USTAZ dan ulama manakah yang menganjurkan seseorang muslim menemui bomoh untuk menyelesaikan masalahnya? Tidak ada! Malah ulama tidak pernah kering air liur dalam menasihati dan memperingatkan tentang keburukan menemui bomoh atau dukun.
Namun lihatlah budaya masyarakat Melayu Islam yang dikatakan kuat pegangan agamanya. Untuk mengetahui tasawur Melayu mengenai perbomohan ini lihatlah pada imej yang dipaparkan dalam sasteranya. Maaf, sastera bukan hanya novel, cerpen dan puisi, malah drama dan filem adalah produk sastera. Oleh itu lihatlah kebanjiran drama dan filem tempatan yang bertemakan perbomohan dan persepsi hantu. Tidak cukup dengan hasil seni tempatan, diimport pula drama dari seberang yang di sana memang tema hantu dan misteri diterima secara normal.
Tidak kira sama ada seseorang itu berpendidikan tinggi atau tidak, kebanyakan mereka akan dipukau untuk menonton dan menghayati drama dan filem hantu. Mereka inilah pasaran yang luas kepada bomoh untuk melariskan produknya. Seseorang bomoh tidak perlu mengiklankan khidmat sosialnya dalam media, cukuplah dia pernah membomohi seseorang dan yang seorang itu akan menjadi ejen iklan percuma di merata-rata. Iklan percuma ini disambung oleh pihak kedua dan seterusnya. Bomoh ini pun terkenal terutama di luar mukimnya.
Sakit perut jumpa bomoh. Sakit gigi minta air penawar bomoh. Bayi menangis memang akan dipakaikan benang keramat. Demam minta dijampi oleh bomoh. Kalau ada anak dara lewat tak bertemu jodoh, sahlah ibu bapanya disaran oleh jiran tetangga untuk dimandi bunga oleh bomoh. Ada yang pasti mereka akan mencari bomoh sekalipun dia berpendidikan moden. Ya, kalau dia kehilangan barang, maka bomohlah dianggap Tuhan yang serba tahu alam ghaib!
Kehidupan seseorang bomoh memang pelik. Semakin pelik, masyarakat semakin menerima dia adalah bomoh jempolan. Semakin dia tidak mandi, semakin tidak pernah menjejak kaki ke masjid, maka itulah ciri keabsahan seseorang bomoh. Kalau ada orang mengaku bomoh tetapi kerap solat berjemaah di masjid, pasti orang tidak percaya dia bomoh. Maka jangan cari bomoh dalam masjid, tetapi carilah bomoh di hujung kampung, tepi hutan, dalam gua, yang cakapnya tidak tentu hala, giginya tidak bergosok dan pakaiannya kumal. Hairan, manusia sebegitu dipercayai cakapnya!
Mungkin ada manusia bomoh yang mula sedar dirinya dikritik kerana berwatak menyeramkan dan dikatakan menyesatkan akidah para muslim. Maka, bomoh tadi mula menukar penampilannya dan bergaul seperti orang biasa dalam masyarakat. Ya, dia boleh berlakon untuk menjadi manusia biasa dalam sosial masyarakat, tetapi percayalah dia tidak akan dapat berwatak seperti hamba-hamba Allah sejati. Maka dia tidak berani pun menjadikan masjid sebagai rumah keduanya. Oleh itu, pasti juga tidak ditemui bomoh dalam masjid!
Jangan pula orang yang kaki masjid mencari bomoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan