SETIAP kali berlaku konsert yang dilibati oleh sekian
banyak orang Melayu, maka nama Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya menjadi
sebutan. Sekian banyak akan bertanya
atau menyindir Ustaz fathul Bari mengenai peranannya dalam parti Melayu,
Umno. Bagi mereka ‘ Ustaz Fathul Bari
sudah bersekongkol dalam program maksiat, atau paling tidak dikira bersubahat
kerana berada dalam Umno yang didakwa kilang maksiat’. Berderetan pula yang mengatakan ‘ini manhaj
duit dan politik’, ‘ulama angguk’ dan macam-macam lagi. Mengapa nama Ustaz Fathul Bari? Jawabnya, dia
ahli agama yang masuk Umno untuk
berdakwah kepada jalan al-Quran dan sunah nabi.
Saya bukan hanya kasihan kepada Ustaz Fathul Bari,
malah kepada sekian banyak lagi orang yang kelihatan begitu menjaga agama (malah
banyak yang bergelar ustaz, macam Ustaz Fathul Bari) yang kedudukannya sama seperti ustaz muda
itu. Dengan menuduh Ustaz Fathul Bari
bersekongkol atau dalam manhaj maksiat, bermakna sekian banyak ustaz juga
dikira bersekongkol dalam manhaj maksiat sekalipun mereka bukan ahli Umno,
malah ahli Pas yang sangat alim dan warak!
Ustaz Fathul Bari masuk Umno, tetapi mudah kita
menemui 50 ustaz ahli Pas bekerja dalam kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran
sebagai guru agama. Kalau kita tanya
kepada 50 ustaz Pas yang makan gaji
dengan kementerian Pelajaran (kena baca sistem pelajaran ideologi Melayu
Umno!), mereka akan jawab, “kerja ikhlas kerana Allah, tidak melakukan atau reda
apa-apa program maksiat dalam kerajaan.”
Insya Allah kalau kita tanya Ustaz Fathul Bari, itu juga
jawabannya. Sebab itu apabila saya
kasihan apabila Ustaz Fathul Bari disumpah seranah, dicaci-maki dan
disindir-sindir, maka kasihan saya berpanjangan kepada sekian banyak ustaz ahli
Pas yang mencari rezeki dalam Kementerian yang diterajui oleh Menteri
bermentaliti Umno (?).
Sekarang kita bandingkan peranan Ustaz Fathul Bari
dengan 50 ustaz Pas berkenaan dan 50 ahli Umno biasa. Ustaz Fathul Bari dan 50 ustaz ahli Pas yang
makan gaji dengan KPM cukup besar peranannya, berbanding dengan 50 ahli Umno
yang sekadar menunggu masa mengundi Umno-BN lima tahun sekali. Kepada 50 ahli Umno itu, terpulanglah kepada
pemimpin hendak bekerja setakat mana, dan apa yang mahu dilakukan. Tugasnya hanya menyokongnya dalam pilihan
raya supaya pemimpin melaksanakan tugas-tugas
yang dijanjikannya.
Bagi Ustaz Fathul Bari, dia berdakwah dalam Umno.
Bagi 50 ahli Pas dalam KPM mereka melaksanakan dasar dan keputusan yang
dibuat oleh jemaah Menteri yang dikuasai oleh Umno-BN. Melaksanakan dasar Jemaah Menteri Umno-BN
bermakna mendukung atau menjayakan misi serta falsafah Umno-BN. Jika 50 ustaz Pas dalam KPM itu mensabotaj
atau ingkar kerja, maka akan mula kelihatan rosak pelaksanaan dasar Umno-BN. Jika ada 500 ahli Pas yang sangat membenci
Umno bekerja dalam mana-mana kementerian kerajaan persekutuan, bermakna mereka
sedang menggerakan dasar Umno-BN. Jelas
peranan sekian banyak ahli Pas yang membenci Umno dalam organisasi kerajaan, sedang menjayakannya….bukan seperti 50 ahli
Umno yang hanya duduk dan lihat.
Sebab itulah apabila dihukum salah Ustaz Fathul Bari
dalam Umno, kasihanilah sekian banyak ahli Pas yang ikhlas mencari rezeki dalam
kerajaan yang diketuai oleh Umno-BN.
Saya yakin mereka tidak akan tuang kerja disebabkan tidak mahu melaksanakan
agenda Umno-BN kerana faham erti gaji buta dan dosanya. Jadi mereka bekerja dan tidak akan melakukan
amal mungkar. Tidakkah pendirian mereka
sama dengan Ustaz Fathul Bari itu?
Moga-moga sesiapa yang ikhlas kerana Allah akan
dipelihara oleh-Nya dalam apa juga perkara.
Kepada yang sakit hati dan menabur fitnah, terpulanglah kepada mereka
sendiri sebab antara yang cukup tegar membuat
tuduhan dan mempengaruhi orang lain, bukan orang yang cuai solatnya.
Mereka yang gemar membuat persepsi atau andaian buruk (pukul borong saja)
adalah orang yang sangat mahu khusuk dalam solatnya. Ada juga yang sangat
mencintai solat malam dan puasa di luar Ramadan. Moga-moga akhirnya dia sedar apa yang
difikirkan dan dilakukan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan