Pengikut

Selasa, Disember 11, 2007

daripada Bible ke cerpen

ENTAH sejak kapan saya jadi berminat mahu tahu ajaran Kristian. Namun saya akui ada cerita peribadi yang seakan mahu dirahsiakan oleh keluarga. Ibu ada bercerita, tetapi pelengkapnya ada pada orang-orang lain. Seperti ketika di Kedah, seorang rakan pernah mendengar cerita ini daripada keluarganya.

Ini perjalanan sejarah keluarga sebelah ayah. Tahun 1954 ketika ayah berusia 18 tahun diminta hadir ke Singapura untuk menghadiri pengkebumian arwah Wak Duan, abang sulung ayah. Arwah sebelumnya pelajar pesantren di Perak, kemudian ke Medan. Bagaimana dan apa kerjanya di Singapura, tidak diketahui. Namun ayah dapat hadir melihat jenazah arwah. Sewaktu ayah meminta izin mahu mengambil jenazah daripada rakan-rakan arwah, mereka tidak mengizinkan. Apa daya ayah, anak remaja dari desa tidak berpelajaran dan tidak tahu apa-apa cerita sehingga arwah ke pulau itu. Pihak rakan arwah mahu mengurus jenazah di gereja!

Terkesan dengan cerita itu saya menulis cerpen bertajuk ‘Raden’ terbit dalam Berita Minggu 23 Julai 1995. Memang plot cerpen itu mirip pengalaman peribadi keluarga ayah. Sebelumnya, cerpen pertama saya semasa bermukim di Kedah ‘Gelombang Keyakinan’ (Mingguan Malaysia 20 September 1987) juga digarap kerana dilema antara menjadi muslim atau ateis. Namun cerpen saya yang benar-benar hasil pembacaan Bible ialah ‘Sabda Cinta’ dalam Berita Minggu 11 Mac 2007.

Sedar atau tidak, saya telah meneroka beberapa booklet berkaitan dialog antara Islam dan Kristian. Tentulah antaranya karya Ahmad Deedat. Kerancuan dunia siber lebih banyak menemukan saya dengan pengalaman individu berhijrah akidah dari Kristian kepada Islam. Namun saya juga terkesan dengan penukaran akidah ke Kristian seorang pendakwah dari pesantrenan (sekolah pondok) di seberang. Memang saya bimbang catatan itu akan merongrong keyakinan anak muda lain. Bayangkan saja Hamzah seorang pelajar agama, menjadi pendakwah kepada golongan abangan. Kemudian tersua dengan lelaki Kristian, mereka berdialog. Dalam dialog mula timbul keterbukaannya dengan ketuhanan Jesus yang menjadi akidah Kristian. Hamzah seorang muslim, berkali-kali pula bermunajat kepada Allah dan bersolat isytikarah, mohon petunjuk Allah mengenai jalan akidahnya: Islam atau Kristian. Akhirnya apa? Dia mendakwa Allah melorong akidahnya kepada Kristian!

Pengalaman keluarga ayah dan catatan Hamzah masuk Kristian menyebabkan saya tertanya-tanya apakah yang dipelajari di pesantren sehingga ditewaskan dengan dialog-dialog kecil (kes Hamzah). Semasa saya dalam kuliah, ada satu kursus Pemikiran Saintifik yang berguna dalam saya membuat penilaian dan keputusan. Mudah saja, antaranya seperti konsep berpasangan atau berlawanan. Contohnya, kita mengenal warna hitam yang dianggap sebagai kotor kerana di baliknya ada warna putih yang dikenal mewakili kebersihan. Orang kurang berkesan memahami kepolosan warna putih jika tidak dihamparkan warna hitam legam penuh kekotoran.

Jika saya menerima al Quran sebagai satu-satunya kitab suci dan total daripada Allah, maka mana di balik al Quran? Jawabnya yang paling hampir dan disebut-sebut dalam al Quran, ialah Bible yang dalamnya terkandung Perjanjian Lama Taurat) dan Perjanjian Baru (Injil). Maka saya memberanikan diri meneroka Bible, sekurang-kurangnya sekali baca. Dan nyata, apa yang firmankan Allah dalam surah al Baqarah ayat 79 ditemui dalam banyak tempat dalam Bible. Ya, asalkan saja kita sanggup mengambil masa meneliti dan berfikir membanding-banding antara al Quran dan Bible.

Saya masih utuh dalam akidah muslim dan tidak ada sesiapa cuba mempertikaikan akidah saya kerana membaca Bible.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan