Pengikut

Khamis, Julai 24, 2008

PENGAJARAN daripada mubaligh

BEBERAPA waktu yang lalu rakan penulis seperti terpaksa berhadapan dengan dialog atau usaha pendakyahan Kristian oleh seseorang. Apabila rakan penulis bercerita keadaan itu, penulis membantunya dengan memberikan beberapa rencana dan buku kecil oleh Syeikh Ahmad Deedat yang profilik dengan dialog Islam–Kristian. Penulis juga meminjamkan naskhah Bible Melayu untuk dibawa dalam dialog berkenaan. Penulis juga amat mengenali mubaligh Kristian berkenaan.



Kini tiada lagi dialog atau usaha pendakyahan teologi Kristian terhadap dirinya. Keadaan ini bukan kerana rakan penulis takut menghadapi cabaran, malah sebaliknya mubaligh Kristian itu yang berundur dan tidak mahu lagi berbicara agama Kristian kepada rakan penulis. Keadaan ini sangat kontradik kerana pada hari pertama mubaligh itu bertemu kami, dia cukup bersemangat dan kelihatan sangat bersedia untuk menyebarkan teologi kristian yang diyakininya.

Rakan saya bukan seorang ustaz, orang biasa saja. Mengapa keadaan macet ini berlaku? Mubaligh berkenaan tidak mampu berdialog teologi Kristian kerana rakan saya berpandukan kepada Bible. Ternyata mubaligh berkenaan kaget dan tidak mampu memberi penjelasan mengenai siri kontradiksi dalam Bible. Hal-hal yang yang menjadi teras seperti kontradiknya catatan Matius, Yohannes, Markus dan Lukas mengenai penyaliban Jesus sudah menyebabkan mubaligh itu menutup dialog. Begitu saja akhirnya. Kami boleh bergaya membaca Bible tetapi mubaligh berkenaan tidak langsung berani membuka alquran untuk ditelaah!

Cuma yang kami agak terkilan kerana belum sempat memberi nasihat berkenaan: “Jika anda mahu menjadi penganut Kristian yang tenang, jangan meneliti Bible kerana akibatnya pegangan Kristian anda akan goyang. Berbeda dengan kami, semakin meneliti alquran pegangan Islam kami semakin mantap.”

Ada pengajaran besar daripada sejarah ini. Adakah kita selaku individu atau masyarakat muslim akan benar-benar berani meneliti alquran demi memantapkan akidah dan ibadah Islam. Pilihan kedua ialah adakah antara kita yang akhirnya bersikap seperti mubaligh Kristian berkenaan, iaitu tidak berani meneliti kandungan alquran kerana pemahaman dan pegangan Islamnya salah. Salah kerana tidak berasas daripada alquran!

Berapa banyak antara kita selaku ahli masyarakat muslim tidak berani menjawab pertanyaan mengenai Allah, sedangkan hari-hari menyempurnakan solat, tanda paling tinggi pengabdian seorang hamba kepada Tuhan. Sedangkan hal-hal mengenai Allah tercatat jelas dalam alquran.

Berapa banyak orang yang mempertahankan amalan tahlil atau ibadah pengiriman pahala kepada para arwah sebagai ajaran Islam. Malangnya mereka tidak berani membandingkan amalan adat itu dengan isi kandungan alquran. Sebahagiannya sudah menghidu bahawa amalan berkenaan berlawanan dengan banyak ayat alquran.

Dahulu ada wartawan agama berpendapat bahawa nikmat atau siksa dalam kubur tidak wujud. Respon orang ramai terus kepada menyalahkan wartawan berkenaan dan melabelkan sesuatu yang sangat buruk. Tidak banyak yang menjawab pandangan kontroversinya melalui nas alquran. Sama ada si wartawan berkenaan atau para pembela amalan Islam mesti kembali merujuk kepada isi alquran.

Menyatakan amalan itu dan ini sebagai Islam sahaja tidak mencukupi. Kemudian apabila timbul kontroversi tentang keabsahannya, tidak cukup dengan mengutuk mereka yang tidak sependapat, sebaiknya kembalikan kepada alquran dan sunah. Di sanalah ada kebesaran jiwa dan kejujuran ilmiah.

Semua ini menjadi pengajaran kepada diri sendiri supaya berlaku jujur dalam menentukan sikap dan pendirian. Kejujuran dan ketulusan hati memang dituntut untuk menjadi muslim. Berapa banyak kita mendakwa sebagai hamba Allah, hamba yang sewajibnya menyerahkan sahaja diri dan nasibnya kepada Allah, tetapi masih berkonflik kepentingan.

Menyerah diri sebagai muslim bererti menyerahkan dirinya untuk menerima pendidikan yang diberikan oleh alquran. Memang banyak kepentingan diri yang berlawanan dengan kehendak alquran, namun itulah pengorbanan muslim atas nama hamba Allah. Memang susah dan memeritkan apabila pemahaman dan amalan yang disangka sebagai ajaran Islam tetapi sebenarnya berlawan dengan isi kitabullah itu.

Maka, patut benarlah setiap waktu dalam berdoa, muslim meminta petunjuk daripada Allah supaya bertambah jelas dan faham mengenai jalan yang lurus di sisi Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan