Pengikut

Jumaat, Julai 04, 2008

PERSEPSI politik berkandang

POLITIK pada hari ini sangat berbeda berbanding yang dilaksanakan oleh Rasulullah di Madinah. Pada zaman ar-Rasul, hanya ada satu organisasi atau parti iaitu jemaah Islam, dan Rasulullah adalah pemimpinnya. Rasulullah sendiri mendapat bimbingan wahyu secara langsung daripada Allah. Saingan utama jemaah Islam hanya kumpulan munafik. Dengan bantuan wahyu, mudah saja tindakan terhadap kumpulan munafik di Madinah.

Hari ini dalam sistem demokrasi, dibenarkan wujud berbilang parti atau organisasi atas apa-apa kepentingan. Maka di negara Malaysia yang kecil dan penduduknya hanya 26 juta (berbanding India 1000 juta dan China 1300 juta) yang umat Islamnya hanya kira-kira 15 juta. Daripada jumlah 15 juta itu hanya kira-kira 8 juta orang Melayu atau muslim yang menjadi pengundi. Biarpun sedikit ahli politik yang aktif tetapi kerana kewujudan berbilang parti, maka berlakulah persaingan merebut pengaruh.

Kaedah berpolitik yang dicedok daripada kantung penjajah Barat jelas mengalakkan persaingan yang tidak sihat. Sama seperti parti politik yang tidak berpaksi Islam dan Melayu, perjalanan parti-parti politik Islam Melayu juga sangat mengharap pembentukan persepsi para pengundi.

Politik persaingan memang mengharap kejayaan membentuk minda rakyat melalui anggapan atau persepsi terhadap sesuatu itu yang dibawa. Parti Melayu A akan bekerja keras membentuk anggapan umum bahawa musuhnya Parti Melayu B sebagai jahat, jumud, tidak berguna dan sangat merugikan. Begitu juga sebaliknya. Semua ini tidak berdasarkan fakta kerana anggapan ini sangat subjektif, tidak boleh diukur dengan apa-apa standard. Maka berlaku serangan-serangan minda untuk membentuk persepsi sama terhadap seseorang tokoh dan sesebuah parti. Tidak perlu apa-apa pembuktian khusus mengenai persepsi. Sesuatu fakta kecil akan dieksploitasi secara besar-besaran untuk membentuk anggapan atau persepsi yang diharapkan. Walhal fakta sebenarnya tidak begitu. Ini yang dikatakan kaedah politik secara berparti zaman demokrasi kita jauh berbeda daripada zaman Rasulullah.

Contoh terbaik ialah pemakaian tanjak seorang tokoh pada tahun 1990. Tokoh berkenaan memakai tanjak itu sebagai menghargai budaya kaum berkenaan yang bersahabat dengan sang tokoh. Memang pada tanjak itu kedapatan tanda palang. Musuh-musuh politik tokoh berkenaan telah mengeksploitasi tanda palang dengan agama Kristian. Huraian-huraian seterusnya ke tahap mempersoalkan akidah sang tokoh. Akhirnya terbentulkan satu persepsi bahawa sang tokoh akan membawa misi Kristian dalam arus pemerintahan negara. Nah, akhirnya sang tokoh diwatakkan sebagai hitam dan partinya dijauhi pengundi. Apa selepas itu? Tidak ada apa-apa, tidak juga sang tokoh dinasihati oleh ahli akidah agar bertaubat. Itu semua persepsi yang condong kepada tuduhan. Tuduhan yang tidak dapat dibuktikan, tetapi sangat berkesan dalam politik persaingan antara parti.

Terlalu banyak hal-hal kecil dan terpencil tetapi telah diperbesar-besarkan atas nama pembentukan persepsi politik. Kesannya, ialah pemikiran pengikut-pengikut parti politik telah diorientasi agar melihat dengan persepsi buruk parti yang dimusuhi dan memandang partinya seperti parti malaikat.

Persepsi terhadap sesuatu isu akan diperbaharui dari masa ke semasa. Di samping itu persepsi baru dibina satu persatu untuk menebalkan kekukuhan tembok kepartian. Ini samalah seperti asabiyah yang dibenci olah Islam. Apa saja yang datang daripada parti atau kabilahnya mesti diterima sebagai baik dan dipertahankan, dan yang ada pada parti atau kabilah lawan dilihat salah dan mesti diperangi.

Maka jangan kaget jika para pengikut parti politik gemar terperangkap dalam permainan persepsi keburukan lawannya. Inilah modal terbaik untuk bermusuh dan berpecah sekalipun sesama Melayu dan Islam. Dalam persaingan antara parti politik (sekalipun atas nama Melayu dan Islam) bukan suatu yang mudah menterjemah kehendak Islam bahawa politik atau kekuasaan terhadap negara adalah amanah. Amanah yang akan dipersembahkan semula di Padang Mahsyar.

Ekonomi iaitu wang dan kekayaan telah mengaburi kehendak amanah. Maka berlakulah perang parti atas nama pembangunan bangsa dan agama, walhal di balik itu sebenarnya atas nama ekonomi semata-mata. Kuasa adalah tangga kekayaan, maka kuasa wajib dipertahankan atau dicari dengan cara apa pun. Sampai di sini, diamkan saja bangsaku Melayu, Islam dan amanah Tuhan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan