Sejarah untuk diambil iktibar, untuk diikuti jika baik dan dijadikan teladan dan sempadan jika buruk. Al-Quran pun menyenaraikan sekian banyak peristiwa sejarah. Sama ada kepada manusia hari ini atau kepada mereka zaman Nabi, semua itu sejarah. Contohnya kisah Nabi Musa bersama Bani Israel. Semua itu adalah untuk dijadikan iktibar.
Jangan lupakan sejarah Perjanjian Pangkor 1874. Apabila Sultan Ali mangkat, sepatutnya Raja Abdullah menjadi Sultan Perak, tetapi kerana masalah politik anak-anak raja dan pembesar, Raja Yusuf yang dilantik sebagai Sultan Perak. Perak sudah mempunyai Sultan, tetapi Raja Abdullah merasakan dia paling berhak dan mahu mengambil takhta. Raja Abdullah sebenarnya lemah kerana sokongannya kecil, hanya di Hilir Perak. Orang yang lemah dan mahu menjadi ketua, pasti memerlukan sokongan. Orang yang menyokongnya pasti mahukan jaminan habuan daripadanya apabila dia berkuasa.
Raja Abdullah yang lemah meminta bantuan British untuk menjadi Sultan Perak. Maka dibuat Perjanjian Pangkor antara Raja Abdullah dengan British. Benar Raja Abdullah ditabal sebagai Sultan Perak, tetapi British yang lebih berkuasa kerana Raja Abdullah seorang yang lemah. Setiap pihak yang menyokongnya mahukan habuan kerana menyokongnya. Oleh kerana British adalah penyokongnya yang paling besar, maka British menetapkan apa saja yang mesti dilakukan oleh Raja Abdullah sebagai Sultan Perak. Janganlah hairan apabila Raja Abdullah menyesal dan berpakat mengusir British dari Perak.
Raja Abdullah masih tidak percaya bahawa dirinya seorang Sultan yang lemah. Lemah sebab disokong oleh sebagian kecil saja bangsa Melayu Perak. Bangsa Melayu Perak waktu itu pula bukanlah tinggi ilmu, teknologi dan kuasa ekonominya. Mereka jauh lebih lemah berbanding dengan kaum pendatang Cina yang jumlahnya lebih kecil dengan bangsa Melayu Perak. Benar, Raja Abdullah dan segelintir Melayu Perak berjaya dalam misi menghapuskan Residen (jawatan seperti Menteri Besar) Birch, tetapi semua itu sebenarnya menambah musibah kepada dirinya.
Dalam mana-mana pengalaman sejarah, pihak yang kalah dalam pertikaian politik mesti kehilangan segala-galanya. Pihak yang kalah akan dipaksa menerima apa saja perjanjian yang dipaksakan kepadanya. Sejarah zaman moden misalnya menyaksikan Jerman terpaksa menerima semua syarat perjanjian yang dipaksakan oleh pihak yang mengalahkannya dalam Perang Dunia Pertama. Itu juga berlaku terhadap Raja Abdullah dan bangsa Melayu Perak dahulu. Apakah lagi harga diri dan saki-baki kuasa yang boleh dibanggakan kalau dirinya sendiri pun dibuang negeri? Kemudian apabila seorang lagi anak raja dilantik sebagai Sultan Perak oleh British yang menang, apa sebenarnya kuasa dan pengaruh yang ada? Hanya duduk dan melihat semua tindakan pihak yang ‘membantunya’ melantik menjadi Sultan. Konon-konon ada status Ketua Negeri, apa kuasa banginda?
Hari ini Malaysia ada pemerintah. Setiap negeri ada Menteri Besar dan Perdana Menteri peringkat Persekutuan Malaysia. Namun pertikaian politik dalam negara adalah yang paling kritikal sejak 1957. Walaupun krisis politik pernah berlaku sehingga mencetuskan rusuhan kaum 1969, tetapi bangsa Melayu yang jumlahnya hanya 60 peratus tidaklah terus ‘berperang’ untuk saling memusnahkan antara satu sama lain. Hari ini, projek saling menjadi abu dan arang kepada bangsa Melayu (baca juga umat Islam) sangat rancak. Setiap puak Melayu disokong oleh pihak lain sebagaimana dahulu puak Ghee Hin dan Hai San berpihak kepada mana-mana anak raja dalam krisis politik Melayu sebelum Perjanjian Pangkor.
Ahli-ahli politik hari ini memang ego seperti egonya Raja Abdullah yang sebenarnya lemah. Hari ini pihak yang berkuasa sebenarnya lemah kerana mendapat sokongan minoriti bangsa Melayu. Keadaan ini sama dengan kedudukan Raja Yusuf yang menjadi sultan Perak sebelum Perjanjian Pangkor 1874. Lemahnya Raja Yusuf, terpaksa menerima keputusan perjanjian antara British dan Raja Abdullah yang membuang dirinya sebagai Sultan Perak!
Kita boleh melihat kuasa dan pengaruh pemimpin negara yang lemah sebab sokongan terhadapnya menyusut. Kaum yang kecil pun boleh mendapat habuan tidak munasabah hanya apabila meminta (baca mengugut) kepada pemimpin. Pada waktu yang sama seorang lelaki yang sebenarnya sangat lemah kemaruk hendak menjadi Perdana Menteri. Lelaki ini sama saja dengan Raja Abdullah yang sangat percaya hanya dia paling layak menjadi Sultan Perak sebelum Perjanjian Pangkor.
Oleh kerana dia lemah (kerana masalah moral dan sokongan yang kecil) dan mahu menjadi PM, maka dia terpaksa meminta sokongan pelbagai pihak. Sejarah sedang berulang, tetapi ahli-ahli politik tidak mahu belajar daripada sejarah. Anak-anak muda pula kian lupa sejarah. Mereka tidak tahu menggunakan ilmu sejarah dalam membina kehidupan.
Kita wajib faham, siapa yang kalah dalam politik akan kehilangan segala-galanya. Kekalahan politik bukan sahaja kerana kalah pilihan raya, tetapi kalah kerana sentiasa diarah dan dipaksa melakukan apa saja oleh pihak yang menang. Orang yang kalah, sekalipun kelihatan ada kuasa tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukannya. Dia tidak bebas sebagaimana terbelenggunya tangan Raja Abdullah ketika menjadi Sultan Perak dahulu.
Sejarah untuk dijadikan iktibar, tetapi orang yang ego tidak mahu mengambil iktibar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan