Tanya kepada seorang ayah terhadap anaknya, apakah yang paling menyeronokkan. Jika pemancing bersetuju keseronokan sewaktu bertarung dengan ikan, jawaban untuk ayah terhadap anaknya berbeda-beda.
Bagi saya, saat menghantar anak ke sekolah dan mengambilnya semula dari sekolah adalah saat manis percintaan seorang ayah terhadap anaknya, terutama yang masih sekolah rendah. Sewaktu melepaskan anak untuk masuk ke pintu pagar dengan menciumnya kemudian anak melambai tangan sebelum saya berlalu pergi adalah kenikmatan cinta terhadap anak.
Kemudian, sewaktu pulang menunggu anak muncul di pintu pagar sekolah seperti penantian seorang pemancing menunggu umpan di mata kailnya direntap ikan. Penuh debaran. Munculnya anak dari kejauhan dengan senyum atau berlari-lari ke arah saya, saat itu umpama mata kail pemancing direntap ikan. Oh nikmat dan seronok sekali!
Anak-anak saya seperti faham keindahan seorang ayah, sekalipun sudah disediakan bas (van) untuk membawa pergi dan pulang sekolah masih mendesak berkali-kali agar saya sendiri yang menghantarnya. Tentulah anak-anak juga berkongsi keseronokan apabila ayahnya sendiri menghantar atau membawanya pulang dari sekolah. Maka sesekali saat yang diminta anak-anak ditunaikan, sama seperti sesekali saya merasa keseronokan dunia pemancing.
Maka saya faham apabila anak saya tidak mahu lagi menaiki van sekolah. Dan saya kian faham juga nilai kasih sayang dan kemanusiaan kepada 'abah' (ayah sebagai keluarga pengasuh) anak perempuan saya di darjah satu. Rupa-rupanya dia berkongsi keseronokan dalam suspens menunggu anak saya keluar dari kelas dan mendapatkannya di luar pagar. Akhirnya, anak perempuan saya menikmati kasih saya sebagai penghantar ke sekolah dan daripada abahnya yang mengambil dari sekolah.
Inilah citra kemanusiaan yang sukar dimengerti tetapi hanya dapat dinikmati oleh mereka yang merasai. Tidak ada nilaian wang ringgit sebagai ganti untuk merasakan keindahan dalam hidup, sekalipun oleh kami insan kecil di tengah-tengah kerancakan manusia mengejar kejayaan.

Misalnya kita boleh saja menerima jubah sebagai tradisi Arab yang juga fesyen pakaian yang dipakai oleh Rasulullah, namun mengatakan jubah adalah pakaian paling afdal dalam Islam adalah prinsip salah kerana melanggar hak fitrah kebudayaan bersuku-suku bangsa, setiap suku bangsa punya tradisi pakaian bersesuaian dengan iklim, budaya dan geografi. Mendakwa solat muslim lebih besar pahalanya di sisi Allah jika berjubah dan berserban berbanding berpakaian Melayu atau Barat juga prinsip salah kerana tiada nas, malah berlawanan dengan hak kepelbagaian budaya bersuku-suku bangsa.
Lantaran itu saya mahu seorang pakar motivasi atau yang dapat menjelaskan apakah kesan kehadiran Nabi Muhammad kepada kita atau murid-murid sekolah. Kalau setakat menceritakan sejarah kelahiran nabi satu persatu kemudian ada bacaan berzanji atau marhaban yang murid tidak tahu apa-apa faedahnya, saya berundur diri daripada terlibat sama.
Sebagaimana secara mudah seorang tokoh korporat pergi ke laut dan memancing ikan, maka umumnya secara mudah sesiapa saja boleh menjadi guru dan mengajarkan ilmunya kepada sesiapa juga. Percayakah jika dikatakan mengajarkan sesuatu ilmu kepada orang sebenarnya lebih sukar daripada membina sebatang jalan raya atau membina sebuah jambatan.
Memang apa-apa ilmu termasuk cara-cara mengikat mata kail dan menggulung kain pelikat di perut juga ilmu yang wajib disebarkan kepada khalayak. Kalau kepelbagaian ilmu tidak disebarkan dan diwarisi oleh generasi seterusnya, maka putus dan lenyaplah sesuatu disiplin ilmu. Banyak disiplin sesuatu ilmu telah lenyap dan banyak pula disisplin ilmu baru muncul. Hilang dan tumbuhnya ilmu dalam kehidupan kerana perubahan budaya dan kehendak semasa.