DALAM filem Seniman Bujang Lapok ada babak Sudin yang menjampikan ‘batu hikmat’ kepada Ramli supaya mudah mendapatkan pinjaman. Akhirnya apabila Ramli gagal mendapat pinjaman yang diinginkan, Sudin kesal dan melemparkan batu hikmat (dibeli dengan harga RM5.00, zaman hantaran mas kahwin RM200.00!) ke dalam longkang.
Balang yang mengandungi objek segi empat
Sore 14 April 2012 di Pasar Malam di daerah Jengka Pahang, saya terjumpa seorang lelaki menjual batu-batu untuk dibuat cincin. Terdapat tiga piring yang mengandungi batu-batu pelbagai warna. Ada yang ditulis ‘untuk bisnis’, ‘perkasihan’ dan ‘jaga diri’. Berikut adalah antara dialog saya dengan penjual batu-batu hiasan cincin itu.
NMS
Penjual
NMS
Penjual
NMS
Penjual
NMS
Penjual
NMS
Penjual
|
Apa maksud jenis-jenis batu dalam piring ini Pak?
Ooo, jadi saudara tak tahu pasal batu. Nanti kalau saya ceritakan banyak-banyak jadi tak percaya pula.
Memang tak tahu pasal batu. Jadi yang dinamakan untuk bisnis apa?
Kalau memakai batu itu, ada rezekinya. Akan menambah rezekinya.
Jadi batu ini ada kuasa?
Ya, ada kuasa…tapi bukan semua orang boleh memakai batu. Ada batu sesuai untuk saya tidak kepada saudara. (Penjual mengambil piring batu dan mendekatkan pada satu balang mengandungi air yang di dalamnya tergantung objek segi empat berwarna kuning) Kalau itu berputar baru serasi namanya dan ada faedahnya. (kemudian dia mendekatkan satu piring lagi dan mendekatkan pada balang berkenaan, dan memang objek yang tergantung itu berputar atau bergerak-gerak). Nah, ini tanda serasi. Tapi batu ini serasi dengan saya.
Apa dalam benda itu Pak? (maksud saya benda segi empat yang tergantung)
Kitab qu’ran. Kitab paling kecil.
Siapa yang menggerakkannya?
Ada khadamnya. Dia yang menggerakkan.
(Saya agak, mesti jin atau syaitan! Saya mengambil piring batu lain dan mendekatkan pada balang, tapi tak ada respon. Saya ambil batu-batu lain untuk menguji lagi dan masih tidak menemukan batu yang boleh menggerakkannya.)
Kalau tidak ada yang serasi hari ini mungkin pada hari lain.
|
Kemudian saya hanya berdiri untuk terus memerhati dia bercakap dan berniaga. Tidak lama kemudian datang seorang lelaki muda dan memilih batu. Penjual pun menerangkan kepadanya sebagaimana dia lakukan kepada saya. Dia mengeluarkan satu kotak kecil batu berwarna hijau dan menyuruh lelaki itu mendekatkan pada balang berair itu. Dan kotak kecil yang dikatakan qur’an kecil itu bergoyang-goyang. Lelaki itu mahu membelinya kerna percaya hikmat atau serasi batu itu pada dirinya. Sebelum diserah kepada lelaki muda berkenaan, batu hijau yang dikatakan ‘jade’ itu dijampi, diusap beberapa kali, ditiup dan disapu minyak wangi. Harganya RM20.00!
Tidak lama datang dua perempuan muda kenalan lelaki muda tadi. Mereka pun mahu mencuba kerna percaya apa yang diberitahu si lelaki muda tadi. Tidak lama salah seorang perempuan itu, dia sudah mendapat batu yang dapat menggoyangkan objek dalam balang berair itu. Dan batu itu pun dijual kepadanya.
Yang saya hairan, mengapa usaha saya tetap gagal untuk mendapat batu hikmat dengan tanda objek itu bergoyang-goyang. Mungkinkah si khadam jin atau iblis tahu minda saya sedang mengecam kerja-kerja bodoh itu?
Demikianlah babak perniagaan mistik batu. Saya yakin penjual batu ini seorang penipu. Dia menipu orang-orang yang bodoh tetapi ada keinginan macam-macam. Si penjual, dengan bantuan makhluk halus memperdaya orang ramai dengan ‘batu serasi’ supaya pemakai batu itu kononnya akan maju perniagaannya, mudah mendapat pekerjaan atau jawatan tinggi, senantiasa bahagia rumah tangga atau selamat daripada gangguan orang lain. Pokoknya si batu hikmat itulah yang akan membantu si pemakainya menjalani kehidupan yang bahagia dan mewah nanti!
Inilah perniagaan secara syirik (menyengutukan Allah) dan menyesatkan pula orang lain. Konon si peniaga tahu hal ghaib, iaitu faedah atau keuntungan setelah memiliki batu-batu hiasan cincin!
Maksud ayat 26-27 surah al Jin: “(Dialah Allah) Yang mengetahui hal ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada rasul yang diredai-Nya. Maka seseungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (para malaikat) di depan dan belakangnya.”
Maksud ayat 59 surah al-An’am: “Dan pada sisi Allah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri. Dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan lautan, dan tidak sehelai pun dauh yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji pun ke bumi dalam kegelapan dan tidak sesuatu yang basah atau kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauhul Mahfuz).”
Jadi, bagaimana seorang manusia penjual batu-batu hiasan cincin mengetahui nasib-nasib seseorang berdasarkan batu-batu yang akan dipegangnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan