TERNAK kelulut untuk madu! Itulah yang unik di Min House Camp, Kubang
Kerian Kota Bharu Kelantan. Mungkin ada
yang sukar percaya kelulut yang begitu kecil dan membuat sarang di
lubang-lubang kecil dapat menghasilkan ‘penawar’ seperti yang disebut dalam
surah An-Nahl. Terima kasih kepada Kak
Yah selaku pengurus Min House Camp yang memberi ‘kuliah’ khas kepada saya
berkenaan kelulut. Daripada kuliah itu, saya simpulkan bahwa penternakan
kelulut bukan sahaja untuk penghasilan madu malah ada beberapa karenah
(petanda) lain yang jarang diperhatikan.
Pertama: Orang yang menternak kelulut merupakan
pencinta alam dan sangat menghargai kelestarian alam dan isinya sebagai
anugerah Tuhan. Nampak mudah untuk
mengambil satu sarang kelulut dengan kuasaa kita sebagai manusia. Oh tidak
rupanya. Satu kesalahan menebang pokok yang di batangnya ada sarang kelulut
semata-mata untuk dibawa ke pusat penternakan. Lalu, dipastikan hanya pokok
atau dahan yang dinilai sebagai sudah mati atau dalam proses pembuangan, jika
ada sarang kelulutnya barulah boleh dipotong.
Tidak boleh dipotong dan terus dibawa ke tempat
baru. Kita wajib menunggu semua kelulut masuk ke sarangnya supaya semua satu
keluarga kelulut dapat dibawa pindah ke tempat yang kita inginkan. Jika sarang
dipindahkan pada waktu siang, pasti ada ahli-ahli keluarga kelulut yang
terpisah kerna belum pulang ke sarangnya. Tidak berperikemanusiaan jika kita
membawa anak-anak kelulut dalam sarang sewaktu ibu-ibunya berpergian mencarikan
makan untuk anak-anaknya. Maka kita mesti membawa pindah mereka pada waktu
malam!
sarang kelulut dalam kotak papan yang tebal |
Kedua: Tempat penternakan kelulut pula mestilah sangat bersih daripada sebarang
pencemaran. Kawasan itu mestilah terdapat cukup makanan kelulut seperti
bunga-bungaan atau apa juga tumbuhan yang menghasilkan bunga. Daripada bunga-bunga itulah kelulut mendapat
madu sebagai makanan anak-anaknya. Untuk
memastikan udara bersih pastikan tempat itu bukan kawasan yang disembur racun
serangga seperti ‘fogging’ semburan untuk membunuh nyamuk. Juga bukan kawasan yang terdedah dengan
pengapungan karbon monoksida daripada kenderaan bermotor.
Ketiga: Menternak kelulut adalah untuk manusia yang
penyabar. Mungkin ada yang mendakwa
pengusaha kelulut mudah menjadi jutawan sebab madu seberat 230 gram dijual pada
harga RM80.00. Namun untuk mendapatkan
madu seberat itu bukanlah mudah kerna ‘setor’ madu dalam sarang kelulut kecil,
jauh lebih sedikit dibandingkan dengan setor madu lebah tualang misalnya. Setiap sarang, selalunya akan diambil madunya
tiga bulan sekali. Pengambil madu pula tidak boleh merosakkan sarangnya, jika
mahu keluarga kelulut itu terus tinggal dalam kawasan yang disediakan. Terlalu seni untuk melakukan kerja-kerja ini.
madu kelulut tulen yang dibotolkan seberat 230 gram |
Keempat: Kita sebagai manusia sebenarnya ‘mencuri’
hak anak-anak kelulut. Seperti manusia mencuri susu pada lembu yang Tuhan
sediakan untuk anak lembu, kita juga mencuri madu yang ibu-ibu kelulut sediakan
untuk anak-anaknya. Oleh itu kita wajib tahu hak atau bahagian wajib madu untuk
anak-anak kelulut berkenaan, dan mana yang kita sebagai manusia mahu
mengambilnya.
Begitulah sebagaian yang dapat saya sampaikan. Rasa
beruntung saya mengembara satu hari sejauh 460 kilometer dan sampai ke Min
House Camp, menikmati penginapan dalam ‘hutan’ dan berguru hal yang sangat
mengasyikkan.
Selain penernakan kelulut, Min House Camp merupakan tempat penginapan dan perkhemahan yang lengkap. Pembaca boleh menghubungi Pengurusnya, Kak Yah di talian 0139225440.
bengkel rumah kelulut |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan