Pengikut

Isnin, Mei 13, 2013

KOMENTAR: SJK: Penduduk Malaysia duduk satu negara, sekolah asing-asing


DALAM apa juga permasalahan yang wujud, puncanya pasti ada dan formula untuk mengatasi masalah pun pasti ada dan untuk mengatasinya ia memerlukan pengorbanan besar daripada semua pihak jika masalah mahu diselesaikan.

Apakah patut kita menyalahkan 100 peratus pengundi muda Cina jika tidak menyokong BN yang diketuai oleh UMNO yang berbangsa Melayu.

Sistem pengasingan sekolah kebangsaan dan sekolah aliran Cina dan India sebenarnya adalah sistem yang sengaja dibuat bertujuan mengasingkan buat jangka panjang kelompok antara kaum Melayu, Cina dan India.

Semasa sebelum memasuki sekolah rendah anak-anak Cina belajar di tadika swasta manakala anak-anak Melayu belajar di tadika Kemas.

Pengasingan terus berlaku apabila masuk darjah satu, anak-anak Melayu ke Sekolah Kebangsaan manakala anak Cina masuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina.

Peruntukan besar yang dibantu oleh kerajaan kepada sekolah rendah dan menengah Cina menyebabkan sekolah itu serba lengkap maka ibu bapa masyarakat Cina terus memilih anak-anak mereka bersekolah di situ.

Apabila tamat di sekolah menengah, remaja Cina melanjutkan pelajaran di kolej swasta atau menuntut ke luar negara seperti di Taiwan dan Singapura.

Cuba bayangkan, adakah sistem pengasingan ini memberi manfaat kepada bangsa Malaysia buat jangka panjang?

Penduduk pelbagai bangsa di Malaysia duduk dalam satu negara tetapi menjalani kehidupan asing-asing.

Maka di sinilah kesempatan diambil oleh parti politik yang tidak bertanggung jawab memupuk perasaan syak wasangka antara kaum dan menggesa supaya kekuatan diperkuatkan dan kalahkan bangsa lain.

Tidak ada keharmonian dan perasaan satu hati, dalam kelangsungan kehidupan seharian.
Kerajaan perlu mengubah banyak perkara. Pemimpin semua kaum yang sayangkan perpaduan kaum untuk Malaysia yang akan datang harus memikirkan dasar pendidikan negara yang sedia ada perlu diubah atau sebaliknya.

Tadika Kemas jangan dilihat sebagai tadika anak Melayu dan harus disusun semula untuk bersesuaian kepada semua anak Malaysia tanpa menjejaskan sekolah agama fardu ain.
Pengisian Sekolah Rendah Kebangsaan dan Menengah mesti dirombak dengan memasukkan mata pelajaran bahasa Cina dan India dan mata-mata pelajaran lain yang dapat menyatukan anak-anak bangsa Malaysia.

Untuk masa jangka panjang hanya bidang pendidikan lah punca utama penyatuan kaum dan perpaduan anak bangsa Malaysia. Semua pihak kena berani membuat perubahan.
Apabila anak-anak pelbagai kaum berjaya dikumpulkan dalam satu sekolah maka ibu bapa pelbagai kaum juga dapat dikumpulkan dalam PIBG untuk membincangkan bersama hal kemajuan pendidikan anak-anak.

Kepada ahli-ahli politik, mereka haruslah sedar bahawa berpolitik tujuannya untuk berkuasa dan menjadikan negara sebuah kerajaan yang maju, lebih aman, progresif dan bersatu padu berbilang kaum dalam konteks Malaysia.

Berpolitik dengan mengumpan perkara sensitif untuk menjadi juara kaum sendiri akan meletakkan negara di atas bara api yang akan meletup menumpahkan laharnya.
Rakyat Malaysia di semua peringkat jurusan harus matang mengendalikan bidang masing-masing untuk menjadikan kita semua 1Malaysia.

ALIMEDANBARU
(Sumber: Utusan Onine 13mei2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan