SEPERTI yang terbukti pada PRU-13 yang baru lalu, polarisasi atau
jurang antara kaum menjadi semakin membimbangkan. Saya percaya di antara punca
perkara tersebut adalah kecenderungan menghantar anak-anak belajar di sekolah
jenis kebangsaan.
Ironinya, para pemimpin politik pelbagai bangsa sering
melaung-laungkan konsep 1Malaysia dengan menekankan integrasi antara kaum
sebagai satu bangsa Malaysia.
Malangnya anak-anak yang masih 'hijau' dan boleh dibentuk
(seandainya kita semua ikhlas mahu menjayakan konsep 1Malaysia tersebut)
dihantar untuk memulakan perjalanan ilmu dengan pergaulan yang terbatas
terhadap kaum sendiri sahaja dan penggunaan bahasa ibunda sendiri sahaja.
Jujurnya, bagaimana integrasi mahu dicipta jika sebegini caranya?
Pada pendapat saya, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil mungkin
perlu diteruskan sehingga Tahun Tiga sebelum anak-anak diserapkan ke Sekolah
Rendah Kebangsaan (SRK) mulai Tahun Empat.
Ini bagi membolehkan anak-anak kaum India yang rata-ratanya
mungkin agak terpencil daripada segi geografinya memperolehi masa yang cukup
untuk dipersediakan ke arus perdana.
Tetapi bagi SJK Cina pula, saya rasa adalah tidak perlu sama
sekali memandangkan majoriti rakyat Cina tinggal di bandar-bandar besar dan
berkemampuan tinggi dalam segi ekonomi dan fasiliti untuk menyediakan anak-anak
mereka untuk terus ke SRK.
Saya percaya langkah ini, walaupun mungkin tidak popular dari segi
politik, adalah langkah yang perlu diambil demi kepentingan integrasi nasional
di masa depan.
Daripada pengalaman saya beberapa tahun lalu ketika menemuduga
calon-calon pekerja untuk jawatan eksekutif dan teknikal untuk pasukan saya,
tidak sekalipun saya gagal untuk mengenal pasti mana-mana calon sama ada mereka
adalah anak didik SRK atau SRJK, walaupun kesemua mereka telah sekurang-kurangnya
memiliki ijazah dan telah beberapa tahun di alam pekerjaan.
Dalam pengamatan saya, calon-calon berpendidikan SJK, terutamanya
SJK Cina, selalunya lebih cenderung bergaul sesama mereka dan lebih banyak
menggunakan bahasa ibunda mereka yang sudah tentu tidak membantu untuk
mewujudkan suasana berpasukan yang jitu.
Oleh itu, saya mengesyorkan kajian semula dibuat untuk membekukan
sebarang penambahan SJK (sekolah baharu dan cawangan sekolah yang sedia ada);
dan menghapuskan terus konsep pendidikan SJK dengan segera.
ANAK WARISAN
(Sumber: Utusan online 13mei2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan