ADA orang mempromosikan politik kasih sayang. Maksudnya mereka berlainan parti politik atau
berbeda pendapat dalam banyak hal tetapi masing-masing hanya memberi hujah
berdasarkan isu yang dihadapi. Mereka tidak
membuat sindiran, celaan, provokasi atau
merendah-rendahkan pihak lain!
Bolehkah disuburkan budaya ini?
foto hiasan |
Jawabnya ‘jika ada kemahuan, di situ ada jalan’. Jika tidak mahukannya atas alasan ‘mereka
yang mulakan dahulu’ ada 1001 alasan boleh diguna untuk tidak bertamadun dalam
berbeda pendapat. Apabila manusia
berbeda pendapat yang akan diberi keputusan menang dan kalah, banyak yang gagal
mengawal perasaan. Lalu perasaan kerap
mengatasi pemikiran. Apabila perasaan
sentiada di hadapan, maka ucapan mestilah bernada perasaannya, selalunya
perasaan marah.
Tuan Mufti Perlis Dr Juanda membatalkan niatnya
untuk terjun dalam dunia politik sekarang sebab katanya ‘politik kita masih
belum menerima kesarjanaan dan terlalu sentimen’. Apabila ucapan mengenai tawaran dalam
manifesto sudah kerap didengar, khalayak politik tidak mahu mendengarnya
lagi. Kempen masih banyak hari, lalu
untuk menambah banyak khalayak mendengar ceramah politik hanya satu cara:
Pendedahan siapakah calon itu! Nah, maka
berduyun-duyunlah orang ke tapak ceramah PRU kita.
Itulah yang menjadikan ceramah politik seperti pesta,
mendapat sambutan hangat sebab ucapan yang didengar menyedapkan telinga.
Manusia bernafsu mana yang tidak suka mendengar
cerita dalam kain,
Manusia miskin mana yang tidak suka mendengar
cerita si polan kaya dengan tipu muslihat,
Manusia ‘beriman’
mana yang tidak suka mendengar manusia lain curang.
Semua gambaran yang dilihat merupakan satu
perbandingan dengan dirinya. Dia ada
nafsu seks tetapi tidak berzina seperti pemimpin itu. Dia hidup miskin tetapi tidak mencuri harta
orang untuk hidup. Dia menjaga solatnya
tetapi tidaklah berbuat dosa di belakang tabir.
Lalu dia seperti puas dengan hadir dalam ceramah pendedahan sang tokoh.
Sang penceramah pun suka kerna dapat menambah
pengaruh pidatonya dengan cara menjual peribadi orang. Sukar sekali mahu berkasih sayang dalam
politik yang diukur dengan siapa paling banyak mendapat sokongan. Sama ada menang atau kalah, serupa seperti sama ada hidup atau mati. Yang menang adalah benar dan mendapat
segala-galanya, yang kalah adalah salah dan hilang segala-galanya.
Apapun, landasan hidup tidak dikecualikan sewaktu
PRU ini. Umpat, buruk sangka dan perlecehan sewaktu kita berkenduri menjadi dosa,
tetap dosa juga pada musim pilihan raya.
Maksud firman Allah ayat 12 surah al-Hujurat,
“Wahai orang-orang beriman, jauhilah daripada banyak buruk sangka, sesungguhnya
buruk sangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”
Maksud hadis diriwayatkan oleh az-Zubur bin Awam,
bersabda nabi s.a.w., “Kalian telah terjangkiti penyakit umah yang lalu
iaitu dengki dan marah yang dapat mencukur (memusnahkan). Aku tidak katakana mencukur rambut tetapi
mencukur (memusnahkan) agama. Demi zat
yang jiwaku dalam tangan-Nya, kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian
beriman, kalian tidak akan beriman jika kalian tidak saling berkasih
sayang. Mahukah kalian aku beritahu
bagaimana cara menumbuhkan hal itu?
Iaitu sebarkanah ‘salam’ dalam kalangan kalian.” (HR al-Tirmizi,
Ahmad dan al-Baghawi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan