Pengikut

Selasa, November 18, 2008

CERITERA sebuah van

SELALU orang bertanya: Apa yang ada pada sebuah van lama? Cuba cari jawabannya di balik sebuah van yang dianggap sudah berumur. Sewaktu dalam masih hangat berhari raya, Allah menakdirkan kenderaan penulis rosak teruk kerana kecelakaan di jalan raya. Maka terasa payah benar untuk pengurusan hidup yang selama ini hanya bergantung pada sebuah kereta itu.


Seorang sahabat memberikan van yang dikatakan telah berusia kepada penulis, guna pengurusan hidup berkeluarga. Dan kebetulan juga dalam tempoh itu anak penulis mendapat kecederaan di kaki, sehingga ada waktunya payah juga membawanya dengan menunggang motorsikal. Justeru terasa berharganya sebuah van itu.

Rupa-rupanya kenderaan penulis tidak dapat dibereskan dalam tempoh terdekat, memaksa penulis terus menggunakan van berkenaan termasuk berkelana jauh. Untuk menambah cerita sebuah van, kenderaan yang dipinjamkan oleh sahabat ini rosak pula. Sahabat ini pula yang mengambil van ini dan menghantarnya ke bengkel untuk pembaikan.

Benarlah Allah yang mengatur kehidupan hamba-hamba-Nya, maka dalam keadaan penulis kepayahan anak yang masih sakit dan musim hujan sahabat ini memberikan pula sebuah keretanya yang masih baru dengan alasan berkursus jauh. Lalu penulis berkesempatan menggunakan kereta barunya untuk tiga hari pula.

Sehingga itu kereta penulis masih tidak dapat dikeluarkan daripada bengkel, maka van yang sudah dibaiki diberikan semula kepada penulis untuk kegunaan harian.

Cerita sebuah van lama sebenarnya cerita seorang sahabat yang terhasil daripada tarbiyah iman dan taqwa. Sama seperti kaum Ansar di Madinah menjadi penolong kepada kaum Muhajirin yang sangat unik dan indah, tidak ditemui dalam sejarah persahabatan dan persaudaraan manusia. Islam, iman dan taqwa telah menjadikan manusia meleburkan rasa kepentingan peribadi kepada kehendak sejagat yang tidak menagih balasan dunia.

Maka, kepada Allah juga segala pengalaman dan rintihan cerita sebuah van berusia disampaikan. Untuk penulis membalas budi sahabat ini, entah sampai atau tidak tahap keadilan yang sebenarnya. Oleh itu kepada Allah juga diharap sahabat ini mendapat balasan indah yang sangat adil. Moga-moga Allah memberikan balasan kebaikan di dunia ini, apatah lagi di akhirat sana.

1 ulasan:

  1. kalau nak balas, kena tolong orang lain kerana sukar membalas orang yang ditujui.

    BalasPadam