SUATU pagi yang hening, sebelum mendirikan solat subuh di sebuah masjid di pinggir bandar Kuantan seorang jemaah berbisik kepada saya, “cuba kita fikir mengapa waktu pagi seperti ini kita berasa panas juga. Apa agaknya dosa kita kepada Allah.” Saya faham maksudnya. Dia cuba menggambarkan bahawa sewaktu hawa subuh yang sejuk, namun ketika menyembah Allah terasa pula hangatnya sehingga badan berpeluh-peluh.
Saya masih percaya bahawa reka bentuk masjid berkenaan itulah yang menyebabkan hawa di dalamnya menjadi hangat walaupun suhu di luar masih sejuk dilitupi embun pagi. Saya teringat kata-kata guru Tamadun Islam Prof Dr Mustafa Ishak. Selaku pengkaji tamadun beliau mengatakan Islam tidak menunjukkan secara khusus seni bina atau reka bentuk bangunan yang boleh dinamakan reka bentuk Islam. Malahan katanya lagi, bentuk kubah di kebanyakan masjid juga bukanlah daripada wahyu atau sabdaan Rasulullah.
Menurut pprofesor itu lagi prinsip Islam dalam reka bentuk bangunan termasuk masjid ialah ‘mensejahterakan manusia di dalamnya’. Islam itu membawa kesejahteraan, maka apa sahaja yang dihasilkan dalam hal-hal keduniaan mestilah membawa kesejahteraan. Kembali kepada masjid yang dikatakan berhawa panas, sebenarnya itu adalah masalah reka bantuknya yang tidak memberi laluan seluas-luasnya udara keluar dan masuk.
Perhatikan banyak masjid yang kecil mempunyai reka bentuk seperti pyramid yang memerangkap udara panas. Lubang-lubang udaranya berada di tengah-tengah antara lantai dan hujung bumbungnya. Keadaan ini ditambah dengan ruang jendela yang kecil seperti rumah kediaman. Oleh kerana masjid menampung jumlah manusia yang banyak, maka udara panas dari masjid tidak dapat keluar dengan cepat menyebabkan haba di dalam dewan solat begitu panas. Ada masjid dan surau terpaksa menggunakan pendingin hawa untuk mengatasinya. Kaedah menggunakan pendingin hawa hanya menyelesaikan masalah dalam masjid tetapi menyumbang pula kepada kesan rumah hijau iaitu pemanasan suhu bumi. Inilah akibatnya apabila para pereka bentuk bangunan terutamanya masjid tidak memahami prinsip kesejahteraan secara fitrah hasil pembinaan rumah Allah berkenaan.
Banyak orang bercakap Islam itu sejahtera dan menyelamatkan manusia, menyenangkan sesiapa sahaja yang menerima Islam. Malangnya rumah Allah sebagai lambang atau contoh tempat yang sejahtera, manusia sudah merasa keresahan dalam hidup! Reka bentuk masjid atau surau yang cantik pada pandangan mata, tetapi menggelisahkan pengunjungnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan