SUKA atau tidak politiklah yang mendomonasi
pemikiran dan wacana dari simpang jalan, warung kopi hingga ke ruang lobi hotel. Apabila kerajaan negeri Kelantan
membawa Kanun Jenayah Syariah II 1993 ke Dewan Undangan Negeri untuk dipinda
(2015) dan diperkenan oleh Ketua Negeri
(Tuanku Sultan Kelantan), maka satu dimensi baru dalam politik negara.
Persaingan tentulah antara Barisan Nasional (BN)
dan Pakatan Rakyat (Pas-DAP-PKR).
Biarlah berterus-terang mengenai BN dan PR, walaupun daripada
kedua-duanya semua indah dan manis.
Sejak pilihan raya 1955 dahulu memang BN (dulu Perikatan) didominasi oleh
Umno untuk meletakkan apa saja institusi Melayu dalam negara. Sebutlah apa saja berkaitan bangsa Melayu:
Raja Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam, Kebudayaan Nasional-berteraskan
kebudayaan Melayu, penubuhan MARA, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Felda, Felcra, Pernas,
UDA dan pelbagai kouta yang meletakkan orang Melayu ke tempat yang utama. Hujahnya ialah negara ini berasaskan ketamadunan
Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) yang berterusan sehingga masuk zaman
penjajahan. Oleh itu apabila negara merdeka, kelangsungan institusi Melayu
merupakan sebagian penerusan warisan atau ketamadunan Melayu.
Orang Cina asalnya menerima semua konsep Ketuanan
Melayu, sehinggalah konsep ini dipertikaikan oleh pemimpin Cina dari
Singapura. Apabila Singapura dikeluarkan
(1965), maka gagasan Malaysian-Malaysia yang mahukan kesama-rataan rakyat tanpa
rujukan kaum diteruskan oleh DAP. Itu
bukan rahsia. Berpuluh-pupuh tahun Umno
bekerja keras meyakinkan orang bukan Melayu dalam semua institusi khasnya
pendidikan mengenai ketuanan Melayu dan penerimaan kaum bukan Melayu dalam
negara Malaysia.
Pilihan raya tahun 2008 telah membuka paradigma baru
pemikiran politik antara BN yang mahukan pengekalan ketuanan Melayu atau PR
yang mahu membina konsep baru negara (seperti Malayan Union 1946) tanpa garis
pemisah keturunan, agama dan sebagainya.
Kejayaan DAP mendapat sokongan hampir 90 peratus
kaum Cina disebabkan faktor ‘tolakan’ dalam BN dan ‘tarikan’ dalam PR. Tapi faktor tarikan dalam PR untuk membentuk Malaysia
Baru ala-Malayan Union 1946 (MU1946) sangat kuat dengan sokongan parti Melayu
seperti Pas dan politikus Melayu dalam PKR.
Oleh itu sangat jelas matlamat PR adalah Malaysia Baru ala-MU1946. Lihat
kejelasan dalam PR seperti: Tidak ada parti yang mendominasi PR (sedangkan
Umno-Melayu mendominasi BN). Bagaimana
jika Pas cuba mendominasi PR? Jawabnya mudah dan bukan rahsia iaitu DAP dan PKR
tidak akan membiarkan keadaan itu berlaku. Jika Pas mendominasi PR, maka apa
bedanya PR dengan BN? Tidak sama sekali.
Oleh itu mudah difahami mengapa DAP-PKR tidak
memberi ruang dan peluang Pas menjadi dominan dalam PR sebagaimana MCA-MIC dan
parti-parti di Sabah-Sarawak membenarkan Umno mendominasi BN. Kritikan DAP terhadap Pas dan Presidennya,
bukan suatu yang tidak disengajakan (hanya timbul disebabkan Hudud), tetapi
merupakan perancangan rapi untuk mempertahankan cita-cita Malaysia Baru
ala-MU1946.
Bukanlah sangat Hudud ditentang oleh DAP kerana
berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. DAP pun ada agenda melawan
perlembagaan negara apabila mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan. Bukanlah sangat Hudud akan menyebabkan bisnes
orang Cina kehilangan pelanggan Melayu, sebab mereka tahu Hudud masih jauh
perjalanannya (itu pun hanya di Kelantan).
Namun DAP (termasuk MCA dan Gerakan) sudah melihat Hudud sebagai
jambatan baru yang menyebabkan orang Melayu-Islam bersatu dan bakal mendominasi
politik negara. Mudah untuk difahami,
jika Umno-Pas berkesatuan, maka tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia
seperti yang dilalui sejak tahun 1957 akan berterusan dan semakin kukuh. Ruang untuk membina Malaysia Baru ala-MU1946
tertutup terus sebab orang Melayu dalam Umno-Pas memang kekal sama pendirian
negara Malaysia berasaskan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka yang berpaksikan
Melayu dan Islam.
Peluang melaksanakan Malaysia Baru ala-MU1946 hanya
berjaya jika Umno dan Pas dipisahkan. Seterusnya Pas dikekalkan dalam gagasan
Malaysia Baru ala-MU1946 tetapi Pas bukan dominan dalam PR. Penulis yakin dalam
PR tidak akan ada suara dominan Melayu-Islam sekalipun Pas parti yang sangat
jelas berdasarkan Islam.
Lihat saja Lim Kit Siang terus mencadangkan
gabungan semua ahli parlimen BN-PR agar menolak hudud dan membentuk Malaysia
Baru. Prinsip yang ditawarkan ialah mempertahankan perlembagaan (tidak
membenarkan hudud) dan Perdana Menteri baru. Ini satu lagi cara DAP mahu
membendung kesatuan Umno-Pas (yang dimulakan atas jambatan hudud) dan mahu
kerajaan baru (Perdana Menteri baru, bukan daripada Umno dan bukan DS Hadi
Awang!).
Bola di kaki Umno dan Pas. Umno begitu lama
berkuasa, memungkinkan terbiasa dengan kesalahan memerintah dan percaya tidak
bakal kalah. Akhirnya sebagian orang Melayu sudah tidak peduli apa ketuanan
Melayu. Lantaklah, nak jadi apa pun jadilah.
Ke mana arah sepakan bola politik Umno sekarang?
Pas mahukan Islam tetapi pengalamannya sangat pahit
dalam PR. Pas sedar dasar dan cita-cita
PR untuk Malaysia Baru ala-MU1946 tidak memungkinkan dasar Islam yang dibawa
akan dilaksanakan oleh PR. Pas pun sedar partinya tidak akan mengemudi PR
sebagaimana Umno mengemudi BN puluhan tahun. Ke mana arah sepakan bola politik
Pas sekarang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan