Pengikut

Jumaat, Mac 02, 2012

MERIAHNYA facebook: Suami tanggung dosa isteri


“DALAM ajaran Kristian terdapat dosa Nabi Adam dan Hawa yang ditanggung juga oleh manusia, bagaimana pandangan anda sebagai muslim?”  Saya yakin kebanyakan muslim dengan yakin akan memberi jawaban bahawa semua manusia tidak menanggung dosa dua insan yang awal itu.

Semasa saya kecil dan sehingga remaja, beberapa kali mendengar orang agama mengajarkan bahawa jika seorang kanak-kanak melakukan kebaikan maka pahalanya diberikan kepada ayah dan ibunya.  Begitu pula jika kanak-kanak melakukan kesalahan, maka dosanya ditanggung oleh kedua-dua orang tuanya. Begitulah dahulu pegangan agama saya mengenai dosa dan pahala kanak-kanak.

Kini anak perempuan saya memberitahu bahawa dia diajarkan mengenai dosa dan pahala kanak-kanak sebagaimana saya menerima ajaran itu dahulu.  Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan dalam kalangan muslim kuat berpegang fahaman bahawa sebarang perbuatan baik dan buruk kanak-kanak semuanya ditanggung pula oleh kedua-dua ibu bapanya.  Benarkah wahyu Allah mengatakan begitu?

Dalam facebook meriah pula dengan satu tag mengatakan lelaki yang menikahi seorang perempuan bermakna mesti bersedia menanggung dosa-dosa si isteri kelak!  Begitu banyak yang membuat ‘share’ dalam akaun facebooknya menandakan mereka sangat mempercayai perkara itu sebagai ajaran agama Islam!

Semua yang begitu kuat percaya bahawa dosa dan pahala kanak-kanak serta isteri menjadi tanggungan orang lain, ironisnya percaya pula wahyu Allah yang menerangkan Nabi Nuh tidak terkesan dengan dosa kufur anak lelakinya.  Begitu juga mereka setia percaya bahawa nabi Lut tidak menanggung dosa kufur isterinya di negeri Sodom.  Mereka percaya Allah tidak mengurangkan pun darjat kedua-dua nabi itu atas kekufuran anggota keluarganya.

Begitu banyak ayat al-Quran yang sangat jelas mengenai seseorang manusia tidak dipertanggungjawabkan atas kebaikan dan kesalahan orang lain.  Ayat-ayat itu menjadi hujah terhadap kaum kafir di Makkah dan Madinah, dan menjadi penjelas antara ajaran Islam yang benar dan ajaran nenek moyang yang direka-reka.  Anehnya kita…., al-Quran di hadapan dan dibaca hari-hari tetapi masih berfahaman seperti kaum dahulu.

Berikut maksud beberapa ayat al-Quran yang menjadi hujah jelasnya setiap insan hanya menanggung kesan perbuatan baik dan buruknya sendiri.  Semua ini ayat yang maksudnya jelas, yang tidak perlu takwilan pelbagai maksud lain.

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Maksud surah al-Isra:15 “Barang siapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barang siapa tersesat maka sesungguhnya (kerugian) itu bagi dirinya sendiri.  Dan seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tetapi Kami tidak akan menyiksa (seseorang/kaum) sebelum Kami mengutus seorang rasul.”

Maksud surah Fatir:18 “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.  Dan jika seseorang yang dibebani berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul bebannya itu, tidak akan dipikulkan sedikit pun meski (yang dipanggilnya) kaum kerabatnya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan