Pengikut

Jumaat, Mei 18, 2012

APA Allah ajar ketika berlaku perceraian?


DALAM akhbar, jika ada berita cerai-berai perkahwinan tentulah dalam dunia artis.  Bukan hanya golongan artis yang dikira gagal perkahwinan, tetapi pasaran berita artis bercerai sangat luas.  Jika yang bercerai orang desa, tak menjadi berita apa-apa.  Jadi, apa cerita mereka bercerai?

Kebanyakan orang bercerai kerana bermasalah yang tidak boleh diselesaikan bersama.  Ada yang sudah berminggu-minggu atau berbulan tidak tinggal serumah, kemudian si suami melafazkan cerai kepada isterinya.  Ada yang berulang-alik ke mahkamah syariah untuk meminta kebenaran mahkamah, demi perceraian.  Dalam drama pun  kerap dipaparkan babak cerai-berai perkahwinan.  Maka kalau orang mahu bercerai, ikutlah apa yang diceritakan dalam akhbar atau drama TV.  Apa itu? Kalau dicerai, si suami akan menghalau mantan isterinya dari rumah, atau menghantar mantan isterinya itu ke rumah ibu bapanya.  Itu dikira paling lembut.  Apakah perkiraan edah bagi isteri?  Tak tahu!

Sekalipun wajib berkursus untuk mendirikan rumah-tangga, cara-cara bercerai yang diajarkan dalam Islam kurang diajarkan.  Mood kursus ialah mahu kahwin dan bahagia, maka penganjur kursus pun tak mahu memasukkan bab cerai.  Bisnis akan rugi, sebab tiada pelanggan lagi.  Islam mengizinkan perceraian, bukan  mengutuknya.  Kerna itu Allah ajarkan muslim menjalani proses perceraian yang adil dan nyaman.  Kaedah wahyu bukan seperti yang difahami oleh orang Barat atau mereka yang mengutamakan hawa nafsu.

Lihat bagaimana Allah mengajar kepada Nabi s.a.w. ketika berlaku perceraian.  Sekalipun suami isteri sudah bercerai, namun si suami masih wajib menanggung kehidupan mantan isterinya termasuk tidak membenarkan keluar rumah, selama dalam edah.  Apabila berlaku perceraian, emosi dalam gawat dan marah!  Itu runtunan hawa nafsu, bukan akal dan iman.  Allah menuntun manusia ke jalan iman dan takwa, maka diperintahkah suami isteri itu masih tinggal dalam rumah yang asal, namun ditemani oleh ahli keluarga yang lain.  Mereka menjadi perantara dalam apa keadaan pun.  Suami isteri dalam edah cerai tidur berasingan, selama tiga bulan atau waktu edah isteri.  Selama edah itu, apakah perasaan marah terus membara yang tak kunjung padam? Tidak, marah hanya seketika, yang fitrah adalah ketenangan.  Selama jiwa tenang itulah suami dan isteri akan lapang berfikir mengenai nasib perkahwinan yang dibina.  Hal anak-anak, harta sepencarian dan maruah dua keluarga.  Mereka juga akan kenang-mengenang zaman ketawa bahagia, apakah sekarang sudah tidak bisa ketawa lagi?  Lama kelamaan, amarah sirna dan cinta kembali mengambil tempat. Maka rujuklah kembali suami isteri.

Adakah jika sudah bercerai  dan tinggal berasingan, maka rasa cinta akan menggantikan amarah?  Mungkin saja lebih gawat dengan batu api penghasut sebelah suami dan isteri.

Maksud firman Allah: “Wahai nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) edahnya dan hitunglah waktu edah itu, serta bertakwalah kamu kepada Allah Tuhanmu.  Jangan kamu keluarkan mereka dari rumahnya dan jangan (diizinkan) keluar kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang jelas.  Itulah hukum-hakam Allah, dan sesiapa melanggar hukum-hakam Allah maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.  Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru. (65:1)

Maksud firman Allah: Maka apabila mereka telah  mendekati akhir edahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskan mereka dengan baik, dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil antara kamu, dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerna Allah.  Demikianlah pengajaran itu diberikan kepada kepad aorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.  Sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan  membuka jalan keluar baginya. (65:2)

Menurut Anas bin Malik r.a., ayat 1 surah at-Talaq diturunkan apabila Rasulullah s.a.w. menceraikan isterinya, Hafsah.  Maka Hafsah pun pulang kepada keluarganya.  Maka turunlah ayat itu yang memerintahkan Rasulullah memberi nafkah kepada Habsah sampai habis edahnya.  Kemudian malaikat Jibril memberitahu Rasulullah agar baginda merujuk kembali kepada Habsah kerna Hafsah termasuk wanita ahli puasa dan solat malam. (riwayat Ibnu Abi Hatim).

Sungguh, kerja meneladani sunah nabi merupakan kerja rumit, hanya dilakukan oleh insan yang menyerah diri kepada Allah dan rasul-Nya.  Namun di sanalah Allah memberi jalan hidup bahagia, sementara yang melupakan sunah nabinya tersasar daripada jalan bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan