Pengikut

Jumaat, April 03, 2015

BESAN TPM terbuka menerima ahli keluarga yang muslim

SEORANG guru dari semenanjung bermasalah di Sarawak disebabkan pengislaman seorang remaja bawah umur. Entah kali ke berapa kes seperti ini, masalah pertukaran agama daripada agama lain kepada Islam selalu membawa pertikaian. Tidak pernah terdengar pertikaian jika seorang penganut Hindu memeluk Kristian atau seorang Kristian memeluk agama Buddha. 

TPM dan besannya
Mungkin kita sesama warga negara mempunyai sejarah yang tidak bagus akibat seseorang yang beralih kepada agama Islam.  Sejarah buruk ini menjadi satu batu tanda peringatan yang ditakuti jika berlaku kes itu pada masa akan datang.

Namun apa masalahnya seorang penganut Islam hidup dalam keluarga yang bukan Islam.  Isu yang sensitif hanya pada makanan, iaitu ahli keluarga yang muslim tidak memakan makanan yang diharamkan dalam Islam seperti daging khinzir, daging haiwan biasa yang matinya bukan disebabkan disembelih, atau haiwan yang disembelih tetapi tujuan disembelih itu untuk perkara pemujaan atau syirik.  Juga minuman yang diharamkan seperti tuak atau arak. Tidak ada masalah langsung dengan pinggan mangkuk atau pakaian. Tidak ada masalah langsung dengan anjing yang keluar masuk rumah.  Menyentuh dan tersentuh anjing tidak ada halangan apa-apa. Menyentuh dan tersentuh khinzir tidak ada masalah apa-apa. (dalam hal sentuh anjing dan khinzir, jika diikutkan hukum Melayu memanglah masalah besar, namun jika difahami berdasarkan hukum asal Islam, tidak ada masalah pun).

Begitu pun sebenarnya, masyarakat bukan Islam di seluruh dunia sudah lama menyedari perkara sensitif makanan umat Islam. Misalnya dalam mana-mana penerbangan, jika terdapat penumpang muslim krew pesawat tidak memberikan makanan yang diharamkan oleh agama Islam. Di mana-mana lapangan terbang tersedia tempat solat yang jelas arah kiblatnya.  Bukanlah suatu yang asing wanita muslim berjilbab hidup di tengah-tengah wanita yang 'free hair'.

Agama Islam pula bukanlah mengajarkan keburukan kepada penganutnya atau mengajar pemisahan hidup antara muslim dengan bukan Islam.  Seseorang anak yang muslim tidak terputus hubungan dengan semua ahli keluarganya. Malah dia boleh saja tinggal bersama mereka selama mana dia mahu.  Tidur berhimpit-himpit dengan adik-beradiknya, jika itu yang biasa dilakukan. Dia boleh terus menggunakan namanya tanpa perubahan apa-apa.

Apa yang hendak berubah seorang anak muslim dalam keluarga bukan muslim. Jika wanita, pakaiannya. Itu pun jika hendak keluar rumah. Dalam hubungan keluarga, dia boleh saja seperti biasa.  Dia perlu solat lima waktu, dengan mengambil sedikit ruang di mana-mana dalam rumah. Selepas solat, ruang tadi boleh digunakan untuk urusan biasa yang lain, seperti untuk tidur atau berehat.

Tidaklah dapat dinafikan ada perkara yang si anak muslim tidak akan menyertai aktiviti sosial atau keagamaan keluarganya. Perkara ini boleh dijelaskan dengan lembut sebagai tanda menghormati hak beragama keluarga besarnya dan agama Islam yang dianut.  Jika  majlis agama dilakukan dalam rumah pun, si anak muslim masih boleh terus duduk dalam rumah itu. Duduklah sebagai pemerhati sahaja kerna sebagai muslim dia dilarang melakukan atau terlibat dalam acara atau ritual agama lain. Dan pastinya agama lain juga punya prinsip begitu. Saling hormat-menghormati.  Tidak boleh si anak muslim memberi kata buruk kepada kepercayaan agama keluarganya.  Dia hanya boleh menerangkan agama Islam begitu dan begini, tetapi dilarang memberikan nilaian buruk kepada anutan agama lain.

Di balik cerita sukarnya keluarga menerima ahlinya yang muslim, banyak kisah betapa mesra dan bahagianya seisi keluarga menerima ahli keluarganya yang memilih Islam sebagai kepercayaannya. Contoh terbaik ialah penerimaan terbuka keluarga Cina bukan Islam yang berbisan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.  Diharap kemesraan  dan keterbukaan kedua-dua keluarga ini bakal menjadi contoh penerimaan keluarga silang agama di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan