Pengikut

Sabtu, Mac 10, 2012

BAGAIMANA kita percaya Hari Akhirat?


SALAH satu rukun keimanan muslim dalam beragama ialah Percaya Hari Akhirat.  Bukan sahaja manusia muslim wajib percaya adanya kehidupan selepas mati itu, malah kepada penganut agama lain seperti Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha juga mempunyai kepercayaan Hari Akhirat sebagai zaman pembalasan kepada manusia, sama ada baik atau buruk.

Dalam al-Quran terdapat banyak khabar mengenai Hari Akhirat.  Khabar itu  sama ada khabar gembira buat orang-orang yang beriman dan melakukan amal-amal salih atau khabar buruk kepada orang-orang yang tidak percaya adanya hari perhitungan dan pembalasan buruk.

Maksud surah an-Naba’ ayat 38-40: “Pada hari ketika ruh dan para malaikat berdiri berbaris-baris, mereka tidak berkata-kata kecuali sesiapa yang diberi izin kepadanya oleh Tuhan Yang Maha Pengasih dan dia hanya mengatakan yang benar.  Itulah hari yang pasti terjadi.  Maka sesiapa mengkehendaki nescaya dia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya.  Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (orang yang ingkar/kafir) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya dan orang kafir berkata ‘alangkah baik seandainya dahulu aku (sewaktu di dunia) menjadi tanah (sahaja)’.”

Sepanjang sejarah manusia, tidak ada manusia yang telah mati beberapa ketika atau lama dan hidup kembali untuk menceritakan bagaimana kehidupan selepas matinya.  Sama ada wahyu Allah atau melalui lidah rasul-Nya, digambarkan apa yang disebut balasan baik dan buruk kepada hamba-hamba-Nya di Hari Akhirat sana.

Salah satu berita buruk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah dan rasulnya ialah seperti dalam surah al-Kahfi ayat 29 (maksudnya): “….Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka (api) kepada orang yang zalim, yang gelojaknya mengepung mereka.  Jika mereka meminta pertolongan (minum), mereka akan diberi air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan wajah.  (Itulah) minuman yang paling buruk dan tempat istirahat paling yang jelek.”

Sementara khabar baik kepada orang-orang yang selama hidup ini beriman, melakukan amal-amal baik dan bersabar dalam banyak hal ialah seperti dalam ayat 31 surah al-Kahfi (maksudnya): “Mereka itulah yang memperolehi syurga And, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. (Dalam syurga itu) mereka diberi hiasan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan tebal sedang mereka duduk bersandar di atas dipan-dipan yang indah.  (Itulah) sebaik-baik ganjaran dan tempat istirahat yang indah.”

Ajaran Yahudi dan Kristian agak menyamai Islam mengenai Hari Akhirat sebagai tempat pembalasan sebenar yang baik dan buruk.  Ketiga-tiga agama ini memberi khabar balasan syurga  dan neraka.  Agama selain itu menggambarkan Hari Akhirat hanya sebagai hari pembalasan baik setelah susah payah hidup di dunia, yang membedakan hanya cepat atau lewatnya seseorang mendapat balasan baik atau syurga itu.

Selama ini kita muslim hanya bergantung kepada sumber naqli atau nas-nas (al-Quran dan sunah) sebagai dalil membentuk kepercayaan adanya Hari Akhirat.  Jarang sekali muslim dapat memberi hujah rasional atau aqli mengenai adanya hari kehidupan semula selepas mati.  Walhal orang yang membantah adanya Hari Akhirat itu bukan hanya ada zaman sekarang (golongan ateis yang menolak adanya Tuhan) malah sejak zaman wahyu diturunkan.  Dalam al-Quran Allah merakamkan tindakan golongan mereka mengumpul tulang-tulang manusia dan ditunjukkan kepada Rasulullah sambil bertanya ‘bagaimana tulang-tulang yang sudah hancur akan menjadi manusia semula?’  Golongan ateis hari ini giat mempengaruhi manusia (khasnya muslim) agar ragu-ragu mengenai adanya Hari Akhirat dengan logik akal.

Sekalipun kita sebagai muslim hanya mahu berdalilkan nas wahyu dan sunah, sudahkah kehidupan selama ini benar-benar dipisahkan daripada amal buruk agar  tidak ada penyesalan seperti dalam gambaran wahyu (alangkah baik seandainya dahulu aku (sewaktu di dunia) menjadi tanah).

Bagus kita meneliti maksud hadis ini. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang beriman (percaya) kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah berkata baik atau  diam.  Sesiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah menghormati jiran tetangganya.  Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah menghormati tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan