Pengikut

Khamis, November 13, 2008

ULANG tahun pertama blog

HARI ini 13 November 2008 cukup setahun blog ini berada di alam maya. Blog ini bukanlah pilihan utama para pelayar di alam maya, namun tetap mempunyai peranan sendiri dalam menyampaikan maklumat.

Sewaktu ingin membuka blog setahun lalu, penulis telah memikirkan beberapa perkara seperti tema dan isi kandungan serta matlamat pembinaannya. Penulis sedar cara-cara untuk meraih bukaan terbanyak dalam media mestilah menampilkan isu-isu semasa yang panas. Semakin panas isu yang digarap, semakin menjadi buruan pelayar maya. Namun penulis tidak memilih kaedah seperti itu.

Penulis juga ada pilihan untuk menulis isu panas seperti politik dan menyembunyikan identiti diri. Namun penulis berpegang kepada ketelusan dan kejujuran kerana bagaimana dan di mana pun seseorang hendak menyembunyikan diri, tidak lepas daripada pengetahuan Allah swt. Oleh itu, penulis menulis dengan terbuka dan diketahui identitinya.

Tidak ada apa-apa yang kontroversi selama setahun blog ini dilayari, dan yakin bahawa blog ini juga telah dikenalpasti kategorinya oleh pihak yang menjaga keselamatan dalam negara. Oleh kerana blog ini bertemakan ‘alquran dan sunnah’ mana penulis juga yakin pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam negara Malaysia juga memantau isi kandungannya.

Sekalipun ada terbitan dalam blog ini yang tidak selaras dengan uruf masyarakat muslim dalam negara, namun penulis tidak merasa ada kebimbangan apa-apa. Keyakinan penulis ialah bahawa alquran dan sunnah adalah hujah kebenaran dalam mana-mana jalan mencari jalan Tuhan!

Semoga penulisan dalam blog ini terus mendapat petunjuk Tuhan demi menyampaikan mesej-mesej yang benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan