Pengikut

Sabtu, Disember 08, 2007

saya baca Bible

SEWAKTU isu Lina Joy meledak, beberapa kiriman SMS saya terima meminta agar berhati-hati dengan usaha sesetengah pihak yang mengedarkan Bible berbahasa Melayu secara percuma. Saya menjawab antaranya: mengapa saya tidak dapat lagi sehingga saya terpaksa membeli alkitab Berita Baik dengan harga RM25.00! Saya tidak kaget dengan ketakutan sahabat dan teman terhadap Bible. Tentulah bimbang kalau membaca Bible, akan terpengaruh dan akhirnya murtad!

Ya, saya pembaca Bible tetapi tidaklah setekun membaca al Quran dan memahami maksudnya. Di samping saya desak agar anak-anak membaca al Quran saban hari, saya tidak ragu-ragu menunjukkan Bible kepada mereka. Bacalah, setelah itu baru tahu kandungan sebenarnya. Mendengar hujahan dan komentar orang terhadap Bible, kemudian membuat persepsi ketakutan dengan isi kandungannya bukanlah watak muslim yang selalu berbangga dengan kalimah ‘iqra, bacalah….. Satu pesan besar saya, baca Bible bermula dari awal, muka satu, dua, tiga dan seterusnya. Baca semuanya dan jangan baca secara tebuk-tebuk. Bahagian pertama ialah Perjanjian Lama yang dikatakan kandungan kitab Taurat. Di sana kita akan menemui cerita atau sejarah bangsa Yahudi, kisah nabi-nabi yang sebahagiannya memang dalam pengetahuan wajib kita. Kita juga akan menemui tentang ketauhidan dan sifat-sifat Allah yang mengkagetkan.

Suka saya beri contoh dalam kitab Kejadian 9:20-21 mengenai Nabi Nuh. “Nuh ialah petani, dan dialah yang mula-mula menanam anggur. Setelah Nuh minum wainnya, dia menjadi mabuk. Dia menanggalkan semua pakaiannya lalu berbaring telanjang di dalam khemahnya.” Maaf, sesiapa pun tidak menemukan catatan memalukan nabi-nabi dalam al Quran.

Kita akan diberitahu asal usul sesuatu bangsa dengan membaca cerita Nabi Lut. Ringkasnya negeri Sodom dan Gamora telah hancur, penduduknya mati. Kemudian Nabi Lut dan dua anak perawannya lari.

Catatan Kejadian 19:30-38 “Oleh sebab Lot berasa takut tinggal di Zoar, dia bersama dengan kedua-dua anak perempuannya pergi ke pergunungan dan tinggal di dalam gua. Anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, “Ayah semakin tua dan tiada seorang pun di seluruh negeri ini yang dapat mengahwini kita supaya kita mempunyai anak. Marilah kita membuat ayah mabuk, lalu kita tidur dengan dia supaya kita mendapat anak daripadanya.” Pada malam itu mereka memberi bapa mereka minum wain, lalu anak perempuan yang sulung berseketiduran dengan bapanya, tetapi bapanya terlalu mabuk sehingga dia tidak tahu akan apa-apa pun yang berlaku.

Esoknya anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, “Aku sudah tidur dengan ayah semalam. Pada malam ini kita membuat dia mabuk lagi. Kemudian engkau pergi tidur dengan dia, supaya kita masing-masing mendapat anak.” Demikianlah pada malam itu mereka membuat bapa mereka mabuk lagi, lalu anak perempuan yang bongsu pula berseketiduran dengan dia. Sekali lagi Lot menjadi terlalu mabuk sehingga dia tidak tahu akan apa-apa pun yang berlaku. Kemudian kedua-dua orang anak Lot itu mengandung kerana bapa mereka sendiri. Anak perempuan yang sulung melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Moab. Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Moab yang ada sekarang. Anak perempuan yang bongsu juga melahirkan seorang anak lelaki yanag dinamakan Ben-Ami. Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Amon yang ada sekarang.”

Lagi menarik ialah mengenai gelaran Israel yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Yaakub. Lihat Kejadian 32: 22-30. “Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok. Setelah Yakub menyeberangkan mereka, dia kembali dan mengirim juga segala miliknya ke seberang. Tetapi dia tinggal di situ sendiri.

Kemudian datanglah seorang lelaki bergomol dengan Yakub sampai menjelang pagi. Apabila orang itu berasa tidak akan menang dalam pergomolan itu, dia memukul pinggul Yakub sehingga sendinya terkehel. Orang itu berkata, “lepaskanlah aku, sebentar lagi matahari akan terbit.”

Yakub menjawab, “Saya tidak akan melepaskan tuan, kecuali tuan memberkati saya.”

“Siapa namamu?” Tanya orang itu.

“Yakub,” jawabnya.

Orang itu berkata, “Namamu bukan Yakub lagi. Engkau telah bergomol dengan Allah serta manusia, dan engkau sudah menang; kerana itu sekarang namamu Israel.”

Yakub berkata, “Sekarang beritahulah saya nama tuan.”

Tetapi orang itu menjawab, “Tidak perlu engkau mengetahui namaku!” Kemudian dia memberkati Yakub.

Yakub berkata, “Aku sudah bertemu muka dengan Allah dan aku masih hidup.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Peniel.”

Cerita Nabi Yaakub bergusti dengan Allah dan Allah pula yang kalah telah menambah jelas penolakan saya terhadap akidah ajaran Bible. Saya yakin tidak akan terkeliru jika meneruskan pembacaan.

Sebelum cerita Nabi Yakub lagi, Bible sudah kalut dengan berapa orang anak Nabi Ibrahim. Kejadian 21:9 jelas mencatat Nabi Ibrahim mempunyai dua orang anak. “Pada suatu hari Ismael anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir itu, sedang bermain dengan Ishak anak Sara.” Sara sebagai isteri Nabi Ibrahim sudah diceritakan dalam Kejadian 12:4-5.

Namun perhatikan Kejadian 22:2 yang menyebut Ishak anak tunggal Nabi Ibrahim. “Allah berfirman, Pergilah ke tanah Moria dengan Ishak, anakmu yang tunggal, yang sangat engkau kasihi…..”

Setelah membaca cerita-cerita dalam Bible ALKITAB BERITA BAIK itu bertambah yakinlah dengan maksud ayat al Quran surah al Baqarah: 79 yang menyatakan kitab Taurat dan Injil yang ada sekarang (Bible) sudah ditokok tambah oleh manusia. Membaca Bible juga dapat menentukan manakah yang sama dengan al Quran dan yang berbeda. Hal ini sama juga dengan kita membuat kajian mengenai kejadian langit dan bumi yang sudah dicatat dalam surah al Anbiya: 30.

3 ulasan:

  1. asalamualaikum..
    saya amat kagum dengan blog akhi..
    salam ukhwah penuh kerinduan ilmu daripada saya..msrizal

    BalasPadam
  2. Salam Suparjo,

    Saya pernah membaca posting anda satu ketika dulu di al-ahkam dan tranungkite (tak salah saya). Saya tertarik dengan komentar anda kerana ia sedikit sebanyak mencerminkan pemikiran saya. Jika tak keberatan, saya berharap sedara juga dapat melayari blog saya (alamat di abwah)agar sama-sama kita dapat bertukar pendapat dan menambah ilmu.. Insya-Allah..

    http://pemikir-islam.blogspot.com/

    BalasPadam
  3. Terima kaksih, saya sangat menghargai apa-apa daripada kalian. Semoga usaha kita diberkati Allah.

    BalasPadam