Pengikut

Ahad, Julai 06, 2008

SILA lakukan mubahalah

MUBAHALAH. Istilah lama yang diperkenalkan semula kerana krisis tuduh menuduh tanpa henti antara dua pihak, sehingga melibatkan pandangan awam. Semua orang tahu kini pentas politik sedang dihidangkan menu selak kain yang amat mengaibkan. Ada orang mendakwa dikenakan dan yang dituduh mengenakan mangsa telah menafikan. Oleh kerana kes ini melibatkan ahli politik besar, maka besarlah pasaran berita dan ceritanya.

Tuan Musti Perlis telah mencadangkan agak kedua-dua pihak melakukan mubahalah iaitu bersumpah dengan nama Allah dan kesanggupan untuk dilaknat Allah jika sumpahnya sebagai dusta. Mubahalah bukan sumpah biasa, juga bukan kerja menjunjung alquran seperti yang difahami oleh sebahagian orang termasuk tokoh muda dalam politik. Mubahalah tidak perlu menjunjung alquran dan bukan semestinya dalam masjid.

Aturkan persetujuan dan pertemuan. Pastikan mereka yang berbalah dan saling tuduh dan menafi berada dalam satu tempat dan kedua-duanya melakukan mubahalah.

Mengapa perlu mubahalah? Inilah saatnya manusia diajak kembali kepada ajaran alquran dan sunah kerana dalam keadaan kacau begini semua mahukan kedamaian. Kedamaian ada dalam alquran dan sunah. Jika selama ini banyak yang menjadikan kalimah Allah hanya sebagai urusan rasmi seperti bacaan doa, maka dengan mubahalah akan terasa dekat dengan Allah sebagaimana rasa dekatnya hamba Allah dengan Pencipta ketika di hadapan Kaabah.

Kedua, mubahalah juga akan menjadi satu kaedah dakwah kepada yang selama ini sinis dengan politik Islam, iaitu politik yang melaksanakan amanah Allah. Dengan kesanggupan kedua-dua pihak menyerahkan kebuntuan kes kepada Allah, maka akan timbul semula kesedaran bahawa apa yang berlaku atas dunia ini tetap dalam perhatian dan perhitungan Allah. Moga-moga dengan balasan Allah yang berlaku di dunia ini kesan mubahalah akan mengingat apa yang disebut ‘balasan Allah secara tunai’, merujuk kepada cerita-cerita kaum terdahulu dihukum oleh Allah dengan segera berbanding umat akhir zaman ini.

Ketiga, kepada puak yang memperjuangkan kehidupan sekular semoga akal mereka mula berfikir mengenai kuasa Allah ada di mana-mana, bukan hanya di tempat-tempat ibadah khusus sahaja.

Sekalipun kerja tuduh-menuduh dalam isu dalam kain sangat mengaibkan, mungkin ada sedikit hikmah jika kebuntuan ini diselesaikan berdasarkan ajaran Allah dan rasul-Nya.

Untuk membaca penjelasan Tuan Mufti Perlis mengenai mubahalah boleh rujuk
www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0760&pub=Utusan_Malaysia&sec&Bicara_Agama&pg=ba_01.htm atau dalam sesawang Tuan Mufti berkenaan http://drmaza.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan