Pengikut

Jumaat, Mei 10, 2013

WAKIL Rakyat bukan jadi khadam rakyat


DALAM Pilihan Raya ke-13 baru-baru ini terdapat pertindihan pencalonan Pakatan Rakyat antara Pas dan PKR di beberapa kawasan.  Dalam media sosial berlakulah perdebatan antara kedua-dua penyokong parti itu berkenaan kelayakan calon.  Begitu banyak hujah, tidak ada satu pun yang saya temui bahawa calon yang bertanding dalam pilihan raya wajib mengetahui sistem pemerintahan dan proses penggubalan undang-undang.  Yang banyak dihujah ialah calon berilmu agama, kemesraan dengan masyarakat, kesanggupan berkorban kepada pengundi dan macam-macam lagi hal peribadi.


Kebanyakan pengundi berfikiran tugas Wakil Rakyat apabila memenangi pilihan raya ialah berkhidmat kepada rakyat sehingga mereka mengubah gelar Yang Berhormat kepada Yang Berkhidmat.   Rakyat dididik oleh sekian banyak ahli politik besar dan kecil-kecilan mengenai sumbangan Wakil Rakyat kepada rakyat seperti jenis-jenis pembangunan fizikal, khidmat sosial yang remeh temeh seperti longkang tersumbat, jersey pasukan bola dan menghantar isteri yang hendak bersalin ke hospital!  Sebab itu ada penulis blog mempersoalkan seorang anak raja (bangsawan) mengenai kesanggupannya menjadi rakyat marhaen jika menjadi seorang Wakil Rakyat.

Tugas Wakil Rakyat bukan untuk membasuh pinggan di kenduri-kendara, menjadi imam solat jenazah atau menyediakan peruntukan wang setiap sekolah di kawasannya.  Soal perancangan pembangunan, itu tugas Pegawai Daerah. Soal menjadi imam jenazah, itu tugas imam sesebuah kawasan.

Tugas utama Wakil Rakyat ialah menggubal undang-undang di Dewan Rakyat (baca juga Parlimen) atau Dewan Undangan Negeri (DUN).  Apabila selesai proses pengundian, tumpuan ialah berapa banyak wakil-wakil rakyat daripada parti menguasai Dewan Rakyat atau DUN.  Parti yang mendapat majoriti kerusi di dewan perundang-undangan akan membentuk kerajaan.  Wakil Rakyat akan membincang atau mendebat peruntukan undang-undang dan dasar-dasar negara.  Semua itu satu tugas besar untuk kelangsungan seluruh rakyat dalam sebuah negara.

Rakyat sepatutnya sangat prihatin dengan calon Wakil Rakyat dari segi keupayaannya berhujah, memberikan fakta, dan pengetahuannya berkenaan sistem pentadbiran negara.  Oleh itu mungkin orang yang lebih tepat menawarkan diri sebagai Wakil Rakyat ialah yang berpengetahuan luas dalam undang-undang dan pentadbiran. Para pengundi pula lebih wajib memerhatikan kehadiran Wakil Rakyatnya di Parlimen dan DUN berbanding hadir kenduri, membaca khutbah atau merasmikan ladang nanas!

Telah banyak kali peristiwa Wakil Rakyat tidak hadir dalam sesi mesyuarat di Parlimen atau DUN.  Begitu juga ada Wakil Rakyat yang mengambil keputusan mudah ‘keluar dewan’ atas sebab tidak bersetuju dengan sesuatu perkara. Perkara seperti itu lebih wajib dituntut oleh rakyat untuk penjelasan. 

Kesimpulannya, Wakil Rakyat hanya bertanggung jawab kepada  semua rakyat di kawasannya dalam bidang kerja utamanya di dewan perundang-undangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan