Pengikut

Khamis, Julai 31, 2008

MENDAMAIKAN Pas dan Umno

KALAULAH para pembaca teliti, pendirian penulis dalam hal politik negara amat jelas, iaitu mahukan kedamaian dan kesatuan umah. Beberapa rencana yang lalu penulis sendiri sangat kesal dengan perpecahan muslim kerana politik. Malah politiklah punca terbesar perpecahan Melayu muslim di negara ini.

Apabila terbukti dua parti politik Melayu Islam Pas dan Umno telah bersidang dan bersedia untuk mengadakan rembukan semula, maka sebagai mendukung gagasan alquran dan sunah, penulis sangat mengalu-alukan keadaan ini. Rasa damai dan nyaman apabila sesama muslim bertemu adalah fitrah orang beriman.

Membaca surah al Hujurat sangat mengesankan bagaimana alquran membimbing umah dalam berpolitik dan bersosial. Ayat 10 mengesahkan orang beriman adalah bersaudara. Adalah fitrah sebagai muslim akan berasa senang apabila bertemu dan bergaul dengan muslim yang lain. Perhatikan apabila seorang muslim berada di negara yang penduduknya banyak tidak muslim seperti China dan Jepun. Apabila seseorang muslim bertemu saudara muslim lainnya seperti bertemu saudara kandung. Bersalaman dan bertanya khabar, walhal itulah kali pertama pertemuan. Kita tidak perdulipun apa pendirian politik saudara muslim yang baru ditemui.

Maka Pas yang bertunjang ajaran alquran dan sunah sangat menepati fitrah orang-orang beriman apabila bertemu saudara sebangsa seiman daripada Umno. Manakah yang lebih nyaman bergaul dengan sesama Melayu Islam sekalipun berbeda parti politik berbanding bergaul dengn kumpulan bukan Islam malah secara terbuka menentang Islam?

Penulis pernah menyatakan bahawa politik adalah bergantung kepada persepsi. Pas dan Umno saling membina persepsi untuk bermusuhan selama ini, maka apa salahnya sekarang mereka membuka persepsi baru sesama Melayu dan Islam. Membuat persepsi secara semberono bukan ajaran alquran, malah ada larangan dalam surah hujurat ayat 11 dan 12. Malah setiap muslim dilarang oleh alquran menerima khabar angin, tentunya membawa keburukan. Persepsi, mempersenda golongan lain dan khabar angin selama ini telah merencahi politik Melayu Islam, walhal semua itu bukan fitrah manusia beriman. Allah berterus terang menegah perbuatan demikian dalam surah al Hujurat.

Penulis seronok apabila membaca dan mendengar hujah ahli-ahli politik Islam bahawa politik adalah amanah untuk membawa kesejahteraan dan kemajuan umah. Maka ahli-ahli politik bagai bertekad dan akan berkorban untuk menyambung amanah zaman berzaman. Maka difahami biarlah diri mereka terkorban, asalkan Islam dan umah terbela di muka bumi ini.

Jika ahli-ahli politik Pas dan Umno benar-benar membawa gagasan amanah Allah atau khalifah Allah di muka bumi, teruskanlah pertemuan yang membawa pergabungan kedua-duanya. Biarlah jika ada golongan lain mempertikai dan mula mengejek perbuatan bertemu dua parti, kerana fitrah orang berjuang untuk kebenaran ialah ditentang oleh mereka yang tidak sukakan kehendak kebenaran. Mana ada syaitan dan manusia munafik setuju orang beriman bersatu? Mereka pasti akan mengkritik, menghina dan mengungkit-ungkit tindakan dan pendirian masa lalu yang dikatanya ‘meludah ke langit’.

Orang-orang yang asalnya tidak beriman dan kemudian beriman juga boleh dimaksudkan ‘meludah ke langit’ kerana menukar akidah. Berapa banyak manusia dan sahabat Rasulullah boleh dikira meludah ke langit apabila pernah dahulunya memusuhi Islam kemudian memeluk Islam?

Dahulunya Pas dan Umno bermusuh kerana kepentingan atau kerana persepsi masing-masing, maka apabila telah terbuka hati mendapat petunjuk Allah agar dilakukan perdamaian dan perpaduan, tidak wajar berundur hanya kerana bimbang dikata meludah ke langit.

Pemimpin-pemimpin Melayu Islam wajib membuktikan Islam adalah cara hidup yang mendorong perpaduan, tambahan sesama akidah. Apa masalah antara ahli-ahli Pas dan Umno? Tidak ada sesiapa antara mereka yang berani mempertikaikan akidah atau menganggap di bukan pihaknya sebagai kufur. Di masjid semua berbaris dalam saf dan menyembah Allah yang satu, maka buktikanlah kepatuhan perintah Allah yang satu akan menyatukan umah seperti di masjid pada setiap waktu solat.

Umah sedang menunggu berita baik seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan