Pengikut

Sabtu, Julai 19, 2008

TAFSIRAN akal dalam Isra dan Mikraj

PROFESOR Dr Ahmad Shalaby (1970) seorang ilmuan Islam dalam bukunya Sejarah dan kebudayaan Islam telah menyentuh peristiwa Isra dan Mikraj Rasulullah secara jujur. Rupa-rupanya pengalaman ilmuan Arab ini tidak jauh bedanya dengan pengalaman kebanyakan muslim di Nusantara berkenaan huraian cerita Isra dan Mikraj Rasulullah yang berlaku pada tahun 11 kerasulan baginda.

Semua menerima keunikan atau keajaiban isra dan mikraj ini. Kerana keajaiban yang Allah berikan kepada Rasulullah maka peristiwa besar ini menjadi tumpuan pengkaji. Di sana kelihatan ada yang mengambil kesempatan untuk menampilkan citra kaum tertentu seperti yang pro-Yahudi atau menambah cerita supaya umah memahami sebagaimana perjalanan manusia biasa di permukaan bumi.

Perhatikan cerita yang dimantapkan kepada umah sejak sekian lama bahawa ada pertemuan berulangkali antara Muhammad Rasulullah saw dengan Nabi Musa as berkenaan kewajiban solat. Dikhabarkan apabila Rasulullah menerima perintah 50 waktu solat sehari dan akan pulang, bertemu dengan Nabi Musa. Nabi Musa menasihati Rasulullah saw untuk memohon kepada Allah supaya dikurangkan jumlah solat itu. Digambarkan bagaimana Rasulullah berulang-ulang bertemu Allah untuk merundingkan jumlah solat hasil nasihat Nabi Musa, sehingga yang terakhir ialah lima waktu saja.

Imej huraian Israilliyat ini ialah menggambarkan kehebatan Nabi Musa melebihi Nabi Muhammad saw, yang seperti Nabi Musa itu lebih tahu hal umat Nabi Muhammad saw. Nabi Musa as diutus khas untuk bangsa Yahudi. Allah swt pula kelihatan seperti tidak mempunyai pendirian dan dapat dirundingi ketika mewajibkan amalan solat. Cerita bagaimana Allah dapat dirundingi oleh manusia sebenarnya terdapat dalam Bible Perjanjian Lama. Tanpa disedari akidah muslim dirosakkan apabila menerima sifat Allah yang demikian rupa, menyamai sifat manusia yang berbolak-balik ketika menetapkan sesuatu.

Menurut Dr Shalaby, kewajiban solat lima waktu memang diterima semasa mikraj Rasulullah. Cukup beliau mahu mengajak umah menerima begitu saja tanpa mempercayai cerita turun naiknya Rasulullah setelah dinasihati Nabi Musa. Ini lebih bersih dan suci selain terus menguatkan akidah muslim.

Dr Shalabi menempelak pihak yang menggunakan akal fikiran semata-mata dalam memahami Isra dan Mikraj Rasulullah. Menurutnya perkara ghaib dan penuh keajaiban ini tidak dapat diteroka atau ditafsir sebagaimana perjalanan manusia di bumi. Pencerita yang mengatakan Burak sebagai kenderaan Rasulullah ditambat (seperti menambat kuda) adalah hasil pengaruh kebendaan atau fizikal yang manusia alami. Ini merupakan tokok tambah yang salah sama sekali.

Lagi, tidak sah langsung bagaimana ada stesen-stesen di setiap langit dan berlaku dialog keizinan supaya perjalanan Rasulullah dan Jibril diteruskan. Misalnya penjaga pintu menanyakan kepada malaikat Jibril tentang temannya. Setelah Jibril memberitahu bahawa temannya ialah Rasulullah saw barulah pintu langit dibuka. Menurut Dr Shalaby, tentulah Allah telah menyediakan perjalanan khas yang tidak perlu ada apa-apa sekatan sebagaimana akal manusia menggambarkan pada perjalanan manusia di bumi.

Kesimpulan ringkas ialah peristiwa Isra dan Mikraj Rasulullah saw adalah satu mukjizat, suatu yang dikhaskan oleh Allah kepada kekasihnya. Keajaiban dalam mukjizat tidak dapat dipadankan dengan kehidupan manusia biasa, apa lagi hendak diteroka oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Wa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan