kerana kesanggupan warga asing itulah maka ladang-ladang di negara kita dapat mencapai sasarannya. Jadi, kita terima sajalah jika Menteri Tenaga Kerja Indonesia menyatakan terdapat 2.4 juta warganya yang bekerja di negara kita. Itu baru dari Indonesia. Dari Vietnam, Bangladesh, Pakistan dan Filipina? Jika benar penduduk negara kita 26 juta orang, maka kita terima sajalah jika dalam 26 juta orang itu, ada tiga juta warga asing!

Selain itu kita terima sajalah dengan kenyataan kerajaan yang menanggung RM 1 juta sehari memberi makan pendatang asing yang sedang dalam tahanan menunggu untuk di hantar ke negara asal mereka. Kitalah yang membayarnya, daripada segala macam cukai. Ertinya kita rakyat Malaysia sedang memberi makan percuma RM 1 juta sehari kepada warga-warga asing di depot-depot tahanan sementara. Ya, ya, ya…, warga asing itu yang sedang ditahan untuk dihantar pulang tidak menyumbang apa-apa pun kepada negara, malah warga Malaysia yang baik hati sedang membelanja makan mereka! Mereka mendapat kawalan percuma dan untuk dihantar ke negara asal nanti, dapat tambang percuma lagi!

Itulah dua harga termahal sedang dibayar oleh negara: Pencemaran alam dan kemasukan buruh asing. Kita ada pilihan lain atau tidak?

1 ulasan:

  1. Setahun belanja makan RM365 juta kepada warga asing. Macam sama nilai dengan pampasan kerajaan kepada syarikat tol jika tol tidak dinaikkan.

    BalasPadam