Pengikut

Ahad, April 15, 2012

PENIAGA sesat akidah yang menyesatkan pelanggannya


DALAM filem Seniman Bujang Lapok ada babak Sudin yang menjampikan ‘batu hikmat’ kepada Ramli supaya mudah mendapatkan pinjaman.   Akhirnya apabila Ramli gagal mendapat pinjaman yang diinginkan, Sudin kesal dan melemparkan batu hikmat (dibeli dengan harga RM5.00, zaman hantaran mas kahwin RM200.00!) ke dalam longkang.



 Balang yang mengandungi objek segi empat

Sore 14 April 2012 di Pasar Malam di daerah Jengka Pahang, saya terjumpa seorang lelaki menjual batu-batu untuk dibuat cincin.  Terdapat tiga piring yang mengandungi batu-batu pelbagai warna. Ada yang ditulis ‘untuk bisnis’, ‘perkasihan’ dan ‘jaga diri’.  Berikut adalah antara dialog saya dengan penjual batu-batu hiasan cincin itu.

NMS

Penjual


NMS


Penjual


NMS

Penjual










NMS


Penjual

NMS

Penjual
Apa maksud jenis-jenis batu dalam piring ini Pak?

Ooo, jadi saudara tak tahu pasal batu.  Nanti kalau saya ceritakan banyak-banyak jadi tak percaya pula.

Memang tak tahu pasal batu.  Jadi yang dinamakan untuk bisnis apa?

Kalau memakai batu itu, ada rezekinya.  Akan menambah rezekinya.

Jadi batu ini ada kuasa?

Ya, ada kuasa…tapi bukan semua orang boleh memakai batu.  Ada batu sesuai untuk saya tidak kepada saudara.  (Penjual mengambil piring batu dan mendekatkan pada satu balang mengandungi air yang di dalamnya tergantung objek segi empat berwarna kuning)  Kalau itu berputar baru serasi namanya dan ada faedahnya.  (kemudian dia mendekatkan satu piring lagi dan mendekatkan pada balang berkenaan, dan memang objek yang tergantung itu berputar atau bergerak-gerak).  Nah, ini tanda serasi.  Tapi  batu ini serasi dengan saya.

Apa dalam benda itu Pak? (maksud saya benda segi empat yang tergantung)

Kitab qu’ran.  Kitab paling kecil.

Siapa yang menggerakkannya?

Ada khadamnya. Dia yang menggerakkan.
(Saya agak, mesti jin atau syaitan! Saya mengambil piring batu lain dan mendekatkan pada balang, tapi tak ada respon.  Saya ambil batu-batu lain untuk menguji lagi dan masih tidak menemukan batu yang boleh menggerakkannya.)
Kalau tidak ada yang serasi hari ini mungkin pada hari lain.

Kemudian saya hanya berdiri untuk terus memerhati dia bercakap dan berniaga.  Tidak lama kemudian datang seorang lelaki muda dan memilih batu.  Penjual pun menerangkan kepadanya sebagaimana dia lakukan kepada saya.  Dia mengeluarkan satu kotak kecil batu berwarna hijau dan menyuruh lelaki itu mendekatkan pada balang berair itu.  Dan kotak kecil yang dikatakan qur’an kecil itu bergoyang-goyang.  Lelaki itu mahu membelinya kerna percaya hikmat atau serasi batu itu pada dirinya.  Sebelum diserah kepada lelaki muda berkenaan, batu hijau yang dikatakan ‘jade’ itu dijampi, diusap beberapa kali, ditiup dan disapu minyak wangi. Harganya RM20.00!

Tidak lama datang dua perempuan muda kenalan lelaki muda tadi.  Mereka pun mahu mencuba kerna percaya apa yang diberitahu si lelaki muda tadi.  Tidak lama salah seorang perempuan itu, dia sudah mendapat batu yang dapat menggoyangkan objek dalam balang berair itu. Dan batu itu pun dijual kepadanya.

Yang saya hairan, mengapa usaha saya tetap gagal untuk mendapat batu hikmat dengan tanda objek itu bergoyang-goyang.  Mungkinkah si khadam jin atau iblis tahu minda saya sedang mengecam kerja-kerja bodoh itu?

Demikianlah babak perniagaan mistik batu.  Saya yakin penjual batu ini seorang penipu.  Dia menipu orang-orang yang bodoh tetapi ada keinginan macam-macam.  Si penjual, dengan bantuan makhluk halus memperdaya orang ramai dengan ‘batu serasi’ supaya pemakai batu itu kononnya akan maju perniagaannya, mudah mendapat pekerjaan atau jawatan tinggi, senantiasa bahagia rumah tangga atau selamat daripada gangguan orang lain.  Pokoknya si batu hikmat itulah yang akan membantu si pemakainya menjalani kehidupan yang bahagia dan mewah nanti!

Inilah perniagaan secara syirik (menyengutukan Allah) dan menyesatkan pula orang lain. Konon si peniaga tahu hal ghaib, iaitu faedah atau keuntungan setelah memiliki batu-batu hiasan cincin!

Maksud ayat 26-27 surah al Jin: “(Dialah Allah) Yang mengetahui hal ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada rasul yang diredai-Nya.  Maka seseungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (para malaikat) di depan dan belakangnya.”

Maksud ayat 59 surah al-An’am: “Dan pada sisi Allah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri.  Dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan lautan, dan tidak sehelai pun dauh yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji pun ke bumi dalam kegelapan dan tidak sesuatu yang basah atau kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauhul Mahfuz).”

Jadi, bagaimana seorang manusia penjual batu-batu hiasan cincin mengetahui nasib-nasib seseorang berdasarkan batu-batu yang akan dipegangnya?

Ahad, April 08, 2012

AHLI politik tidak belajar sejarah Perjanjian Pangkor 1874


Sejarah untuk diambil iktibar, untuk diikuti jika baik dan dijadikan teladan  dan sempadan jika buruk.  Al-Quran pun menyenaraikan sekian banyak peristiwa sejarah. Sama ada kepada manusia hari ini atau kepada mereka zaman Nabi, semua itu sejarah.  Contohnya kisah Nabi Musa bersama Bani Israel.  Semua itu adalah untuk dijadikan iktibar.

Jangan lupakan sejarah Perjanjian Pangkor 1874.  Apabila Sultan Ali mangkat, sepatutnya Raja Abdullah menjadi Sultan Perak, tetapi kerana masalah politik anak-anak raja dan pembesar, Raja Yusuf yang dilantik sebagai Sultan Perak. Perak sudah mempunyai Sultan, tetapi Raja Abdullah merasakan dia paling berhak dan mahu mengambil takhta.  Raja Abdullah sebenarnya lemah kerana sokongannya kecil, hanya di Hilir Perak.  Orang yang lemah dan mahu menjadi ketua, pasti memerlukan sokongan.  Orang yang menyokongnya pasti mahukan jaminan habuan daripadanya apabila dia berkuasa.  

Raja Abdullah yang lemah meminta bantuan British untuk menjadi Sultan Perak. Maka dibuat Perjanjian Pangkor antara Raja Abdullah dengan British.  Benar Raja Abdullah ditabal sebagai Sultan Perak, tetapi British yang lebih berkuasa kerana Raja Abdullah seorang yang lemah.  Setiap pihak yang menyokongnya mahukan habuan kerana menyokongnya.  Oleh kerana British adalah penyokongnya yang paling besar, maka British menetapkan apa saja yang mesti dilakukan oleh Raja Abdullah sebagai Sultan Perak. Janganlah hairan apabila Raja Abdullah menyesal dan berpakat mengusir British dari Perak. 

Raja Abdullah masih tidak percaya bahawa dirinya seorang Sultan yang lemah.  Lemah sebab disokong oleh sebagian kecil saja bangsa Melayu Perak.  Bangsa Melayu Perak waktu itu pula bukanlah tinggi ilmu, teknologi dan kuasa ekonominya.  Mereka jauh lebih lemah berbanding dengan kaum pendatang Cina yang jumlahnya lebih kecil dengan bangsa Melayu Perak.  Benar, Raja Abdullah dan segelintir Melayu Perak berjaya dalam misi menghapuskan Residen (jawatan seperti Menteri Besar) Birch, tetapi semua itu sebenarnya menambah musibah kepada dirinya.

Dalam mana-mana pengalaman sejarah, pihak yang kalah dalam pertikaian politik mesti kehilangan segala-galanya.  Pihak yang kalah akan dipaksa menerima apa saja perjanjian yang dipaksakan kepadanya.  Sejarah zaman moden misalnya menyaksikan Jerman terpaksa menerima semua syarat perjanjian yang dipaksakan oleh pihak yang mengalahkannya dalam Perang Dunia Pertama.  Itu juga berlaku terhadap Raja Abdullah dan bangsa Melayu Perak dahulu.  Apakah lagi harga diri dan saki-baki kuasa yang boleh dibanggakan kalau dirinya sendiri pun dibuang negeri? Kemudian apabila seorang lagi anak raja dilantik sebagai Sultan Perak oleh British yang menang, apa sebenarnya kuasa dan pengaruh yang ada?  Hanya duduk dan melihat semua tindakan pihak yang ‘membantunya’ melantik menjadi Sultan. Konon-konon ada status Ketua Negeri, apa kuasa banginda?

Hari ini Malaysia ada pemerintah.  Setiap negeri ada Menteri Besar dan Perdana Menteri peringkat Persekutuan Malaysia.  Namun pertikaian politik dalam negara adalah yang paling kritikal sejak 1957.  Walaupun krisis politik pernah berlaku sehingga mencetuskan rusuhan kaum 1969, tetapi bangsa Melayu yang jumlahnya hanya 60 peratus tidaklah terus ‘berperang’ untuk saling memusnahkan antara satu sama lain.  Hari ini, projek saling menjadi abu dan arang kepada bangsa Melayu (baca juga umat Islam) sangat rancak.  Setiap puak Melayu disokong oleh pihak lain sebagaimana dahulu puak Ghee Hin dan Hai San berpihak kepada mana-mana anak raja dalam krisis politik Melayu sebelum Perjanjian Pangkor.

Ahli-ahli politik hari ini memang ego seperti egonya Raja Abdullah yang sebenarnya lemah.  Hari ini pihak yang berkuasa sebenarnya lemah kerana mendapat sokongan minoriti bangsa Melayu.  Keadaan ini sama dengan kedudukan Raja Yusuf yang menjadi sultan Perak sebelum Perjanjian Pangkor 1874.  Lemahnya Raja Yusuf, terpaksa menerima keputusan perjanjian antara British dan Raja Abdullah yang membuang dirinya sebagai Sultan Perak!

Kita boleh melihat kuasa dan pengaruh pemimpin negara yang lemah sebab sokongan terhadapnya menyusut.  Kaum yang kecil pun boleh mendapat habuan tidak munasabah hanya apabila meminta (baca mengugut) kepada pemimpin.  Pada waktu yang sama seorang lelaki yang sebenarnya sangat lemah kemaruk hendak menjadi Perdana Menteri.  Lelaki ini sama saja dengan Raja Abdullah yang sangat percaya hanya dia paling layak menjadi Sultan Perak sebelum Perjanjian Pangkor.

Oleh kerana dia lemah (kerana masalah moral dan sokongan yang kecil) dan mahu menjadi PM, maka dia terpaksa meminta sokongan pelbagai pihak.  Sejarah sedang berulang, tetapi ahli-ahli politik tidak mahu belajar daripada sejarah.  Anak-anak muda pula kian lupa sejarah.  Mereka tidak tahu menggunakan ilmu sejarah dalam membina kehidupan.

Kita wajib faham, siapa yang kalah dalam politik akan kehilangan segala-galanya.  Kekalahan politik bukan sahaja kerana kalah pilihan raya, tetapi kalah kerana sentiasa diarah dan dipaksa melakukan apa saja oleh pihak yang menang.  Orang yang kalah, sekalipun kelihatan ada kuasa tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukannya.  Dia tidak bebas sebagaimana terbelenggunya tangan Raja Abdullah ketika menjadi Sultan Perak dahulu.

Sejarah untuk dijadikan iktibar, tetapi orang yang ego tidak mahu mengambil iktibar.

Isnin, Mac 26, 2012

HELAH kaki judi di pekan Sabak Bernam



BERJUDI merupakan satu kesalahan jenayah yang tercatat dalam al-Quran.  Kerajaan negeri Selangor telah menjadikan satu undang-undang bertulis apabila dijadikan Enakmen Jenayah Syariah 1995.
BAHAGIAN III - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUCIAN AGAMA ISLAM DAN INSTITUSINYA
Seksyen 17. Berjudi.

(1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

(2) Tiada seorang pun boleh disabitkan atas kesalahan di bawah seksyen ini kerana didapati berada di tempat yang merupakan rumah judi jika dia memuaskan hati Mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa tempat itu ialah rumah judi. 

(3) Dalam seksyen ini, "rumah judi" ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup , yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.


Saya hendak mendedahkan taktik kaki judi muslim di pekan Sabak (Sabak Bernam) yang berhelah semasa membeli nombor ramalan.  Jika anda berdiri di pintu Maybank berdekatan stesyen minyak Mobil akan kelihatan sebuah kedai kopi bangunan kayu dan sebuah kedai nombor ramalan berwarna kuning.  Antara dua premis perniagaan itu ialah sebuah bengkel membaiki motorsikal.

Kaki judi muslim tahu dirinya boleh ‘dipegang’ oleh penguatkuasa syariah jika berada di dalam kawasan kedai nombor itu sama ada sedang membeli nombor atau sekadar melihat-lihat apa yang ada.  Oleh itu kebanyakan kaki judi muslim akan berkumpul di kedai kopi milik seorang Tionghua.  Kemudian, ada seorang Tiongua (lelaki atau perempuan) sebagai ‘runner’ yang mengambil wang daripada pelanggan yang ‘ngopi’ di kedai itu untuk membelikan nombor-nombor judi di kedai judi bersebelahan bengkel motorsikal.

Agaknya mereka berhujah, “Kami tidak membeli nombor ekor, orang Tionghua itu yang memberlinya.”

Saya teringat cerita dalam al-Quran mengenai helah kaum Yahudi yang dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu.  Allah menguji mereka dengan menjadikan banyak ikan di laut (tepi pantai) pada hari Sabtu. Oleh itu mereka berhelah dengan membuat terusan yang menyebabkan ikan yang begitu banyak pada hari Sabtu akan terperangkap dalam terusan yang dibina.  Benar, mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi itulah helah mereka memerangkap ikan pada hari Sabtu yang dilarang oleh Allah itu.  Akhirnya Allah menghukum mereka menjadi ‘kera’.

Begitulah, kedai judi nombor yang katanya untuk memenuhi permintaan kaum bukan Islam telah menjadi masalah kepada masyarakat Islam pula. Orang bukan Islam tahu muslim tidak boleh berjudi, tetapi atas permintaan muslim itu orang bukan Islam membantunya.

Sabtu, Mac 24, 2012

PENYEBARAN set istighfar palsu atas nama nabi?


KETIKA saya dan anak keluar dari pintu Masjid Sultan Hishamuddin Sabak Bernam, ada tersusun set fadilah beristighfar.  Maka saya mengambil dan membacanya.  Saya yakin ini bukanlah kerja AJK masjid, melainkan ada orang yang menyebarkannya secara percuma kerna percaya isi kandungannya benar dan bermanfaat kepada umah.

Melihat maksud-maksud hadis yang didakwa sabda Rasulullah pun sudah curiga mengenai kesahihan hadis ini. Tanpa riwayat (seperti al-Bukhari, Ahmad atau Imam Muslim, sekadar beberapa contoh) antara sebab suatu yang didakwa sabda Rasulullah sebagai tidak benar.  Soalnya siapakah yang meriwayatkan hadis-hadis itu?

Set itu ternyata hasil salinan daripada buku ‘Doa Istighfar Kubra’.  Ini tertera di atas sekali risalah berkenaan.  Antara yang didakwa hadis nabi ialah “Hai Ali ibn Abi Talib tulis olehmu akan istighfar ini hingga akhirnya, maka ditulis oleh Ali ibn Abi Talib r.a."

Kedua, “Hai Ali, barang siapa yang membaca istighfar ini atau taruh di rumahnya atau pada mata bendanya atau menanggungnya, maka dikurniakan Allah pahala 80,000 nabi, 80,000 sedekah, 80,000 malaikat. 80,000 orang syahid, 80,000 haji dan umrah dan 80,000 masjid.”

Jelaslah ini pembohongan atas nama nabi!  Isi hadis ini sahaja sudah membuktikan kerja-kerja terkutuk menyeleweng dalam agama.

Eloklah saya catatkan satu hadis sahih mengenai balasan orang yang berdusta atas junjungan Besar Nabi s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya) “Sesungguhnya berdusta menggunakan namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain.  Sesiapa yang berdusta menggunakan namaku dengan sengaja, maka siaplah tempat tinggalnya di neraka.” (Riwayat Imam Muslim).

Ini susunan set yang berbahaya untuk diterima sebagai ajaran agama!







Rabu, Mac 21, 2012

MEREKA mahu kuasa Melayu Islam hanya 30 peratus?


Orang Melayu yang berfikiran politik mesti tahu seni politik orang Cina sejak merdeka hingga hari ini.  Saya kutip saja apa yg mereka (orang Melayu) tulis atau bualkan.  Di bawah ini antara yg saya tidak lupa hingga hari ini.

“Orang Cina sedar tidak boleh memerintah negara atau menjadi Perdana Menteri, maka dia akan menyokong siapa saja orang Melayu menjadi PM tetapi memastikan PM yang disokong mesti sanggup menunaikan kehendak kaumnya.”

“Pilihan raya diguna untuk membuat tuntutan oleh kaum Cina kepada kerajaan (baca BN). Jika permintaannya tidak diberi, mereka undi DAP dan jika diberi mereka undi MCA dan Gerakan.”

“Ahli perniagaan Cina akan melihat siapa tokoh dalam Umno yang berpotensi naik dan mereka akan pastikan mesra dengan tokoh korporat Cina.”

“Ahli perniagaan Cina sanggup memberi bantuan wang kepada tokoh politik Umno untuk tokoh Umno itu membina kerjaya politik, tetapi mereka akan pastikan laluan perniaagaannya terus lancar.”

Kalau kita teliti cara orang India berpolitik sejak tahun 2004 juga seperti yang dilakukan oleh kaum Cina.  Kaum India sedar undi mereka menjadi penentu calon BN atau PR yang akan menang.  Oleh itu apabila dalam PRU 2008 majoriti kaum India menyokong PR maka kerajaan yang dikuasai BN sedang memberikan apa saja yang diminta oleh kaum India.

Perlu diingat, apa saja yang diminta oleh kaum Cina dan India sebenarnya merupakan pengorbanan apa yang selama ini dipegang oleh kaum Melayu!  Misalnya selama dalam Dasar Ekonomi Baru, peratus pelajar bukan Melayu yang dikhaskan memasuki universiti awam hanya 30 peratus, maka dengan menggunakan sistem merit untuk memasuki universiti, peratus kemasukan mereka melonjak naik.  Kenaikan peratusan mereka adalah pengurangan peratus untuk kaum Melayu dan Bumiputera.  Begitulah dalam pemberian biasiswa JPA dalam negara dan luar negara.

Episod politik negara bertambah menguntungkan kaum bukan Melayu selepas pilihan raya tahun 2008.  Menguntungkan bukan Melayu bermakna mengurangkan kadar hak kaum Melayu dan Bumiputera selama ini.

Kaum bukan Melayu tahu, jika Umno masih disokong lebih 70 peratus pengundi Melayu bermakna kuasa dan hak-hak yang dipegang oleh kaum Melayu masih sukar untuk diminta secara besar-besaran.  Selama ini mereka minta dan dapat secara berdikit-dikit. Kesempatan terbaiknya ialah apabila seorang tokoh Melayu yang sangat kepingin menjadi PM mahu sokongan rakyat termasuk bukan Melayu.  Inilah masanya yang terbaik untuk membentuk polisi politik baru (yang dikatakan paling sesuai dengan zamannya), iaitu bukan lagi berasaskan kaum tetapi rakyat.  Slogannya ialah ‘ketuanan rakyat’ bukan ‘ketuanan Melayu’.  Retorik ini 100 peratus memancing perasaan kaum bukan Melayu yang selama ini merasakan ada diskriminasi dalam agihan biasiswa, peluang pinjaman perniagaan, kemasukan ke perkhidmatan awam dan penggunaan bahasa kebangsaan.

Orang Melayu/Islam jumlahnya 60 peratus daripada penduduk negara.  Jika semua melayu bersatu, kuasa dan hak mereka sukar dipecahkan.  Sifirnya mudah: Pecahkan kuasa politik (undi) Melayu.  Ini bermakna dalam BN, kuasa Melayu wajib dijadikan 30 peratus dan dalam PR pun kuasa Melayu 30 peratus.  Jika projek ini berjaya, sama ada BN atau PR, kuasa politik Melayu hanya 30 peratus dalam sistem dua parti: BN lawan PR. Sama ada BN atau PR yang memerintah Malaysia, kuasa politik Melayu hanya 30 peratus!

Perhatikan, mana-mana ahli politik bukan Melayu daripada BN yang masuk PR mestilah memasuki PKR untuk mengelak PKR didominasi Melayu.  MCA pula tidak akan meninggalkan BN tetapi memastikan Umno tidak menjalin apa-apa hubungan baik dengan Pas.  DAP pula akan membantu Pas mendapat pengaruh dan undi kaum bukan Melayu sebagai tambatan parti Islam itu tidak meninggalkan PR.

Perhatikan kritikan (baca ancaman) MCA terhadap Umno dalam isu perpaduan Melayu. Lihat juga ancaman DAP di Kedah terhadap usaha Pas mengehadkan masa perniagaan hiburan pada bulan Ramadan.  Kes-kes ini antara gambaran usaha mengikat parti-parti politik Melayu daripada bersatu dan memastikan dasar Islam (atau yang pro-Melayu) tidak menjadi satu keperluan utama dalam mana-mana wilayah Malaysia.

Ini kesimpulan awal saya mengenai cara berpolitik orang bukan Melayu, khasnya kaum Cina di Malaysia.

Ahad, Mac 18, 2012

"PUAK sana sekular, kami tidak..."


BIARLAH saya memberikan makna ‘sekularisme’ sebagaimana yang biasa diberikan orang.  Kata orang, sekularisme ialah pemisahan hidup daripada agama.  Orang yang sekular itu mempunyai agama (Islam), mendirikan solat, berpuasa dan berhari raya tetapi kehidupannya tidak berlandaskan hukum halal-haram agama.  Dikatakan orang sekular berpakaian tidak menutup aurat, melakukan pembohongan, rasuah dan pelbagai dosa kehidupan!

Yang berani menyatakan kehidupan seseorang itu amalan sekularisme hanyalah orang-orang yang yakin dirinya tidak sekular.  Dia yakin tidak memisahkan agama dengan kehidupan, malah biasa mengatakan bahawa Islam adalah satu sistem hidup manusia yang lengkap.  Dia pasti berani menyebut maksud surah al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang beriman, masuklah dalam Islam keseluruhannya…(hingga akhir ayat).” Atau ayat 3 surah al-Ma’idah: “….Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu, dan Aku reda Islam sebagai agamamu…

Orang yang didakwa hidup secara sekular tidak berani membela diri mengatakan dirinya bukanlah berfahaman sekularisme.  Dia juga pasti tidak berani pula membalikkan tuduhan sekularisme kepada penuduh yang asal sebelumnya.  Dia hanya membisu sebab dirinya sedar tidak ada sijil agama untuk bercakap hal agama, malah pakaiannya pun tidak melambangkan elemen agama seperti kopiah, serban, jubah atau tudung labuh warna gelap.

Perkataan ‘sekularisme’ kerap disebut oleh ahli politik di kampung-kampung, tidak di kota.  Orang kampung dilihat oleh ahli-ahli politik sebagai lebih mengamalkan kehidupan beragama berbanding orang kota.  Sejahil-jahil agama perempuan kampung mereka menjaga aurat kepalanya, berbanding perempuan kota yang terpelajar yang mendedahkan rambut berwarna perangnya.  Bab pakaianlah yang sering dijadikan ukuran sama ada seseorang itu sekular atau tidak.  Bukanlah sangat hendak melihat ‘syumul’nya Islam seperti penjagaan kebersihan rumah (halamannya), kesihatan (merokok?), menepati masa, sentiasa rajin, menjaga hak jiran tetangga dan sebagainya.  Mana ada penceramah agama memberikan maksud sekular kepada yang melalaikan anjuran-anjuran berkenaan.

Cuba perhatikan peribadi orang yang mengatakan puak itu dan ini sekular. Perhatikan juga orang yang ‘syok’ apabila dikatakan ‘kita tidak sekular, puak sanalah yang sekular’.  Perhatikan kebersihan rumah mereka termasuk tong sampahnya, kebersihan dalam kenderaan, gelak tawanya serta ketepatan dia terhadap masa.

Moga-moga kita memahami kesyumulan Islam tidak seperti kisah orang-orang buta mengenali gajah.  Seorang memegang badan dikata gajah seperti dinding.  Seorang lagi memegang kaki dikata gajah itu seperti tiang.

Isnin, Mac 12, 2012

KUASA ampun bunuh oleh Ketua Negara, tidakkah melanggar hak asasi mansusia?


ANTARA pemikiran yang dikatakan sejagat dan sedang melanda sebagian rakyat Malaysia ialah ‘hak asasi manusia’.  Hak-hak seseorang manusia itu pula dikutip sepenuhnya dari dunia Barat (baca juga pemikiran ateis dan sekular), maka selalu apa yang dinamakan hak asasi manusia juga berlawanan dengan seruan Allah dalam al-Quran.


Di Barat memang sudah merebak pemikiran menentang hukuman mati kepada pesalah bunuh, walhal di Baratlah segala contoh hukuman mati dan kekejaman berlaku.  Lihatlah dalam Revolusi Perancis abad ke-18, mereka membuat alat memancung kepala bernama Gilotin atau kekejaman bunuh tentera Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.  Barat jugalah yang mengajar atau menetapkan hukuman bunuh di negara kita dengan cara menggantung pesalah di dalam kamar, bukan di lapangan terbuka.  Barat jugalah yang menentang hukuman mati di tempat terbuka (sebagaimana yang dilakukan di Arab Saudi) atas alasan berlawanan dengan hak asasi manusia.  Hari ini wakil-wakil pemikiran bobrok Barat sudah bersuara agar hukuman mati di negara kita dimansuhkan.

Mereka berfikir pembunuh tidak boleh dibunuh kerana membunuh pembunuh adalah berlawanan dengan hak asasi manusia.  Mereka gagal menjawab soalan: Adakah penjenayah yang membunuh orang adalah haknya sebagai hak asasi manusia?

Hukuman bunuh terhadap pesalah bunuh adalah sebagai balasan kekejaman bunuh penjenayah.  Hukuman ini adalah satu pendidikan juga kepada masyarakat lain, sebab itulah hukuman itu wajib diperhatikan oleh orang ramai sebagai satu pengajaran.  Lihat saja betapa ngerinya pemandangan masyarakat terhadap hukuman pancung kepala di negara Arab Saudi sehingga saksi-saksi pun kaget sampai pengsan.  Apakah tidak ada pendidikan dalam situasi seperti itu?

Masalahnya undang-undang pencegahan jenayah di Malaysia adalah dari Barat, maka hukuman matinya gagal memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.  Apabila sebilangan orang (yang mindanya bobrok) berfikir hukuman gantung sampai mati gagal meredakan jenayah berat, maka anak didiknya di negara ini juga berteriak sama.

Kepada muslim jangan lupa bahawa jenayah bunuh adalah jenayah berat yang Allah pandang sangat keji. Sebab itulah secara dasar si pembunuh wajib dihukum bunuh.  Namun begitu, hak mengampun atau mengurangkan hukuman terhadap pesalah terletak di bahu waris mangsa bunuh.  Tidakkah pejuang hak asasi manusia melihat ini sebagai hak asasi manusia?  Tidakkah mereka melihat hak mengampun pesalah yang selama ini ada pada Yang Dipertuan Agong sebagai melanggar hak asasi manusia?

Maksud surah al-Baqarah ayat 178-179: “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu (melaksanakan) qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh. Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba sahaya dengan hamba sahaya, perempuan dengan perempuan.  Tetapi sesiapa memperoleh maaf daripada saudaranya, hendaklah dia mengikutinya dengan baik, dan membayar diat (tebusan) kepadanya dengan baik.  Yang demikian itu adalah keringanan dan rahmat dari Tuhanmu.  Sesiapa melampaui batas sesudah itu maka dia akan mendapat azab yang pedih.  Dan dalam qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berakal, agar kamu bertakwa.”

Sabtu, Mac 10, 2012

BAGAIMANA kita percaya Hari Akhirat?


SALAH satu rukun keimanan muslim dalam beragama ialah Percaya Hari Akhirat.  Bukan sahaja manusia muslim wajib percaya adanya kehidupan selepas mati itu, malah kepada penganut agama lain seperti Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha juga mempunyai kepercayaan Hari Akhirat sebagai zaman pembalasan kepada manusia, sama ada baik atau buruk.

Dalam al-Quran terdapat banyak khabar mengenai Hari Akhirat.  Khabar itu  sama ada khabar gembira buat orang-orang yang beriman dan melakukan amal-amal salih atau khabar buruk kepada orang-orang yang tidak percaya adanya hari perhitungan dan pembalasan buruk.

Maksud surah an-Naba’ ayat 38-40: “Pada hari ketika ruh dan para malaikat berdiri berbaris-baris, mereka tidak berkata-kata kecuali sesiapa yang diberi izin kepadanya oleh Tuhan Yang Maha Pengasih dan dia hanya mengatakan yang benar.  Itulah hari yang pasti terjadi.  Maka sesiapa mengkehendaki nescaya dia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya.  Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (orang yang ingkar/kafir) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya dan orang kafir berkata ‘alangkah baik seandainya dahulu aku (sewaktu di dunia) menjadi tanah (sahaja)’.”

Sepanjang sejarah manusia, tidak ada manusia yang telah mati beberapa ketika atau lama dan hidup kembali untuk menceritakan bagaimana kehidupan selepas matinya.  Sama ada wahyu Allah atau melalui lidah rasul-Nya, digambarkan apa yang disebut balasan baik dan buruk kepada hamba-hamba-Nya di Hari Akhirat sana.

Salah satu berita buruk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah dan rasulnya ialah seperti dalam surah al-Kahfi ayat 29 (maksudnya): “….Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka (api) kepada orang yang zalim, yang gelojaknya mengepung mereka.  Jika mereka meminta pertolongan (minum), mereka akan diberi air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan wajah.  (Itulah) minuman yang paling buruk dan tempat istirahat paling yang jelek.”

Sementara khabar baik kepada orang-orang yang selama hidup ini beriman, melakukan amal-amal baik dan bersabar dalam banyak hal ialah seperti dalam ayat 31 surah al-Kahfi (maksudnya): “Mereka itulah yang memperolehi syurga And, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. (Dalam syurga itu) mereka diberi hiasan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan tebal sedang mereka duduk bersandar di atas dipan-dipan yang indah.  (Itulah) sebaik-baik ganjaran dan tempat istirahat yang indah.”

Ajaran Yahudi dan Kristian agak menyamai Islam mengenai Hari Akhirat sebagai tempat pembalasan sebenar yang baik dan buruk.  Ketiga-tiga agama ini memberi khabar balasan syurga  dan neraka.  Agama selain itu menggambarkan Hari Akhirat hanya sebagai hari pembalasan baik setelah susah payah hidup di dunia, yang membedakan hanya cepat atau lewatnya seseorang mendapat balasan baik atau syurga itu.

Selama ini kita muslim hanya bergantung kepada sumber naqli atau nas-nas (al-Quran dan sunah) sebagai dalil membentuk kepercayaan adanya Hari Akhirat.  Jarang sekali muslim dapat memberi hujah rasional atau aqli mengenai adanya hari kehidupan semula selepas mati.  Walhal orang yang membantah adanya Hari Akhirat itu bukan hanya ada zaman sekarang (golongan ateis yang menolak adanya Tuhan) malah sejak zaman wahyu diturunkan.  Dalam al-Quran Allah merakamkan tindakan golongan mereka mengumpul tulang-tulang manusia dan ditunjukkan kepada Rasulullah sambil bertanya ‘bagaimana tulang-tulang yang sudah hancur akan menjadi manusia semula?’  Golongan ateis hari ini giat mempengaruhi manusia (khasnya muslim) agar ragu-ragu mengenai adanya Hari Akhirat dengan logik akal.

Sekalipun kita sebagai muslim hanya mahu berdalilkan nas wahyu dan sunah, sudahkah kehidupan selama ini benar-benar dipisahkan daripada amal buruk agar  tidak ada penyesalan seperti dalam gambaran wahyu (alangkah baik seandainya dahulu aku (sewaktu di dunia) menjadi tanah).

Bagus kita meneliti maksud hadis ini. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang beriman (percaya) kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah berkata baik atau  diam.  Sesiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah menghormati jiran tetangganya.  Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah menghormati tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Jumaat, Mac 02, 2012

MERIAHNYA facebook: Suami tanggung dosa isteri


“DALAM ajaran Kristian terdapat dosa Nabi Adam dan Hawa yang ditanggung juga oleh manusia, bagaimana pandangan anda sebagai muslim?”  Saya yakin kebanyakan muslim dengan yakin akan memberi jawaban bahawa semua manusia tidak menanggung dosa dua insan yang awal itu.

Semasa saya kecil dan sehingga remaja, beberapa kali mendengar orang agama mengajarkan bahawa jika seorang kanak-kanak melakukan kebaikan maka pahalanya diberikan kepada ayah dan ibunya.  Begitu pula jika kanak-kanak melakukan kesalahan, maka dosanya ditanggung oleh kedua-dua orang tuanya. Begitulah dahulu pegangan agama saya mengenai dosa dan pahala kanak-kanak.

Kini anak perempuan saya memberitahu bahawa dia diajarkan mengenai dosa dan pahala kanak-kanak sebagaimana saya menerima ajaran itu dahulu.  Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan dalam kalangan muslim kuat berpegang fahaman bahawa sebarang perbuatan baik dan buruk kanak-kanak semuanya ditanggung pula oleh kedua-dua ibu bapanya.  Benarkah wahyu Allah mengatakan begitu?

Dalam facebook meriah pula dengan satu tag mengatakan lelaki yang menikahi seorang perempuan bermakna mesti bersedia menanggung dosa-dosa si isteri kelak!  Begitu banyak yang membuat ‘share’ dalam akaun facebooknya menandakan mereka sangat mempercayai perkara itu sebagai ajaran agama Islam!

Semua yang begitu kuat percaya bahawa dosa dan pahala kanak-kanak serta isteri menjadi tanggungan orang lain, ironisnya percaya pula wahyu Allah yang menerangkan Nabi Nuh tidak terkesan dengan dosa kufur anak lelakinya.  Begitu juga mereka setia percaya bahawa nabi Lut tidak menanggung dosa kufur isterinya di negeri Sodom.  Mereka percaya Allah tidak mengurangkan pun darjat kedua-dua nabi itu atas kekufuran anggota keluarganya.

Begitu banyak ayat al-Quran yang sangat jelas mengenai seseorang manusia tidak dipertanggungjawabkan atas kebaikan dan kesalahan orang lain.  Ayat-ayat itu menjadi hujah terhadap kaum kafir di Makkah dan Madinah, dan menjadi penjelas antara ajaran Islam yang benar dan ajaran nenek moyang yang direka-reka.  Anehnya kita…., al-Quran di hadapan dan dibaca hari-hari tetapi masih berfahaman seperti kaum dahulu.

Berikut maksud beberapa ayat al-Quran yang menjadi hujah jelasnya setiap insan hanya menanggung kesan perbuatan baik dan buruknya sendiri.  Semua ini ayat yang maksudnya jelas, yang tidak perlu takwilan pelbagai maksud lain.

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Maksud surah al-Isra:15 “Barang siapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barang siapa tersesat maka sesungguhnya (kerugian) itu bagi dirinya sendiri.  Dan seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tetapi Kami tidak akan menyiksa (seseorang/kaum) sebelum Kami mengutus seorang rasul.”

Maksud surah Fatir:18 “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.  Dan jika seseorang yang dibebani berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul bebannya itu, tidak akan dipikulkan sedikit pun meski (yang dipanggilnya) kaum kerabatnya.”

Ahad, Februari 19, 2012

TANPA dalil, agama sudah lama rosak


BERAPA banyak orang berhujah bahawa dengan adanya al-Quran sehingga hari ini maka kekal asli Islam sebagai satu ajaran agama sejak zaman baginda nabi s.a.w. hinggalah saat ini.  Dibandingkan pula dengan ajaran agama Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang asalnya bersandarkan kepada kitab Allah tetapi hari ini sudah tidak kekal asli sebagai agama Allah.

Sebab itulah sering diakui bahawa tanpa dalil daripada al-quran, aspek akidah dan ibadah dalam Islam pasti tergelincir daripada pemahaman yang asal. Maka menjadi kewajiban kepada pembicara menyatakan nas-nas al-Quran dan hadis sahih sebagai landasan untuk menyatakan ajaran Islam.  Jelasnya jika menyatakan ajaran agama tanpa didasarkan nas-nas al-Quran dan hadis pasti terdedah pada pembohongan atas nama agama yang suci.

Oleh kerana prinsip ajaran agama mesti bersumberkan nas al-Quran dan hadis, maka sesuatu yang didakwa sebagai ajaran akidah dan ibadah yang tidak dapat dibuktikan daripada al-Quran dan hadis merupakan ajaran yang boleh saja dipertikaikan.  Mendakwa sesuatu prinsip ajaran agama itu adalah Islam atau warisan para nabi, tanpa memberikan perincian seperti ayat (surahnya sekali) dan hadis nabi (dengan riwayatnya sekali) merupakan kecenderungan yang salah.

Jika si pembawa ajaran itu sekadar menyatakan ‘ini ajaran Islam’ dan gagal membuktikan dalil-dalil daripada dua sumber asal Islam, maka dengan sendirinya gugurlah ‘ajaran’ itu daripada dikatakan ajaran Islam.  Prinsip dalam beragama sangat jelas iaitu ‘semua urusan agama adalah haram sehingga ada nas yang memerintahkannya’ sedangkan dalam urusan keduniaan ‘semua perkara adalah halal sehingga ada nas yang membatasinya’.

Sebagai contoh, muslim mesti menunaikan ibadah haji di Tanah Haram Makkah kerna ada dalil  ayat  158 surah al-Baqarah (…maka sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah dan mengerjakan umrah maka tiadalah salah melakukan sa’ie antara kedua-duanya…). Nas lain ialah ayat 25 surah al-Haj. Oleh itu haram melaksanakan haji di tempat selain tanah yang disebut dalam al-Quran itu.

Dalam hal akidah, surah al-Ikhlas tercatat bahawa Allah itu tunggal maka haram menyatakan Allah itu dua atau tiga.  Oleh itu jika ada orang menyatakan ‘Allah wujud tak bertempat’ sebagai asas akidah Islam, sila nyatakan nas al-Quran dan hadisnya.  Jika tidak ada, maka dengan sendirinya kenyataan itu gugur sekalipun sering diucapkan di khalayak banyak.

Hadis sebagai nas hujah juga perlulah sah atau benar-benar daripada Rasulullah s.a.w.  Jika hadis yang dijadikan hujah itu ternyata adalah hadis palsu, maka jelas gugurlah pendirian yang disandarkan sebagai ajaran akidah atau agama.  Hal ini kerna hadis palsu bermakna Rasulullah s.a.w. tidak pun menyatakan sedemikian.  Berhujah menggunakan hadis palsu bermakna pembohongan agama atas nama Junjungan Mulia Rasulullah s.a.w. 

Menjaga kebenaran agama (akidah dan ibadah) merupakan tanggung jawab bersama.  Pihak pengajar, iaitu guru-guru agama mestilah bersedia dengan dalil-dalil al-Quran dan sunah kerana itulah sumber asal agama.  Manakala pihak murid mestilah juga menjadi pengimbang atau pemantau dengan sama-sama meneliti dan menyelidik apa yang dipelajari sebagai ajaran agama.  Oleh kerna guru dan murid merupakan manusia yang lemah dan terdedah pada kesilapan, prinsip saling menegur atau mengingati antar satu sama lain merupakan asas menjaga ketulenan ajaran Islam.

Sabtu, Februari 18, 2012

DAPAT melihat iman di hati


KATA seorang wanita, “iman itu  letaknya di hati” sebagai jawaban apabila mempertahankan bolehnya wanita muslim mendedahkan sebagian auratnya seperti rambut.  Bagi orang sepertinya iman itu tetap mantap di hati walaupun pada zahirnya ada beberapa perkara yang dilakukannya tidak sesuai dengan kehendak al-Quran dan sunah nabi s.a.w.


Konsep ini sama juga seperti pemahaman bahawa iman itu tidak ada kena-mengena dengan kehidupan harian. Penerimaan Islam itu sudah mencukupi sebagai tanda keimanan kepada Alllah. Saya pernah mendengar cerita seorang perempuan yang membanggakan  pengalaman suaminya berguru agama dengan beberapa Tuan Guru.  Ini menggambarkan banyaknya ilmu agama yang dimiliki. Maafkan, kerna saya mendapati beliau bukanlah seorang ahli berjamaah di masjid!  Orang seperti ini menyamakan penerimaan ilmu sebagai keimanan kepada Allah. Selagi ilmu itu ada, maka dijamin imannya masih ada.

Apa bedanya antara dua muslim: Encik X begitu teliti untuk mencari tempat meletakkan kederaannya agar tidak mengganggu laluan orang lain.  Encik Y telah meletakkan kenderaannya di tepi jalan dengan alasan hanya berhenti untuk seketika, dan ternyata agak menyulitkan beberapa kenderaan lain yang lalu-lalang di sisinya.

Kita kerap menemui situasi seperti di atas.  Persoalannya, adakah iman tidak membentuk sikap atau membawa apa-apa kesan dalam kehidupan?  Siapakah yang lebih kukuh imannya antara Encik X dan Encik Y?

Bagus kita mengingat maksud sabda Rasulullah: “Keimanan itu memiliki enam puluh atau tujuh puluh cabang/tingkat, yang paling utama adalah ucapan “Laa ilaaha illallah” (Tiada Tuhan selain Allah), dan yang paling rendah menyingkirkan gangguan dari jalan, dan sifat malu itu cabang daripada iman.” (HR Al-Bukhari dan Muslim dari sahabat Abu Hurairah ).

Ini berarti iman itu berada dalam kehidupan seseorang, bukan tersimpan kukuh dalam hati dan tidak terbukti dalam amal seseorang.  Orang-orang yang percayakan (mengimani) hari akhirat pasti dapat menahan diri (sedaya upaya) daripada melakukan perkara salah atau hal yang menyusahkan hidup orang lain, kerna semua itu akan ditanya-jawab di hari akhirat.

Seperti maksud hadis di atas, tentulah orang yang malu melakukan kejahatan mempunyai iman kepada Allah. Orang yang membuang apa saja kesusahan di jalan agar orang lain mudah melalui perjalanannya, itulah orang yang ada iman dalam hidupnya.  Tentulah orang yang tidak malu melakukan maksiat dan sengaja-sengaja menyusahkan perjalanan orang sebagai tanda tipis atau luputnya iman kepada Allah.

Maka kita pun seolah-olah dapat melihat sebesar mana iman seseorang yang dikatakan dalam hati, melalui kegiatan hidup seseorang.

Selasa, Februari 14, 2012

APAKAH makna sejadah berdiri dan solat?


BUKAN mesti apa yang disiarkan dalam media utama sebagai tanda pengesahan betul sesuatu peristiwa.  Sifat media ialah mencari berita yang ada kelainan sebagai memenuhi kehendak khalayaknya.  Maka tidak bolehlah mengatakan ‘benar dan sah’ adanya sejadah berdiri sendiri dan melakukan solat apabila ada liputan daripada TV3!


Mungkin betul, mungkin salah. Peristiwa seperti ini sebenarnya menggambarkan minda masyarakat Islam kita yang pantas teruja dengan ‘kepelikan’ terutama yang berkaitan dengan agama.  Misalnya, orang teruja dengan foto dahan-dahan kayu yang seakan membentuk kalimah Allah, atau pergerakan awan di angkasa yang sedemikiaan rupa juga.  Jika benar, memang itu kerana kebesaran Allah.  Sebelum ini ada rakaman video yang menggambarkan kubah masjid bergerak? Betul atau penipuan zaman computer?  Adakah dengan ada kepelikan barulah mengucapkan ‘subhanallah’ atau rasa bertambah iman dan menggandakan taubat?

Semua yang ada dialam ini adalah hasil kerja Allah.  Semuanya adalah kerana kebesaran Allah.  Bagi Allah mudah, hanya menyatakan ‘kun faya kun’ maka jadilah sebagaimana kehendak-Nya.

Maksud firman Allah ayat 73 surah al-An’am: Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan hak (benar), ketika Dia berkata, ‘Jadilah!’ Maka jadilah sesuatu itu.  Firman-Nya adalah benar dan milik-Nyalah segala kekuasaan pada waktu  sangkakala ditiup.  Dia mengetahui yang ghaib dan yang nyata.  Dialah Yang Mahabijaksana  dan Mahateliti.”

Berapa banyak kejadian yang Allah ceritakan dalam al-Quran dengan terang supaya manusia berfikir mengenai kebesaran Allah atau Dia hanya memaparkan begitu saja agar manusia berfikir.

Cuba perhatikan kejadian Nabi Adam a.s. dan Isa a.s., kan sama.  Lagi Allah menceritakan laut terbelah dua untuk dilalui oleh rombongan Nabi Musa a.s. sewaktu dikejar oleh Fir’aun dan bala tentaranya.

Adakah ayat ini satu kelaziman sehingga tidak manusia tidak berasa kebesaran Allah?  Maksud ayat 78 surah At-Taubah: Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah mengetahui rahasia dan bisikan mereka, dan Allah mengetahui segala yang ghaib.”

Maksud ayat 7-8: Dan apakah mereka tidak memerhatikan bumi, betapa banyak Kami tumbuhkan di bumi itu berbagai macam (tumbuh-tumbuhan) yang baik?  Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran) Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

Ohh, kita baru hendak merasa ada kebesaran Allah apabila ada foto luar biasa.  Sejadah berdirilah, awan berbentuk kalimah apa lagi….