CATATAN ini terlalu peribadi, namun boleh dikongsi sebagai mengembangkan nilai kasih sayang bersama. Pada 25 April 2013, jam 6.35 sore saya
kehilangan seorang abang. Beliau
meninggal dunia akibat kanser tiroid yang menyerangnya tidak sampai sebulan. Beliau meninggalkan kami pada usia 62 tahun.
Walaupun Mespuan bin Salam berstatus abang ipar
kepada kami lima beradik lain, tetapi beliau sudah seperti abang kandung. Dia menjadi abang kepada kami lima beradik ketika saya berumur
16 tahun, malah adik bungsu kami Marfuah lahir sama tahun dengan Siti Musrifah,
anak kedua Kak Dayah dan Abang Paul.
Hari ini Marfuah menjadi seorang doktor.
Kami sekeluarga memanggilnya Abang Paul, ikut
kawan-kawan abang memanggilnya. Oleh kerna Abang Paul menjadi abang maka secara
tidak langsung urusan besar keluarga kami diselesaikan oleh beliau. Apabila adik saya Siti Alawiah mendapat
tempat belajar di MRSM Seremban, abang Paul yang menghantar dengan kereta
Totoya KE miliknya. Kemudian, apabila
Alawiah mendapat tawaran belajar ke UK, Abang Paul yang mencarikan penjamin
biasiswanya. Ayah hanya orang kampung
dan tidak kenal sesiapa yang bergaji untuk menjadi penjamin.
Abang Paul juga yang membawa saya untuk temuduga
masuk ke UUM di jalan Mahameru Kuala Lumpur tahun 1985. Saya memang tidak tahu apa-apa jalan di KL,
jadi Abang Paul saja tempat minta pertolongan.
Dengan izin Allah saya pun berjaya daripada UUM.
Semasa konvo Karimah Marfuah |
Kemudian, apabila saya dan semua adik-adik belajar
dan bekerja di luar Sabak Bernam, Abang Paul juga yang menjadi pengganti kami
melihat dan membawa ayah bunda ke klinik jika tidak sihat. Begitulah sejak saya belajar di Kedah mula pada
tahun 1985 dan waktu bekerja di Pahang, sehingga tahun 2008. Takdirnya, Allah
izinkan saya kembali ke desa tahun 2009 untuk menemani ayah dan bunda.
Kerna kehidupan Abang Paul yang sudah sebati dengan
kami semua adik-beradik, maka kehilangannya yang dikira mendadak memang sangat
mengesankan perasaan semua. Sakit Abang
Paul hanya dikatakan semput nafas dan diberi rawatan pesakit luar di Hospital
Sabak Bernam. Kemudian apabila dua tiga
kali asyik ke hospital, barulah dia ditahan dalam wad. Dan terus pula dihantar
ke Hospital Teluk Intan. Jarak antara Sabak Bernam ke Teluk Intan 40 kilometer.
13 April, apabila menziarahi Abang Paul, dia kata
bosan sebab badannya sihat tetapi kena duduk dalam wad. Namun dia suka sebab
saya bawakan nasi dan sup ayam. Masuk minggu
kedua, kesihatannya bertambah buruk apabila saluran oksigen mula diguna di
hidung untuk bernafas. Lehernya juga sudah kelihatan membengak. 21 April saya,
ayah dan kakak datang menziarahi jam 12.30 sampai jam 2.00. Dia mengadu terlalu letih.
Malam 21 April di rumah ayah ada ceramah parti
politik. Pada jam 9.30 malam sewaktu
tetamu mula hadir, kakak mengajak saya segera ke Hospital Teluk Intan. Kami sampai jam 10.20 malam dan menunggu di
luar bilik bedah. Jam 12.00 Abang Paul
dimasukkan ke dalam wad kecemasan, tetapi dia masih sedar. Dia bernafas dengan bantuan mesin khas dan
mendapat perhatian rapi seorang doktor.
Keluarga jadi geger dan banyak menziarahi abang pada hari Isnin.
semasa di Tanah Merah Kelantan |
Hari Selasa dan Rabu (23-24 April) pula saya terpaksa membawa anak ke hospital Sabak Bernam kerana demam, yang disyaki denggi.
Mujur bukan denggi. Sorenya saya tetap ke Teluk Intan menziarahi abang. Pada 24
April itu, waktu abang masih tenat di hospital, Dibah anak Abang Paul yang
darjah enam pula tidak sihat dan guru mencadangkan agar diberi rawatan di
darussifa. Maka jam 3.00 petang saya
membawanya berjumpa dengan Ustaz Salman di Kampung Parit Baru. Jam 5.00 petang saya dan Dibah ke Hospital
Teluk Intan. Abang Paul sudah
dipindahkan ke wad biasa walaupun masih memerlukan bantuan mesin untuk
bernafas. Agak menceriakan kami sebab
dia sudah boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat sebab mulutnya dimasukkan
saluran oksigen. Kawan-kawannya datang,
dan dia mampu tersenyum mendengar cerita-cerita yang dibawa. Setelah membantunya bertayamum untuk solat
maghrib, saya pulang jam 7.30 malam.
Kakak terus setia di sisi abang sejak malam 21 April yang lalu.
Tiba-tiba jam 11.30 malam 24 April, kakak meminta
saya segera ke hospital. Saya pergi dengan
bunda. Abang Paul dalam keadaan
tenat dan sudah tidak sedar diri. Kami hanya membimbing di
telinganya ‘Laa ilaa ha illallaah’ berulang kali. Takdir Allah pada 25 April petang, Abang Paul
meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Saya yakin abang tidak putus menunaikan solat
semasa sakit yang dia dalam sedar dan sepanjang dia koma sebelum dijemput Allah, selama itulah tidak putus kalimah ‘Laa
ilaa ha illallaah’ dibisikkan di kedua-dua belah telinganya. Waktu nafas di penghujung: kakak, Taufik
bunda dan saya berada di sisi Abang Paul!
Kepada semua
adik saya: Siti Alawiah (Pensyarah UIAM), Amanah Mustakimah (Pegawai Kanan
Mardi), Jamalul Hair (Jurutera) dan Karimah Marfuah (Doktor Gigi), nikmat
kejayaan pendidikan dalam kehidupan kita sebagiannya diusahakan oleh Abang Paul
dan Kak Dayah. Mereka yang setia menjaga ayah dan bunda sewaktu kita keluar
belajar jauh-jauh dan lama. Jangan lupa mendoakan kesejahteraan kedua-duanya,
khasnya Abang Paul yang terdahulu pergi.
Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya.
Ucapan takziah kepada seluruh keluarga.
BalasPadamSaya juga masih ingat kepada beliau, dan pernah menumpang Toyota KE tu sewaktu melawat kawan sakit di hospital Teluk Intan bersama adik beliau "Pn Rahimah". Al-fatihah.