Pengikut

Khamis, Mei 09, 2013

SEKOLAH vernakular, ini kalilah!


PERDANA Menteri bercakap soal polarisasi kaum dan perpaduan selepas pilihanraya umum ke-13.  Semua sudah maklum majoriti atau sebagian besar kaum Cina tidak memihak kepada Barisan Nasional.  Malah Pas sudah awal-awal mengesahkan 90 peratus pengundi Cina di Selangor mengundi Pas, yang menyaksikan parti itu mendapat 15 kerusi.  Banyak bukti kukuh bahawa pengundi Cina secara jelas tidak menyokong BN. Lihat saja kes Parlimen Pandan dan Gelang Patah, kedua-dua kerusi yang dahulunya dimiliki BN melalui calon MCA sekarang dimiliki Pakatan Rakyat melalui DAP dan PKR.  Semuanya sah mengikut hukum demokrasi dan undang-undang.

contoh sebuah sekolah vernakular

Saya hendak mencatat soal perpaduan rakyat berbilang kaum melalui pendidikan. Siapa yang dapat menafikan pendidikan di negara kita berpetak-petak sebab memenuhi kehendak kaum, agama dan pentadbiran negeri-negeri.  Walaupun semua pakar pendidikan dan sosiologi setuju pendidikan yang selaras  itulah satu-satunya cara paling berkesan membentuk kesatuan bangsa Malaysia, namun atas pertimbangan politik dan kaum menyebabkan pendidikan berpetak-petak dibiarkan, malah disuburkan.

Malaysia ada sekolah kebangsaan sebagai sekolah arus perdana untuk semua kanak-kanak, namun sekolah berasaskan bahasa ibunda disuburkan juga. Akibatnya, perpaduan dan pembentukan jati diri Malaysia tidak sepenuhnya.  Antara sebab kerajaan melaksanakan program PLKN kepada lepasan sekolah menengah ialah masalah polarisasi kaum dalam kalangan orang muda.  Selain itu warga Malaysia yang tidak fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan juga disebabkan murid-murid mencari sekolah berbahasa ibunda.

Kerajaan cuba membuat perubahan dengan membuka Sekolah Wawasan.  Sekolah Wawasan ialah kewujudan tiga entiti sekolah rendah: Kebangsaan, jenis Cina dan Tamil dalam satu pagar sekolah.  Tujuannya tidak lain, supaya semua murid Melayu, Cina dan India berada dalam satu kawasan persekolahan.  Enam Sekolah Wawasan dijadikan perintis, tetapi bangkangan kuat parti pembangkang dan kaum tertentu memaksa program Sekolah Wawasan berhenti setakat itu.  Parti kerajaan (BN) takut kalah dalam pilihan raya sebab kaum berkenaan tidak mengundi BN jika meneruskan program Sekola Wawasan!

Sekarang hendak buat apa dengan sekolah-sekolah vernakular itu?  Dahulu sekolah berpetak-petak disuburkan semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik walaupun kesannya buruk kepada perpaduan kaum.  Sekarang memang sangat jelas BN tidak disokong oleh kaum berkenaan, maka adakah kerajaan (BN) masih hendak bermuka-muka membiarkan sekolah yang menjadi punca perpecahan kaum dan tidak ada jati diri Malaysia?  Inilah masanya kaji semula kedudukan semua sekolah berkenaan yang semua  dikata menjadi ‘duri dalam daging’ dalam perpaduan rakyat.  Orang Melayu dan Bumiputera memang sudah lama mahu kerajaan melakukan sesuatu untuk membawa beratus-ratus ribu murid bukan Melayu ke sekolah kebangsaan. 

Bila lagi? Pinjam kata-kata mereka,  ‘Ini kalilah!’

Kerajaan tidak ada lagi alasan bimbang kalah pilihan raya sebab jelas tanpa sokongan besar kaum berkenaan, kerajaan BN masih berdiri memerintah.  Malah orang Melayu dan Bumiputera menjadi pendukung kuat kerajaan.  Maka aspirasi penyokong kerajaan sekarang mesti diutamakan.  Perubahan dalam sistem pendidikan rendah bukanlah sebagai balas dendam, malah melakukan kebaikan yang sudah tertangguh hampir 60 tahun!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan