Pengikut

Isnin, Mei 12, 2008

BICARALAH hal furu itu


SUATU ketika dalam bicara saya dengan seorang ustaz haraki mengenai kerja-kerja dakwah kepada bukan Islam, saya menyebut mengenai anjing yang sepatutnya mudah saja urusannya. Dia kurang bersetuju dengan saya kerana membangkitkan hal furu. Baginya sebutlah hal akidah, hal yang pokok. Namun saya jelaskan bahawa tidak salah membangkitkan hal furu untuk dibincangkan kerana ada ketikanya hal furu itulah sebagai pintu masuk dalam kerja-kerja dakwah.





Maksud saya kepada ustaz berkenaan ialah pandangan biasa Melayu Muslim mengenai anjing sangat keras sedangkan orang bukan Islam bergelumang dengan anjing. Berdasarkan pengetahuan dan pergaulan dengan bukan Islam ini, perkara anjing ini sudah menjadi budaya dan sukar dihilangkan. Pandangan bukan Islam di negara kita ialah anjing sebagai satu masalah besar kepada Islam. Tentu mereka merujuk kepada cara hidup orang Melayu.

Inilah tujuan saya, sepatutnya apabila ada pendapat lain dalam hukum fikah yang lebih ringan mengenai anjing seperti hujah Imam Malik, patutlah kita condong ke sana. Kalau kita sedia maklum bahawa hal furu tidak mencacatkan akidah, maka sepatutnya perbincangan hal furu digalakkan untuk mencari kesesuaian sesuatu golongan. Bukan semua manusia yang menganut Islam itu akan berbudaya seperti kaum Melayu yang sangat jelik dengan anjing.

Lihat emel yang diterima oleh Dr Mohd Asri daripada bukan Islam mengenai keluwesan fikah Islam yang ditonjolkan oleh Tuan Mufti ini. Perkara yang kecil tetapi sangat ketat iaitu muslim dilarang berkongsi pinggan mangkuk dengan bukan Islam. Apabila hal ini didedahkan bahawa muslim masih dibenarkan berkongsi alatan memasak dan wadah-wadah makanan, nampaklah kekesalan keluarga bukan Islam yang selama ini dalam kesusahan menerima anak dan menantu yang sudah Islam.

Cuba lihat bagaimana susahnya anak-anak mahu mendirikan solat hanya kerana tidak menghafal lafaz niat dalam bahasa Arab dan tidak tahu hendak memasukan niat ketika takbiratul ihram. Nampaknya setiap jenis solat telah ditetapkan lafaz yang berbeda. Dan telah terbukti pula dalam kalangan mereka termasuk yang dewasa berkali-kali melafazkan ‘Allahuakbar’ semata-mata kerana tidak masuk niat solat.

Apabila keadaan kian menyusahkan seperti itu, kenalah pendakwah menyebut juga bahawa lafaz niat bukan daripada sunah Nabi dan diterangkan yang mudah saja. Hal ini bukan sengaja untuk berpecah dan berbeda-beda padangan, namun untuk kemudahan amal ibadah seseorang. Memang itu hal furu yang sesetengah orang mahu ditutup rapat, tidak mahu berbincang langsung. Jika masalah timbul, bukalah perbincangan demi kemudahan sebagai seorang muslim.

Baru-baru ini saya berada dalam perkhemahan pelajar-pelajar sekolah menengah. Nampak sangat pelajar kesuntukan masa untuk solat dan mengejar aktiviti. Antara yang saya bincangkan dengan seseorang ialah galakkan pelajar menjamak solatnya. Pantas dia sinis dengan pandangan saya bahawa dalam satu daerah yang tidak boleh dijamak solat. Setelah saya ajukan cadangan saya kepada sekumpulan pelajar, mereka seperti lebih rela tidak solat daripada menjamak solat.

Mungkin selepas ini saya akan membuat satu modul kecil bagaimana bolehnya solat jamak dalam satu daerah, solat memakai but, mengusap kasut atau stokin ketika wudhu dan bertayamum sekalipun di hadapannya ada air! Tentulah hal ini belum didedahkan kepada remaja, sedangkan mereka senantiasa berhadapan dengan masalah untuk bersolat seperti biasa.

Biarlah, kalau masih dikatakan furu dan mewujudkan perbedaan, asalkan sebagian masalah mendirikan solat ini dapat dijalankan mengikut jadualnya. Saya yakin ada kalanya orang yang yang memintas dialog yang berbeda dengan mengatakan perbincangan furu, sebenarnya dia dalam kebingungan untuk menyelesaikan masalah.

Kesimpulan awalnya ialah sebagai pendakwah kenalah kreatif untuk membuka hal furu sebagai perbincangan. Perbincangan ini sekalipun bertujuan memperkenalkan sunah tetapi mungkin lebih menjurus menyelesaikan masalah kecil-kecil dalam kalangan masyarakat. Akhirnya pendedahan yang dikatakan hal furu atau ranting dapat juga mengubati masalah yang dihadapi. Itu masih jauh lebih baik kepada masyarakat muslim. Dan sebenarnya mereka sedang meniti bimbingan alquran dan sunah.

Jumaat, Mei 09, 2008

YANG buta erti alquran

DI MASJID dan surau banyak surah Yasin dan naskhah alquran. Di rumah-rumah juga mesti ada alquran. Memang orang kita membaca alquran dan tentunya surah Yasin paling banyak dibaca, khasnya pada malam Jumaat. Itulah pengisian tradisi beragama sekian lama.

Kebanyakan kita membaca alquran untuk mendapat manfaat selepas mati, kurang untuk semasa hidup. Baca untuk dapat pahala yang difahami sebagai amal salih, amal yang akan memberatkan timbangan pahala mengalahkan dosa. Kerana fahaman kita sangat kuat bahawa membaca alquran salah satu grand amal salih dan pahalanya besar, kebanyakan kita melupakan tujuan sebenar alquran diturunkan kepada manusia. Memanglah berdasarkan hadis nabi membaca alquran akan mendapat pahala berdasarkan huruf.

Pada pembukaan surah albaqarah Allah menjelaskan alquran ini sebagai petunjuk jalan hidup manusia. Oh, banyak sekali ditemukan bahawa manusia diseru membaca dan memahami alquran, kemudian yang penting melaksanakan arahan-arahan Allah serta menerima tegahan-tegahan-Nya.



Dalam keadaan yang membaca alquran hanya tahu membaca tetapi tidak memahami ertinya, masih payah ditemukan alquran dan terjemahannya di rumah-rumah. Eloklah masjid dijadikan kayu ukur sebagai pusat keilmuan Islam. Namun masjid yang menjadi tumpuan majlis ilmu juga kering daripada hidangan alquran dan terjemahan. Terus terang saya telah membuat tinjauan untuk mencari terjemahan alquran di sebuah masjid bertaraf negeri, hampa!

Kemudian, banyak pusat fardu ain dibuka tetapi belum nampak mana satu yang menawarkan program kaedah menterjemah alquran. Bagi masyarakat kita, sebagian erti fardu ain ialah pelajaran iqra, kaedah membaca alquran. Sudah menjadi budaya, kalaulah anak-anak berjaya membaca alquran dan tamat 30 juzuk, maka dikira khatam dan dibuat pulut kuning. Belum ada dalam minda agar memahami maksud ayat-ayat alquran sebagian fardu ain.

Pelajaran menterjemah alquran secara harfiah adalah asas memahami alquran dan secara tidak langsung mengenali bahasa Arab. Anehnya, banyak juga iklan menawarkan kursus bahasa Arab. Baguslah ada pengetahuan bahasa Arab, tetapi saya belum pernah melihat satu komuniti orang Melayu saling berbahasa Arab di negara kita. Saya percaya banyak ustaz dan orang pendidikan agama tahu berbahasa Arab, tetapi mereka tidak membudayakan bahasa itu.

Oleh kerana para ustaz dan mereka yang terdidik dalam agama faham bahasa Arab sukar saya faham mengapa pelajaran menterjemah alquran ke dalam bahasa ibunda (Melayu) tidak ditawarkan kepada masyarakat. Saya ada pengalaman belajar menterjemah alquran secara harfiah di Maahad Ittiba as Sunnah (MIS) Kuala Pilah daripada pelopor utamanya almarhum Ustaz Hasyim Ghani. Pada saya kaedah ini paling senang dan praktikal. Dalam sekolah pendidikan ahli-ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM) tahun 1990-an juga buku Terjamahan Harfiah oleh Ustaz Hashim Ghani menjadi salah satu buku yang terpilih untuk meningkatkan kualiti ahli jemaah.

Program ‘iqra, tajwid dan taranum di TV sebenarnya cermin budaya masyarakat Islam meladeni alquran. Membaca alquran saja tanpa faham ertinya, itulah budaya yang diterima pakai dan dianggap cukup sempurna. Pada masa depan mungkin ada slot membaca tahlil dan yasin di kaca TV kerana itu sebagian erti pemahaman manusia beragama kepada muslim kita.

Demikianlah budaya beragama dan kaedah berinteraksi masyarakat kita dengan alquran. Pengagungan terhadap kitab Allah ini cukup unik dan membanggakan, tetapi kering daripada pengertian. Sampai-sampai bacaan dalam solat dan doa juga kebanyakan kita tidak mengerti apa yang dibaca. Hampir dalam semua hal, kita mahu tahu erti yang diucap dan dibaca, tetapi yang dianggap pasak hidup (agama) kita menerima secara bodoh: baca tapi tidak tahu ertinya. Tidakkah kita terasa malu dan bersalah, mendakwa Islam agama proilmu tetapi menerima perlakuan ibadah secara kosong. Berdoa kepada Allah seperti burung kakak tua berdoa, tidak tahu apa ertinya!

Lantaran itulah apabila sesuatu amal perbuatan yang sudah sebati apabila dikritik kerana menyalahi ajaran alquran, kebanyakan yang kuat membaca alquran itu melenting dan marah-marah. Maaf, saya ambil contoh bahawa perbuatan membaca alquran dalam kenduri arwah untuk dihadiahkan kepada arwah itu berlawanan dengan banyak ayat alquran. Para pengamal perbuatan itu pasti marah, mereka mengatakan itu cara Islam. Ya mereka hanya berani mengatakan mengirim pahala kepada orang mati sebagai cara Islam tetapi tidak berani mengatakan itu cara alquran!

Pilihan yang praktikal ialah setiap muslim wajib memiliki senaskhah alquran dan terjemahannya. Kalau pada bulan Ramadan kita bertadarus membaca dalam bahasa asalnya (Arab), pada hari-hari lain biarlah kita membaca terjemahannya dalam bahasa yang kita faham. Baca berulang-ulang, sekurang-kurangnya kita akan faham tema sesuatu surah. Dan lagi, sekurang-kurangnya kita faham tema erti sesuatu bacaan dalam solat dan doa yang dibaca.

Khamis, Mei 08, 2008

DR MAZA beralih tempat?

KHABARnya Dr Asri Zainul Abidin Mufti Perlis akan tamat kontraknya sebagai mufti tdak lama lagi. Banyak pihak mula mencongak setelah Dr Asri tidak menduduki kerusi Mufti Perlis. Bukanlah sangat soal siapa penggantinya, tetapi adakah kedudukan baru Dr Asri selepas ini akan lebih berkesan berbanding sekarang atau auranya semakin kabur dan diluput.

Tidak dinafikan bahawa kedudukan Dr Asri di Jabatan Mufti Perlis telah memberi nafas baru mengenai pemahaman Islam berlandaskan alquran dan sunah. Memang selama ini di Perlis pun senantiasa mempunyai mufti tetapi imejnya tidak dapat disamakan dengan Dr Asri. Dahulu imej Mufti Perlis sama sahaja seperti para muft dari negeri lain. Misalnya, tolak dahulu kedudukan Dr Asri sekarang dan pandang 13 orang Mufti lain dalam negara. Media mana yang akan mengambil pandangan antara Mufti-mufti berkenaan untuk mengulas perihal pilihan raya, pencemaran alam sekitar, dunia hiburan dan sebagainya.

Kenaikan Dr Asri ke jawatan Mufti seakan kemunculan yang dinanti-nanti umat Islam di Malaysia ketika sekian lama pemikiran umat Islam dikuasai oleh aliran tradisional yang sangat menjemukan. Fikrah dan tajdid yang dibawa oleh Dr Asri bukan sahaja menggembirakan mereka yang rindukan Islam dapat dibawa ke tengah medan, malah diterima dengan senang hati oleh pihak bukan Islam. Bayangkan saja apabila bukan Islam mengetahui bahawa sebenarnya anjing bukanlah satu penghalang menghampiri Islam dan umatnya, ini telah memecah satu tembok keras antara umat Islam Melayu dengan bukan Islam.

Pendirian Dr Asri memilih dibolehkan umat Islam memberi ucapan salam kepada bukan Islam sekalipun dikritik oleh aliran tradisional, tetapi berjaya membuka mata umat Islam mengenai pendapat lain yang juga boleh diterima. Antara pendirian Dr Asri yang dilihat terbuka dan dapat mengharmonikan antara umat Islam dan bukan Islam ialah soal penggunaan pinggan mangkuk bersama orang Islam dan bukan Islam, pengedaran daging kurban kepada bukan Islam, penggunaan bin Abdullah kepada saudara baru dan penerimaannya terhadap kitab Bible dalam bahasa Melayu.

Lihat pandangannya mengenai pilihan raya yang menggesa para pengundi memilih calon supaya suara rakyat dapat disampaikan kepada pihak berkuasa. Ini bermakna beliau menolak pendirian pengundi memilih parti yang tidak jelas siapakah wakilnya nanti. Sudah 50 tahun merdeka, rasanya inilah kali pertama seorang Mufti memberi garis panduan kepada pengundi menentukan pendirian.

Asalnya apabila Dr Asri menjawat Mufti maka para pengkritiknya segera meletakkan namanya sebaris dengan ulama yang telah dibeli untuk mengipas dasar-dasar kerajaan saja. Ertinya kepada pihak pembangkang, asalnya Dr Asri adalah musuh barunya. Sebab itu ada seorang penceramah politik bertaraf ustaz di pentas pembangkang memberikan gelaran ‘Bapak Setan’ kepada Dr Asri!

Tidak cukup di situ, ada aliran yang sangat keras terhadap Dr Asri tidak silu menuduhnya sebagai sesat. Di balik tuduhan terhadapnya yang tidak pernah dibuktikan, Dr Asri juga tetap mengkritik dasar yang dibawa oleh kerajaan, iaitu majikannya sendiri. Terbaru Mufti paling muda ini mengkritik penggunaan istilah Hadhari dalam gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sejak 2004.

Menyeronokkan kerana media senantiasa mencari Mufti Perlis ini untuk mendapatkan pandangannya mengenai isu-isu semasa khasnya yang melibatkan umat Islam. Tulisannya yang panjang dan ilmiah dalam akhbar hujung minggu dibaca oleh ratusan ribu manusia. Sesawang miliknya juga punya terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Begitu citra Dr Asri sebagai Mufti Perlis di utara sana, ke mana langkahnya selepas ini? Secara peribadi saya sangat suka jika Dr Asri dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau salah seorang Felo di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim). Sangat rugi kepada negara apabila satu permata yang sedang bersinar dibiarkan tenggelam begitu saja.

Dahulu Dr Asri mengakui bahawa berkedudukan sebagai Mufti akan lebih memudahkan kerjanya untuk menyampaikan dakwah. Inilah yang sedang berlaku. Dan jika turun dari jawatan itu kemudian suara pembaharuan Islam kian pudar, tentulah masyarakat yang dahagakan reformasi pemikiran Islam akan keciwa. Jika begitu keadaannya, Dr Asri punya pilihan untuk kekal sebagai Mufti atau melangkah jauh ke Jakim atau Ikim.

Tinggal lagi anak kelahiran Pulau Pinang ini sebenarnya bukan mudah diterima oleh majoriti ulama dan ahli agama dalam negara. Pengalaman ulama-ulama yang dilabel sebagai Kaum Muda awal abad ke-20 dahulu seperti Syed Syeikh al Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin sedang dirasai oleh Dr Asri, sahabat-sahabat dan mereka yang berfikrah sepertinya.

Jika pada zaman Syed Syeikh al Hadi dahulu gerakan Islah masih mampu melebarkan pengaruhnya ke Asia Tenggara dengan jaringan majalah al Imam dan akhbar Neraca, maka pada zaman dunia tanpa sempadan ini pengaruh Islah atau tajdid yang dibawa oleh Dr Asri dan sahabat-sahabatnya mudah saja menerobos tembok batu dan besi di mana-mana pun.

Perkara ini bukan soal pengaruh Dr Asri, tetapi ialah keluwesan fikrah sebenar Islam yang disandarkan kepada alquran dan sunah. Dr Asri dan sesiapa pun boleh pergi, tetapi gerakan Islah ini akan mudah saja diterima oleh masyarakat berpendidikan kerana mereka dengan mudah mengerti bahawa berdasarkan alquran dan sunah, Islam sebenarnya mudah dibawa dalam kehidupan.

Rabu, Mei 07, 2008

DUA darjat manusia

GAMBAR lebih jujur menceritakan sesuatu berita. Maka gambar sebuah keluarga miskin di Kuala Perlis tentu menusuk kalbu yang berjiwa manusia. Kalau tidak sebab kematian Hatib Leman kerana dipukul 20 lelaki, berita kemiskinan keluarga ini tidak terselak ke dalam akhbar. Mungkin menunggu giliran untuk BERSAMA MU TV3.

Keadaan rumah yang daif dan semua anaknya lima orang tidak bersekolah adalah mercu tanda kemiskinan yang parah. Kita bisa mengatakan itu nasib mereka. Mengapa mereka yang tinggal di Kuala Perlis sampai membesarkan anak berumur 17 tahun dalam kemiskinan tidak dikesan oleh pemerintah. Ketua Kampung berkenaan wajib tampil memberikan sebab mengapa berbelas tahun keluarga ini melarat sehingga semua anaknya tidak sekolah.

Di balik cerita kemelaratan marhaen, saya tampilkan gambar dalam Dewan Rakyat. Ya mereka baru saja melepasi pilihan raya yang menelan belanja beratus juta ringgit. Sewaktu pilihan raya lepas ada calon berjaya mengutip derma daripada penyokong sehingga RM160,000.00 melalui laman blognya. Semua itu belanja hangus untuk memenangi pilihan raya berkenaan. Lawan di sebelah sana juga membelanjakan wang yang hampir sama. Dengan kemeriahan poster, upah-upah dan kenderaan pelbagai biasalah menghabiskan ratusan ribu dalam pilihan raya.

Ratusan ribu ringgit untuk seorang calon bertanding dalam pilihan raya, di balik kemewahan dan kemeriahan pilihan raya, itu keluarga almarhum Hatib Leman di Kuala Perlis menghuni pondok hampir roboh dan anak-anaknya tidak berpendidikan. Bukan baru sebulan dua, tetapi telah bertahun-tahun.

Adakah orang akan menderma sehingga RM100 ribu jika diwujudkan satu blog untuk keluarga almarhum Hatib Leman?

Roker Amy dan Tuan Guru

MEMBACA berita Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengunjungi Roker Amy dan makan tengah hari di restorannya, oh satu pandangan yang nyaman. Hampir 20 tahun dahulu semasa saya masih remaja telah mendambakan orang agama di sisi orang kaki nyanyi. Sebabnya, sebagai remaja saya memang suka kepada musik dan lagu-lagu. Zaman remaja saya, ooo…, tentulah Hetty Koes Endang, D’lloyd, Brory Marantika, Uji Rashid dan Hail Amir. Siapa hero yang saya suka? Tentulah Farouk Afero dalam si Gondrong. Dan kalau saya mahu ketawa, saya cari filem Bing Slamet dan Benjamin S!



Apabila duduk di dalam ceramah agama dalam masjid ustaz mengutuk orang bermusik dan menyanyi. Saya mahu menjadi seorang muslim dengan senantiasa mengunjungi masjid tetapi jiwa anak muda mahukan hiburan. Nah di sana ada konflik. Sampai ayah dan ibu saya kurang senang kalau saya membeli kaset.

Konflik antara muslim dan musik rupanya semakin kuat apabila memasuki kampus. Ada golongan sedang mengeram fatwa musik itu haram, maka saya yang naïf inggih saja. Sampai-sampai diminta jasa untuk menjual kaset nasyid tanpa alunan musik. Dan bayangkan dalam pesta konvokesyen di universiti juga tidak kedengaran musik. Ini menimbulkan banyak soal terutama oleh teman-teman bukan Islam. Namun yang perlu saya dengar jawaban kepada mereka ialah, “susah kamu hendak faham…”

Di balik itu saya terus menggemari alunan biola Idris Sardi. Sampai kini saya sangat minat mainan biola Mas Sardi dan segala macam lagi keroncong. Sebab itu kalau saya mengembara malam radio di mobil pasti menerima siaran 104 Johor jam 10 hingga 2 pagi, keroncong emas!

Roker Amy mahu membuka pusat Tahfiz dan didoakan oleh TG. Apakah Amy akan berundur terus daripada menyanyi kerana merasakan sudah aman sebagai pemilik Restoran Cheng Ho dan punya akaun yang tinggi?

Tidak kira siapa dalam dunia hiburan. Amy sebagai contoh saja. Kalau mereka benar-benar mahu membina akhlak mulia, yah silakan. Tetapi manusia masih perlukan bunyi musik dan penyanyi. Kalau orang seperti Amy yang sudah betah membedakan antara nyanyi yang diredai dengan yang tidak disenangi, maka wajib benar Amy terus nyanyi dalam dunia kefahaman Islam. Kalau memang sudah akrab dengan ulama, nah terus saja bernyanyi sambil terus mendapatkan nasihat daripada ulama.

Kita mahu banyak orang seni seperti Amy, Ramli Sarip, M Nasir, Kopratasa, Sohaimi Mior Hassan dan almarhum Sudirman (sekadar beberapa nama) yang dapat menyamankan kegersangan jiwa orang muda, tetapi dituntun ke jalan mulia. TG Nik Aziz mungkin selepas ini akan ketemu M Nasir, manusia seni yang punya citra keanggunan seni dan minda. Teruskanlah.

Selasa, Mei 06, 2008

RAKAN nonmuslim

DAHULU semasa di Tingkatan Tiga Guru Matematik saya seorang keturunan India beragama Hindu. Apabila kami sering buat salah dalam kerja dia akan mengucapkan la ilaha illallah. Seorang kawan saya berkata, “cikgu kita ni kerap sangat masuk Islam”.

Kini saya mempunyai seoranag rakan sekerja bukan Islam, beragama Hindu yang taat. Dalam kehidupannya dia berbudaya seperti orang Melayu yang kerap mengucapkan Insya Allah, astaghfirullah dan la ilaha illallah. Pernah sekali dia membuat ucapan terhadap ratusan pelajarnya. Sebagai guru dia mengingatkan niat kedatangan pelajar ke sekolah mestilah dengan jujur. Yang menarik perhatian saya, dia menerangkan bahawa kehidupan sebenarnya satu ibadah kepada Tuhan. Ucapannya ini persis prinsip kehidupan bagi setiap muslim.

Ucapan kalimah-kalimah berkenaan memang sudah biasa kepada masyarakat bukan Islam di negara kita. Biasalah jika kanak-kanak bukan Islam dapat melaungkan azan seperti kanak-kanak Islam. Kalau kita rajin mengucapkan assalamualaikum kepada mereka, tentu dijawabnya dengan alaikum salam. Namun di negara kita memberi salam kepada bukan Islam tidak menjadi budaya kerana ada fahaman dalam kalangan umat Islam sendiri yang bertegas mengharamkan memberi ucapan salam kepada mereka.

Sebenarnya masyarakat bukan Islam sudah biasa dan terbudaya dengan kehidupan secara Melayu. Tambahan pula hampir semua (?) orang Melayu beragama Islam. Di sinilah perlu ada kebijaksanaan masyarakat Islam menerima rakan-rakan dan jiran bukan Islam sebagai anggota masyarakat yang rapat. Mereka sudah menerima beberapa unsur budaya hidup muslim, dan wajib kita melayan mereka dengan baik.

Ada sekali saya menerangkan kepada seorang remaja bukan Islam bahawa ucapan la ilaha illallah merupakan ucapan penting yang membuktikan seseorang itu muslim. Dia terkejut kerana selama ini banyak orang bukan Islam membuat ucapan itu sebagaimana orang Melayu Islam.

Setelah diterangkan perbedaan antara niat dan keikhlasan dengan budaya ucapan barulah dia mengerti bahawa pengucapan la ilaha illallah oleh yang bukan Islam tidaklah menyebabkan mereka telah menjadi Islam. Masyarakat membudayakan ucapan la ilaha illallah ketika dalam keadaan kacau atau kaget. Ini menyamai ucapan oh my God dalam budaya masyarakat Inggeris.

Diharap perubahan politik kepada tidak perkauman akan menumbuhkan saling pertukaran budaya yang sihat antara sesama kaum. Masalahnya ialah orang-orang politik yang ego dengan prinsip perkauman dan menekankan pemisahan untuk sokongan kaum. Baru-baru ini ada pemimpin MCA yang mendakwa penulisan jawi pada plat kereta seorang Menteri Besar meresahkan masyarakat Cina. Seteruk itukah minda masyarakat Cina terhadap tulisan Jawi? Atau sikap ini hanya untuk menekankan perbedaan politik berparti. Politik seperti ini telah lama menjejaskan proses penerapan budaya bersama dalam satu masyarakat Malaysia yang harmoni dengan sejujur-jujurnya.

Isnin, Mei 05, 2008

MENCARI Tuhan

SEWAKTU saya membicarakan mengenai permulaan tamadun Islam yang menyebut kaitan Tuhan dengan pembinaan tamadun, seorang remaja bukan Islam bertanya hal-hal ketuhanan. Ada beberapa kali perbualan berlaku dalam keadaan tidak tersusun. Saya permudahkan dan turunkan dialog kecil antara kami sebagai perkongsian maklumat.



Remaja: Siapa yang menjadikan Tuhan?

Penulis: Kalau Tuhan dijadikan oleh satu pihak lain, itu bukan Tuhan. Sifat Tuhan unggul, tidak ada yang menyerupainya. Tuhan wujud dengan kekuasaan yang sangat hebat. Kalau awak terus mendesak juga bertanya siapa yang membuat Tuhan, terus terang saya tidak dapat menjawab sebagaimana saya masih tidak dapat menjawab soalan ke mana nyawa manusia pergi setelah mati. Hari-hari ada kematian, tetapi ahli sains pun masih tidak dapat menemukan di mana nyawa berkumpul sekarang.

Remaja: Tapi di mana Tuhan?

Penulis: Yalah, kalau saya katakan Tuhan di Syurga pun nanti awak tanya syurga di mana sekarang ini. Kalau saya jawab Tuhan di langit pun, nanti awak kata ‘tak nampak pun’. Tuhan ada tetapi tidak seperti yang digambarkan oleh akal manusia.

Remaja: Mengapa kita tidak nampak Tuhan?

Penulis: Sebenarnya ada benda yang kita guna, tapi kita tidak nampak. Kita tidak nampak benda-benda itu, tetapi kita percaya benda itu ada.

Remaja: Apa dia, saya tidak perasan.

Penulis: Udara hanya dapat dirasa oleh deria, tidak dapat dilihat. Arus elektrik tidak dapat dilihat tetapi dapat dibuktikan ada kerana menyalakan mentol. Tuhan tidak dapat dilihat tetapi kesannya banyak. Kita hidup kerana dijadikan oleh Tuhan.

Remaja: Bukankah manusia hidup sendiri. Makin lama besar.

Penulis: Ambil contoh sebuah kereta, tidak ada satu skru yang paling kecil pun boleh wujud sendiri, mesti ada tukang buat. Buat wayar, enjin, cermin dan macam-macam. Setiap komponen kereta ada fungsinya, barulah lengkap sebuah kereta.

Remaja: saya tidak faham.

Penulis: Tuhanlah yang buat air, angin, tanah, pokok, manusia, haiwan dan macam-macam. Semua itu ada fungsinya sehingga kehidupan di dunia seimbang dan normal. Kalau salah satunya hilang, teruk jadinya. Katakan satu skru brek kereta hilang, boleh sebabkan kemalangan. Katakan tiba-tiba tidak ada air tawar di sungai, kolam dan lain-lain. Susah kehidupan kita jadinya sebab banyak yang perlukan air tawar. Kalau jurutera menyusun komponen dengan betul supaya sempurna sebuah kereta, Tuhan pun menyusun semua ciptaan-Nya supaya sempurna alam yang cantik dan luas ini.

Remaja: Katakan saya percaya Tuhan ada, apa nak buat?

Penulis: Katakan awak tidak pernah berjumpa ayah sehingga sekarang. Tiba-tiba diberitahu bahawa selama ini semua perbelanjaan hidup dan persekolahan dibayar oleh ayah awak. Apa awak hendak buat?

Remaja: Saya nak jumpa dia, ucap terima kasih.

Penulis: Samalah, ucapkan terima kasih. Kami orang Islam mengucapkan terima kasih dengan beribadah, melakukan sembahyang.

Walaupun remaja ini tidak berminat untuk meneruskan dialog ketuhanan, namun sekurang-kurangnya dia mendapat maklumat secara logik mengenai Tuhan. Dia wajib tahu bahawa dirinya dihidupkan oleh Tuhan yang Maha Kuasa.

Pernah dengan kumpulan pelajar lain tanpa dirancang saya memberikan hujah Tuhan mesti satu. Saya memberikan contoh dalam kehidupan bahawa seorang ketua mesti ada kuasa, sebab itu hanya ada satu ketua. Kalau ada dua ketua yang sama-sama ada kuasa, tentulah akan berlaku perbalahan dan akhirnya membawa kerosakan. Saya terangkan logik lain misalnya pemandu kenderaan mestilah satu sebab perlu hanya seorang pemandu yang berkuasa dalam kenderaan.



Ahad, Mei 04, 2008

APA bukti akhirat ada?

BAGAIMANA akal mahu membuktikan kewujudan alam akhirat yang terdapatnya balasan syurga dan neraka? Tulisan ini merupakan lanjutan wacana sebelumnya berkaitan agama sebagai candu. Saya teringat cerpen berjudul NATASHA yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein dalam majalah Dewan Sastera tahun 1980-an. Cerpen ini jelmaan dialog atau debat antara komunisme dengan Islam mengenai agama. Saya minta maaf kepada penulis cerpen berkenaan kerana menulis semula dalam keadaan yang tidak tepat, namun temanya sama.

Natasha antara penulis Soviet Union yang hadir ke Malaysia untuk satu rembukan sastera Melayu. Kerana Malaysia sebuah negara berpaksi Islam, maka selain bicara sastera dan budaya delegasi negara komunis itu sengaja menyorot kritikan terhadap ajaran Islam mengenai alam akhirat. Perlu diingat komunis menolak sama sekali kepercayaan hidup selepas mati kerana tiada bukti ilmiah.

Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur tampak dialog hangat dan Natasha masih tidak dapat menerima hujahan rakan penulis Melayu. Tujuan rombongan di bawa ke Pantai Timur untuk meneroka budaya Melayu di sana.

Sampai di pantai mereka melihat sekumpulan anak-anak bermain. Kanak-kanak itu kemudian menghampiri delegasi sastera dari kota itu dengan wajah ceria. Ceria sebagai anak-anak nelayan.

Pengarang berdialog dengan si perawan cantik Nastasha. Lebih kurang beginilah.

Pengarang: Anda berkata bahawa kehidupan di dunia ini adalah segala-galanya. Berakhir saja di sini.

Natasha: Tentu, itulah pendirian kami.

Pengarang: Baiklah, anda melihat anak-anak di pantai tadi. Mereka masih kanak-kanak dan tidak dapat menikmati kehidupan sebagaimana Cik Natasha. Bagi Cik Natasha tentulah beruntung kerana punya wang dan pelajaran, dapat berjalan-jalan jauh ke negara-negara luar. Tapi bagaimana dengan kanak-kanak itu jika umurnya tidak sempat mencapai seperti umur Cik Natasha, tentulah kanak-kanak itu tidak menikmati apa yang telah Cik Natasha rasai. Ini tuntulah keadaan tidak adil. Jadi di manakah kanak-kanak ini dapat merasai keindahan dan keseronokan yang telah Cik Natasha alami selama ini?

Natasha diam.

Pengarang: Semalam Cik Natasha mengakui bahawa tidak semua pelaku salah dapat dihukum oleh undang-undang kerana masalah penguat kuasa atau kebijaksanaan si pelaku salah melepas kan diri. Baiklah, katakan seorang mencuri dan dihukum penjara, tapi seorang lagi mencuri dan terlepas terus sehingga dia mati. Bagi yang terpenjara tentulah dia marah sebab ada pencuri lain yang masih bebas sedangkan mereka sama melakukan kesalahan. Nah, alam akhirat adalah tempat pembalasan setiap kesalahan. Sebab itulah akhirat diperlukan untuk memberi keadilan ini.

Natasha: Tapi tiada bukti kewujudan akhirat itu.

Pengarang: Itu hak pendirian Cik Natasha untuk tidak percayakan akhirat. Bagi kami kaum muslim sentiasa bersiap sedia untuk menempuh alam akhirat selepas mati. Kami berbuat baik untuk mendapatkan balasan syurga dan mengelak balasan buruk. Baiklah, jika nanti benar-benar zaman keadilan akhirat tidak wujud, pun kami tidak rugi apa-apa. Kita sama saja, selepas mati tidak ada apa-apa. Namun jika selepas mati dan waktu itu ada alam akhirat, kami sudah sedia untuk menempuh alam itu sedangkan Cik Natasha tidak bersedia apa-apa.

Natasha: Ohh..

Berdialog dengan golongan ateis mengenai Tuhan lebih sukar berbanding dengan penganut agama-agama lain. Golongan ateis menolak adanya Tuhan bererti menolak apa juga nama agama dan kepercayaan. Mereka mahukan hujah dan bukti, sebab itu tidak berguna kalau membacakan ayat-ayat alquran kepadanya. Samalah jika berhujah menggunakan ayat alquran kepada penganut agama lain. Hal itu tidak berguna kerana mereka bukan percaya kepada alquran. Jika mahu berhujah dengan ateis, gunalah akal saja. Kalau mahu berhujah dengan penganut Kristian, gunalah kitab mereka Bible. Hal-hal ini sangat menuntut kebijaksanaan dan daya pemikiran yang tajam.

AGAMA itu candu?

AGAMA adalah candu yang mangkhayalkan manusia! Itu adalah slogan orang-orang komunis dahulu ketika mengkritik apa juga pegangan agama oleh manusia. Dalam kitab komunisme Das Kapital tulisan Karl Marx pun tidak ada slogan seperti itu, cuma prinsipnya komunisme tidak percayakan Tuhan bererti menolak apa juga agama. Menolak agama dalam hidup manusia bererti tidak percayakan hari akhirat, tidak ada kehidupan alam lain selepas mati. Tidak percaya hari akhirat bermaksud tidak ada konsep balasan baik iaitu syurga dan balasan buruk iaitu neraka.

Komunisme mendakwa agama sebagai candu kerana agama menawarkan kebahagiaan di syurga kepada manusia. Kita ambil Islam sebagai contoh terbaik yang menawarkan balasan syurga dan neraka. Kepada komunis, muslim dikhayalkan dengan keindahan syurga yang penuh nikmat sedangkan perkara itu tidak dapat dibuktikan dengan apa-apa pun. Muslim bercita-cita mendapat kesenangan hidup di syurga Allah setelah patuh perintah alquran dan sunah. Semua ini adalah candu atau dadah yang mengkhayalkan muslim, kata orang-orang komunis.


Karl Marx meramalkan Britain atau Jerman akan menjadi negara komunis kerana sifatnya sebagai negara industri. Namun tahun 1917 Revolusi Bolshevik berlaku di Russia (bertukar menjadi Soviet Union) dan menjadikan negara itu yang pertama berfahaman komunis. Sewaktu Perang Dunia Kedua (tamat 1945) negara-negara Eropah Timur dalam cengkaman Soviet Union, maka semuanya menjadi negara komunis. Di Eropah Timur terdapat banyak umat Islam mendiami negara seperti Albania, Kosovo, Bosnia dan Bulgaria. Itu semua warisan 1000 tahun zaman Turki Usmaniyah. Manakala di Asia Tengah (termasuk kota Bukhara, negeri Imam Bukhari) di sana ada negara-negara yang banyak umat Islam seperti di Uzbekistan, Kazakhtan, Khirgistan, Turkmenistan (semuanya di utara Afghanistan) telah disekutukan menjadi sebagian negara besar komunis Soviet Union.

China menjadi negara komunis pada tahun 1949 dan Revolusi Kebudayaan dilancarkan pada tahun 1960 untuk melenyapkan apa juga pegangan agama. Hari ini komunisme masih ideologi utama di sana dan kebanyakan penduduknya menjadi ateis: tidak percayakan Tuhan. Indonesia sebuah negara paling banyak umat Islam di dunia juga diresapi komunisme dan hampir saja negara itu menjadi komunis pada tahun 1965 melalui peristiwa Gestapo. Kalaulah fahaman ateis tidak merebak, tidak mungkin novelis Akhdiat Mihardja menulis novel ateis. Raja roman Pramudya Ananta Toer juga tertuduh komunis. Banyak novel dan cerpen Pram berbau anti-kapilatis, sekurang-kurangnya karya Pram digolongkan sebagai sosialis.

Di negara Malaysia ada Partai Komunis Malaya (PKM) diterajui Chin Peng anak kelahiran Sitiawan Perak. Di sisi Chin Peng ada nama-nama Melayu seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad dan Abdullah CD. Orang-orang Melayu (Indonesia dan Malaysia) yang duduk dalam harakah komunis masih didebatkan adakah mereka menjadikan komunis sebagai ideologi (yang menolak Tuhan / Islam) atau memasuki partai komunis semata-mata untuk melawan penjajahan. Shamsiah Fakeh bekas penuntut di High Islamic School Kuala Pilah (kemudian bertukar menjadi Maahad Ittiba as Sunah, dan terkini menjadi Institut al Mizan) yang mengajarkan fahaman sunah/salaf juga terdakwa sebagai komunis. Bertahun-tahun Shamsiah tinggal di China mendapatkan suaka politik, tapi akhirnya kembali ke Gombak. Beliau adalah bekas ibu tiri almarhum Rustam A Sani yang baru-baru ini wafat.


Komunisme masih hidup tetapi lumpuh. Sejak 1990 banyak negara komunis bertaubat dan menjadi demokrasi. Maka muncul negara merdeka yang penduduknya muslim seperti Bosnia, Bulgaria, Albania dan Kosovo. Selain itu kemerdekaan negara-negara di Asia Tengah yang nama hujungnya banyak tan belum berperanan penting bersama OIC. Malah Malaysia sendiri belum mengiktiraf kemerdekaan Kosovo sedangkan PBB telah menerima kemerdekaan itu.

Dahulu semasa berkecamuk Perang Bosnia 1992 (Serbia mahu menghapuskan muslim Bosnia), tentera Malaysia bertugas di sana melalui PBB. Ada kumpulan rakyat Malaysia yang berusaha masuk dan mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku. Secara umum komunisme berjaya merosakkan pegangan Islam umat di sana. Semua yang dilakukan oleh bukan muslim mereka buat juga, tapi berkeras masih mengaku muslim. Hanya kerana degil tidak mahu mengatakan seorang ateis, muslim Bosnia dibunuh beramai-ramai oleh tentera dan aktivis Serbia. Rekod PBB mengatakan Perang Bosnia menyamai keganasan zaman PD2 oleh tentera Jerman.

Baru-baru ini pun apabila Kosovo merdeka (98 peratus daripada 2 juta penduduknya muslim), imej remaja di sana minum arak seperti orang Malaysia minum teh tarik! Yang tua-tua mengatakan mereka muslim sederhana dan menolak aliran wahabi (salafi). Patutlah mereka menolak gerakan yang mengajak muslim kembali kepada alquran dan sunah sebab sudah sebati dengan jahiliyah zaman komunis.

Demikian bukti-bukti komunisme memang bekerja keras untuk membuang Islam sebagai akidah dan cara hidup manusia. Kini setelah terlepas daripada komunisme, pegangan Islam umat di sana belum pulih sepenuhnya. Selama 70 tahun dalam cengkaman ideologi anti-Tuhan tentulah keislaman mereka parah.

Kepada kita yang terselamat daripada cengkaman komusnisme bukan bererti selamat daripada slogan agama adalah candu yang mengkhayalkan manusia. Alquran telah merakam adanya manusia yang mengaku beragama (dalam keadaan bebas) sebenarnya berkhayal mendapatkan syurga Allah. Perhatikan maksud ayat 214 albaqarah: Ataukah kamu mengira akan masuk ke syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti yang dialami orang-orang terdahulu sebelum kamu….”
Bagi Allah, jika kita tidak pernah diuji atau mengelak dalam ujian Allah untuk membuktikan keimanan, samalah sedang berkhayal untuk mendapatkan syurga Allah kelak. Hakikatnya itu hanya impian di dunia saja, di akhirat kelak kosong!

Khamis, Mei 01, 2008

PERMAINAN Amerika

JIKA sesiapa berfikir lebih sedikit daripada kebiasaannya akan mula nampak bahawa banyak peristiwa politik dalam dan luar negara sebenarnya bukan berlaku benar-benar atas hukum sebab dan akaibat yang tidak terduga. Misalnya janganlah sesiapa mudah percaya bahawa kemusnahan Pearl Habour di Hawaii milik Amerika pada 7 Disember 1941 benar-benar kerana kelalaian dan kelemahan tentera Amerika sebagai kuasa besar.

Di atas kertas dan buku sejarah dicatat bahawa Jepun terpaksa bangkit sebagai negara untuk terus hidup dalam dunia antar bangsa. Barat mula risau dengan kemunculan Jepun. Barat mula memulau dan melakukan perkara agar Jepun kembali ke dunia goblok dan tolol. Konsep ini hanya diterima juga oleh orang yang tolol!




Amerika memang suka Jepun kuat dan memusnahkan Pearl Habour untuk citra Amerika sebagai kuasa besar dunia mulai 1945. Maksud mudahnya, untuk Amerika menjadi kuasa besar, negara itu mestilah mempunyai sejuta musuh dan mengalahkan pula sejuta musuhnya sebanyak seribu juta kali!

Amerika memang perlu sebagian negaranya (baca pangkalan tenteranya yang besar) musnah untuk dijadikan modal peperangan dan pemusnahan. Perang mestilah dengan modal supaya pembunuhan diterima sebagai satu dasar yang sah dan halal. Modal penting ialah psikologi supaya diterima oleh masyarakat dunia.

Bom nuklear (atom) memang sudah dicipta oleh Amerika sebelum Perang Dunia Kedua. Bom atom masih tidak berguna untuk menakutkan musuh-musuh Amerika jika tidak ditunjukkan kepada dunia bahawa bom itu adalah senjata pemusnah besar-besaran. Untuk sengaja Amerika mengebom mana-mana bandar di Amerika sangat tidak masuk akal. Hendak mengebom Beijing atau Shanghai yang padat penduduk mesti juga ada sebabnya. Mana boleh saja-saja mengebom London atau Jakarta hanya untuk menguji ‘betulkah bom atom dapat membunuh 10 juta manusia sekali letup’.

Maka kerja provokasi supaya Jepun memusnahkan Pearl Habour mesti dilakukan. Biarlah berapa billion dolar rugi dan berapa ribu warga Amerika mati di Pearl Habour, yang utama izinkan Jepun mendakwa kuat kerana pemusnahan Pearl Habour.

Ya, setelah kemusnahan dahsyat Pearl Habour, Amerika mendapat modal psikologi besar untuk membalas kemusnahan di Hawaii itu. Sebenarnya sejak tahun 1943 tentara Jepun sudah lemah dan banyak menerima kekalahan. Sekutu kuatnya di Eropah Jerman juga sudah dikalahkan di negara-negara yang sebelumnya Jerman menang. Malah Amerika dan British sendiri sudah mendesak Jepun menyerah kalah. Hukum mudah, dengan kekalahan Jerman di Eropah dan Jepun sedang menyenarai siri kekalahan di Asia, tidak lama lagi Jepun pasti menyerah.





Tapi itulah Amerika, mahu membuktikan secara real bom atom bisa memusnahkan jutaan manusia dalam sekali letup. Maka pada 6 Ogos 1945 Hiroshima dibom dan musnah. Betul, bom nuklear itu memusnahkan seperti teori ahli-ahli fizik Amerika. Sepatutnya cukuplah, pasti Jepun akan menyerah. Opps, letupan ujikaji kedua perlu dibuat iaitu pada 9 Ogos 1945 di Nagasaki. Demikianlah, cuma untuk menguji bom nuklear yang satunya meletup di atas ruang udara sebuah bandar dan yang satu lagi meletup di permukaan bumi bandar.

Adakah masyarakat dunia marah dengan letupan bom nuklear di Jepun itu? Tidak, sebab masyarakat dunia memahami Amerika berhak dan halal memusnahkan dua bandar Jepun itu kerana sebelumnya Pearl Habour telah dimusnahkan oleh Jepun.

Dengan perancangan agar Jepun memusnahkan Pearl Habour dan kemudian menjadikannya sebagai lesen untuk Amerika mengebom Jepun pula, janganlah percaya bahawa Osama dan alqaeda betul-betul telah mengebom WTC di New York pada 11 September 2001. Pada Amerika biarlah tiga ribu manusia mati di WTC dan rugi billion dolar. Biarlah dahulu imejnya tercalar, kerana itu adalah modal psikologi perang yang sangat baik.

Tengok, selepas tragedi WTC, Amerika dengan hasrat memburu Osama menyerang Afghanistan dan Iraq. Atas alasan keganasan dan pengganas maka Iran dan Syria sedang dibuli sebelum diserang. Kemudian semua orang Islam seluruh dunia diawasi kerana sangat berpotensi menjadi pengganas. Dengan lesen besar WTC 2001, Amerika membentuk sekutu dan pengaruh agar mengenakan apa-apa saja terhadap negara Islam, umat Islam dan apa-apa imej Islam, termasuk isu Sufiah Farooq di UK.

Sekali lagi kita kena membaca Amerika memang sentiasa mencipta sejuta musuh dan mesti mengalahkan seribu juta kali musuhnya. Amerika mesti sentiasa menang dalam semua peperangan, termasuk ke atas isu Sufiah dan filem Fitna. Untuk Amerika terus boleh membuli, membunuh umat Islam dan menyerang negara Islam, watak Osama mesti dicipta di mana-mana. Tanpa watak seperti Osama, Amerika kehilangan lesen besar. Sebab itu janganlah bimbang dengan nasib Osama dan Nordin Mat Top. Osama akan terus dibiarkan hidup dan media Barat memberi ruang untuk Osama mengugut Barat. Dengan konspirasi ini Amerika dan Barat terus mengganyang Islam dan umatnya, dan masyarakat yang dulu anti Amerika semasa Perang Dingin juga akan bersama Amerika mengganyang Islam.

Sabtu, April 26, 2008

ISRAEL di tengah-tengah Arab!


BANYAK antara kita menyebut dan mengakui keganasan negara haram Israel. Media pun saban hari punya berita-berita baru mengenai Israel. Namun tidak banyak antara kita mengetahui di mana letaknya negara yang dibenci umat Islam itu. Ingat, negara Malaysia masih mengekalkan larangan warganya memasuki negara itu, bukan kerana bencikan satu bangsa yang diciptakan oleh Allah. Tindakan negara terhadap Israel lebih semata-mata bantahan keras terhadap pencerobohan dan usaha penghapusan bangsa Palestin dari tanah airnya sendiri.

Tidak banyak yang tahu bagaimana negara Yahudi itu muncul di tengah-tengah dunia Arab. Namun bagi yang kerap mendengar ceramah mengenai Yahudi tentu pernah mendengar penceramah menterjemah hadis nabi mengenai kepulangan kaum Yahudi dari mana-mana pelosok dunia ke satu wilayah itu, Israel!

Pada masa Perang Dunia Kedua (1939-1945), entah disengaja atau tidak terancang, namun diwar-warkan bahawa tentera Jerman telah membunuh lebih enam juta manusia Yahudi atas nama perang. Konon ertinya kerana kebencian bangsa Jerman terhadap Yahudi menyebabkan penghapusan etnik Yahudi dilaksanakan oleh Hitler.



Kesempatan kerana penubuhan negara-negara bangsa selepas PD2 itu, pemimpin-pemimpin Yahudi telah melobi Amerika dan British untuk membina sebuah negara bangsa Yahudi. Rabi-rabi Yahudi berhujah bahawa tanah Palestin (dalam kitab tafsir disebut Kan’an) adalah tanah yang disebut oleh tuhan untuk bangsa Yahudi. Sesiapa yang membaca Bible juga menemukan rombongan bangsa Yahudi dari Mesir memasuki tanah yang dijanjikan tuhan iaitu Palestin.

Dalam alquran dan Bible memang menyebut kemasukan Yahudi ke Palestin, namun sejak zaman Rasulullah (abad ke-7), bangsa Yahudi telah diusir keluar kerana kesilapan dan kesalahan mereka sendiri. Sejak itu tanah Palestin diteroka dan dibangunkan oleh bangsa Arab. Sebab itulah sejak abad itu, bangsa Yahudi bertaburan merata-rata khasnya di Eropah, Russia dan Amerika. Maka dengan cerita ‘holocaust’ yang penuh propaganda itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diperkuda untuk menerima negara Yahudi di dalam negara Arab Palestin.

Ertinya negara Israel itu benar-benar ditubuhkan 100 peratus di atas negara Palestin yang dikuasai oleh bangsa Arab sejak 1300 tahun yang lalu. Perhatikan dalam peta Asia Barat, negara Israel berjiran dengan Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria kerana memang itu wilayah bangsa Arab. Sebenarnya tawaran Allah kepada bangsa Yahudi untuk masuk ke Palestin telah ditunaikan oleh bangsa Yahudi zaman Nabi Musa. Maka setelah mereka keluar dari Palestin, maka menjadi hak bangsa Arab pula mentadbir negara itu. Sebab itulah negara-negara Arab dan Islam tidak menerima penubuhan negara Yahudi di atas 100 peratus tanah bangsa Arab.

Perhatikan peta Palestin yang sudah dijadikan negara Israel sejak penubuhannya 1948 hingga tahun 2000! Jika tahun 2000 itu wilayah bangsa Arab Palestin tinggal titik-titik saja, bayangkanlah tahun 2008 ini. Sebab itulah tentara Yahudi itu sewenang-wenang mengganyang bangsa Arab Palestin kerana kini bangsa Arab Palestin sudah tidak mempunyai wilayah khas yang dijadikan kubu.

Berita terbaru bahawa Hamas yang didakwa tidak akan mengiktiraf Israel, juga akan mengkaji pendiriannya jika Israel memulangkan wilayah Arab yang dirampas dalam perang 1967. Kita yang jauh amat dari sejarah dan fisikal Palestin janganlah cepat menghukum Hamas sebagai mengalah kepada Israel, kerana bangsa Palestin sendirilah yang mengerti sejarah dan pengalaman sebenar. Mereka jugalah yang lebih faham tentang masa depan anak cucu mereka.

Mana yang termampu sekalipun doa, kita bergeraklah bersama bangsa Arab Islam Palestin.

AIR lebih mahal berbanding petrol!

ADUH, kaget saya dibuatnya. Bayangkan satu liter air minuman berharga RM3.15 sedangkan petrol untuk kereta hanya RM1.92. Kaget dan terbelakak mata kerana harga RM3.15 untuk hanya air minum bukan air mineral apa lagi itu bukan air zam-zam dari kota Makkah. Kalau saya mendapati harga air itu di Dubai mungkin betul kerana kepesatan kota di padang pasir itu.


Itulah harga air minuman yang dikeluarkan oleh 7-eleven, RM1.00 untuk 320 ml. Itulah harga air minum di sebuah negara yang setiap tahun dilanda banjir besar hingga menenggelamkan bandar dan pekan. Itulah harga jualan runcit air yang dibotolkan, yang terhasil hanya melalui proses penyulingan biasa dengan modal yang jauh lebih murah berbanding proses menyedut minyak dari dalam tanah atau dari dasar laut sana.

Akhirnya di sebuah negara yang terlalu payah mengeluarkan minyak dan harga minyak menjadi penentu jatuh bangunnya sesebuah kerajaan yang memerintah, secara diam-diam harga air minum jauh mengatasi harga petrol. Sekarang terpulangkan kepada pengguna untuk melayan keberadaan air minum berharga RM1.00 untuk 320 ml itu: beli atau biarkan saja……

Jika air minuman itu laku dan syarikatnya meneruskan jualan itu, maka ini satu lagi mercu tanda kebodohan kita dalam melayan harga-harga barang. Agaknya hanya dengan satu demontrasi kenaikan harga minuman ini baru menyedarkan betapa teruknya kita: tidak mahu berfikir atau terlewat dalam menentukan keputusan.

Kita lihat sajalah.