Pengikut

Isnin, Disember 17, 2007

Terliur makan daging korban!

SAYA dan seisi keluarga tujuh orang pernah melakukan korban seekor lembu pada idul adha. Sebelumnya saya tidak bernazar apa-apa untuk melakukan korban ini. Biasa, ada duit beli lembu, sampai hari aidul adha sembelihlah lembu itu. Tetapi seorang yang ada pengaruh di situ telah memfatwakan korban saya sebagai wajib, maka diharamkan saya dan keluarga memakan daging korban lembu itu.

Menurut pegangan fikahnya, soal niat telah menjadikan korban saya sebagai wajib. Ya, saya memang telah berniat untuk berkorban, beberapa bulan sudah menempah lembu untuk korban itu. Terdetik saja dalam hati untuk melakukan korban bererti telah berniat. Rupa-rupanya dengan niat dan telah menempah lembu dikatakan sebagai wajib saya menunaikan hasrat berkorban. Maka dianggap korban lembu itu satu yang wajib. Saya faham ini seperti korban wajib kerana nazar!

Soalan saya yang tidak mampu dijawab ialah: Bilakah seseorang itu dapat melakukan korban tanpa niat? Maksudnya korban secara tidak sengaja supaya lembu yang disembelih itu sebagai korban sunat dan mereka boleh memakan sebagian daging korbannya. Bagi saya kerja tanpa niat atau tidak disengajakan sesuatu yang mustahil. Namun saya minta bantuan daripada sesiapa yang tahu dengan dalil al Quran dan sunah Nabi untuk menyokong hujah di atas.

Bagaimana pun telah ada dalil al Quran dan Sunah yang membolehkan seseorang yanag berkorban haiwan memakan sebagian daging itu. Lihat rencana di bawah.


Soalan: Saya berniat untuk melakukan kurban tahun ini. Tetapi saya belum faham berapa banyak daging yang dapat saya makan daripada bahagian daging korban saya itu. Harap dapat penjelasan. (Munir Samat, Besut, Terengganu.)

Jawaban: Dalam isu ini terdapat pelbagai pendapat ulama. Sesetengah menyatakan sekiranya kurban tersebut adalah sunat dan sukarela, maka anda digalakkan memakan sebahagian daging tersebut. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah pernah berkurban sebanyak 63 ekor unta, kemudian menyerahkan kepada Saidina Ali untuk meneruskan kurban tersebut. Manakala bakinya lagi, lalu baginda perintahkan mengambil sedikit daripada setiap bahagian daging kurban tersebut, lalu dimasukkan ke dalam periuk dan dimasaknya. (hadis riwayat Muslim).

Kata sebahagian ulama lagi, harus anda memakan separuh dan bersedekah dengan yang separuh lagi. Ini berdasarkan firman Allah dalam al Quran surah Al-Hajj: 28 bermaksud, “Maka hendaklah kamu makan sebahagian (separuh) daripadanya dan beri makan sebahagian lagi kepada fakir miskin yang merempat.”

Menurut Imam besar As-Syafie r.a. dalam kaul jadidnya: Hendaklah dimakan daripada daging tersebut satu pertiga daripadanya, dan dua pertiga lagi dibahagi dengan memberi hadiah kepada al-Qania (orang berada) dan bersedekah kepada al-Muktar (fakir melarat) dan ini sesuai dengan maksud firman Allah dalam alQuran surah Al-Hajj: 36, “Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagian syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (telah terikat). Kemudian apabila telah roboh (mati) maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang dengan rela dengan apa yang ada padanya (iaitu orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta. Demikianlah kami telah menundukkan unta-unta untuk kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur”.

Menurut penjelasan ulama, daging itu dibahagi tiga bahagian. Bahagian untuk orang berada boleh diberi makan (jamuan) sahaja, manakala untuk orang miskin harus diberi daging kurban untuk mereka. Wallahu aklam.

Mohd Yusof Abas, Mingguan Malaysia 04/11/2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan