Pengikut

Khamis, Januari 12, 2012

BOLEHKAH orang seperti Bob Lokman mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam?

BOB Lokman asalnya seorang artis, sekarang aktif dalam dakwah.  Orang pun tahu Bob Lokman bukan pemegang diploma atau ijazah yang ada kaitan dengan agama.  Mungkin dia pernah belajar agama di pondok atau pun tidak.  Namun sebagai muslim, setakat mana pengetahuannya dalam agama dan dia berpegang kepada prinsip dakwah, dia akan menyampaikan mesej Islam.  Tentu saja cara Bob Lokman menyampaikan mesej kebenaran Islam tidak seperti ustaz-ustaz yang sudah diasuh berkhutbah dan berceramah sejak umur 10 tahun.


Itulah yang dilakukan oleh Bob Lokman yang masih ada pengaruh dalam kalangan orang muda, kini dengan caranya tersendiri mahu mengajak khalayak bersama-sama beliau mendekati Islam.  Cita-cita dan caranya betul, tetapi tempatnya tidak betul berdasarkan undang-undang.  Di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia sesiapa yang hendak bercakap (baca ceramah) di dalam surau, madrasah atau masjid yang ditadbir oleh kerajaan-kerajaan negeri mestilah mempunyai tauliah atau lesen berceramah.  Mantan mufti yang ada ijazah kedoktoran dalam agama pun boleh ditangkap kerana berceramah tanpa tauliah.  Lebih dahsyat jika tempat ceramah itu di rumah persendirian, itu pun boleh ditangkap atas sebab tidak ada lesen.

Hakikatnya, hanya golongan ustaz dan ustazah yang diberi tauliah mengajarkan agama di masjid dan surau.  Hal ini berlaku kerana kebanyakan birokrat agama berfikiran masjid dan surau hanya untuk aktiviti keagamaan.  Agama Islam pula lebih difahami sebagai urusan kerohanian antara manusia dengan Tuhannya.  Sebab itulah, apa-apa ceramah di dalam rumah Allah mesti membicarakan hal hubungan manusia dengan Allah. Masjid di desa saya ada kuliah mingguan yang membicarakan bab taharah.  Kami di masjid sudah tua kerepot, masih diajarkan lagi bab air mutlak dan mustakmal.  Bukan salah, tetapi itulah pusing-pusing kuliah dan ceramah agama.

Pada hemat saya, masjid dan surau adalah pusat ilmu. Islam bukan bab fikah sahaja, malah sekian banyak bab keduniaan lain.  Dalam kehidupan kita hari-hari bab keduniaan jauh lebih besar peratusannya berbanding bab kerohanian atau ibadah khusus. Bab keduniaan itu pun bukan bebas daripada hukum halal dan haram, maka wajiblah juga bab keduniaan disebut dalam ceramah dalam masjis yang dikatakan pusat pembicaraan ilmu.

Sebagai contoh, hal-ehwal pemakanan manusia.  Allah sebut mana yang halal dan haram dalam al-Quran.  Alllah juga menyatakan prinsip yang halal sebagai baik dan yang haram sebagai buruk. Adakah semua ustaz sangat mendalami ilmu pemakanan yang mereka boleh memperincikan kandungan sesuatu makanan, yang terbaik untuk kesihatan berdasarkan umur masyarakat ahli kariah masjid? Kita memerlukan pakar kesihatan atau doctor menerangkan bab ini.  Mereka lebih tahu kerana mereka adalah ahlinya.  Malangnya doctor atau pakar kesihatan bukan ustaz dan tidak mudah mendapat tauliah untuk berceramah di masjid. Saya teringat guru quran (yang pernah saya ikuti pengajarannya), mendakwa betapa susahnya mendapatkan tauliah itu. Dua tahun baru dapat!

Oleh itu susahlah pakar-pakar ilmu keduniaan lain seperti ahli sains, ahli undang-undang, ahli psikologi termasuk juga ahli seni (seperti Bob Lokman) memperoleh tauliah.  Hari-hari kehidupan muslim dalam lingkungan sains dan teknologi, undang-undang, seni, sastera, sejarah dan sebagainya.  Tidak mudah pula hal-hal yang saban hari dilalui oleh muslim boleh diperjelas dalam masjid sedangkan asasnya masjid adalah pusat ilmu yang sangat diperlukan untuk kehidupan muslim.

Keadaannya, kita seperti sedang terperangkap yang tidak tahu hujung pangkalnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan