Pengikut

Rabu, Mei 02, 2012

PERANG sesama muslim, Pas-Umno dan Bersih adalah fitnah akhir zaman?


ENTAH kerna memang inilah akhir zaman atau semua perselisihan sesama umah merupakan pilihan manusia, hanya Allah yang tahu.  Dengan mengamalkan demokrasi (banyak yang meminta demokrasi tulen), dengan mudah umah terbelah kepada dua atau tiga kumpulan.  Terbelah dan saling bermusuhan, mencari jalan dan ruang menjatuhkan kumpulan muslim lain dengan apa cara sekalipun. Tidak lain, ini bertujuan untuk memastikan hanya kumpulannya yang berkuasa dan selainnya mesti dilenyapkan. Semua ini dikatakan sihat dalam amalan demokrasi moden dan dianggap lambang ketinggian tamadun.

Apakah bedanya permusuhan dua pihak muslim di negara kita dengan permusuhan dua pihak muslim pada zaman akhir pemerintahan Sayyidina Usman dan terbelahnya Perang Siffin antara pasukan Khalifah Ali Abi Talib dan Muawiyah Abi Sufyan?  Jika Pas dan Umno saling mahu mengalahkan antara satu sama lain, maka begitulah antara pasukan Ali Abi Talib dan Muawiyah Abu Sufyan.  Mungkin muslim yang menjadi aktor utama dan para pengikut dalam parti politik menerima permusuhan sesama muslim sebagai satu hukum alam, kesinambungan sejarah atau demi melahirkan satu kumpulan terbaik, namun apakah sikap para sahabat nabi menghadapi situasi zaman fitnah itu.  Jika zaman Perang Siffin adalah satu fitnah, maka perselisihan Umno-Pas juga fitnah dan mula membakar dengan perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0. Darah telah pun tumpah.

Prinsip al-Quran ialah menyatukan manusia.  Tidak ada ayat yang membenarkan perselisihan umah apa lagi sehingga antara dua pasukan muslim menumpahkan darah. Ayat 103 surah Ali Imran, “Dan berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah dan jangan kamu bercerai berai…” Seruan Allah mengenai perpaduan ada pada ayat 13 surah as-Syura,  dan ayat 10 surah al-Hujurat.

Oleh itu menjadi kewajiban kepada setiap pemerintah muslim untuk menyatukan umah.  Jika sehingga berlaku fitnah perang sebagaimana pada zaman Khalifah Ali bin Abiu Talib, maka jelas khalifah itu juga telah meminimumkan perang dan menuju jalan penyatuan.  Tentu penuntut ilmu sejarah maklum apa yang dilakukan terhadap para sahabat nabi yang terlibat dalam Perang Jamal.  Bahawa Khalifah Ali tidak menghabislunaskan mereka.  Lihat pula bagaimana peluang yang Allah berikan kepada pasukan Khalifah Ali untuk menghabislunaskan pasukan Muawiyah bin Abu Sufyan dalam Perang Siffin.  Apabila ada permintaan damai, walhal pasukan khalifah hampir pasti dengan kejayaan gemilang namun khalifah yang berpegang kepada al-Quran dan sunah nabi itu telah melakukan gencatan senjata.  Demikian juga sikap yang ditunjukkan oleh putera Khalifah Ali bin Abi Talib iaitu al-Hassan yang mahu diangkat sebagai pewaris jawatan khalifah sebaik kewafatan ayahnya, maka beliau lebih mengutamakan keutuhan jamaah muslimin.  Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib telah menyerahkan kekuasaan jawatan Khalifah kepada Muawiyah bin Abi Sufyan.  Dengan itu keutuhan  umah terjaga dan terhentilah fitnah permusuhan sesama muslim.

Bagaimana sikap para sahabat yang diredai Allah dalam suasana fitnah permusuhan sesama muslim itu?  Ada antara sahabat yang diseru oleh masyarakat muslim untuk mengepalai perlawanan demi melaksanakan keadilan dan menumpaskan kezaliman pemerintah.  Bagus dilihat apakah sikap seorang sahabat nabi yang melewati usia bersama pemerintahan Rasulullah s.a.w., Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a., Khalidah Umar al-Khattab al-Faruq r.a., Khalifah Usman bin Affan r.a., Khalifah Ali bin Abu Talib r.a., Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan r.a., Khalifah Yazib bin Muawiyah, Khalifah Muawiyah bin Yazid dan Khalifah Abdul Malik bin Marwan.  Beliau adalah Abdullah bin Umar bin al-Khattab atau Ibnu Umar r.a., putera Khalifah Umar al-Khattab.

Sejarah telah merakan bahawa Ibnu Umar r.a. sentiasa membai’ah semua khalifah dalam situasi apa pun.  Sekalipun ada masanya muncul seorang lelaki mengobarkan semangat menentang khalifah yang didakwa melakukan kezaliman, Ibnu Umar r.a. tetap dengan prinsip mengutamakan keutuhan umah atau jamaah daripada menyertai kempen atau gerakan melawan pemerintah.  Hal ini dapat dilihat tatkala berlaku fitnah zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abi Sufyan.


Ibnu Umar r.a. tetap tidak mencela Khalifah Yazid malah terus membai’ah khalifah.  Ketika berlaku pemberontakan di Madinah terhadap Khalifah Yazid oleh Abdullah bin Muthi, Ibnu Umar telah mendatangi Abdullah bin Muthi dengan membacakan sabda nabi (maksudnya) “Barang siapa melepaskan diri daripada ketaatan, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat tanpa memiliki alasan perbuatannya.  Dan barang siapa mati sedang di lehernya tidak terdapat pembai’atan (terhadap pemimpin) maka dia mati dalam keadaan jahiliyah.” (Hadis riwayat Muslim)

Kepada penduduk Madinah yang telah memutuskan bai’ah kepada Khalifah Yazid, Ibnu Umar r.a. mengumpulkan ahli keluarganya dan memberikan sabda Rasulullah s.a.w. “Pada hari kiamat akan ditegakkan satu bendera bagi setiap pengkhianat.”  Kata Ibnu Umar lagi, “sesungguhnya kita telah membai’at lelaki ini kerna perintah Allah dan rasul-Nya, dan aku tidak mengetahui pengkhianatan yang lebih besar ketika seorang lelaki dibai’at kerana Allah dan rasul-Nya namun dia diperangi.  Sesiapa pun di antara kalian yang menarik ketaatan daripada pemimpin (Khalifah Yazid) dan tidak mengikutinya, maka perbuatannya menjadi pemisah antara aku dan dia.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sahihnya)

Ibnu Umar r.a. adalah seorang yang berwatak pemimpin dan mempunyai pengaruh besar.  Ketika berlaku fitnah besar setelah Khalifah Usman bin Affan terbunuh banyak orang menyeru kepada Ibnu Umar, “sesungguhnya engkau adalah pemimpin dan putera seorang pemimpin, maka keluarlah agar umat ini dapat membai’atmu.”  Dengan pantas Ibnu Umar r.a. menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan menjadi penyebab tumpahnya darah sesama muslim.”

Kemudian pada masa kewafatan Khalifah Muawiyah bin Yazid bin Abi Sufyan, keadaan masyarakat muslim menjadi huru hara. Banyak pihak membentuk kumpulan dan menyatakan paling berhak menjawat khalifah.  Ibnu Umar r.a. mengasingkan diri daripada semua kumpulan atau parti, tidak membai’at mana-mana yang mendakwa sebagai khalifah.  Beliau didatangi oleh seorang ahli keluarga Bani Umayyah, Marwan al-Hakam.  Marwan al-Hakam berkata, “Hulurkan tanganmu agar kami dapat membai’atmu kerna sesungguhnya engkau adalah pemimpin dan putera pemimpin bangsa Arab.”  Ibnu Umar r.a. berkata, “Apa yang harus kubuat dengan penduduk Timur?”  Marwan menjawab, “Kita serang mereka sehingga mahu membai’atmu.”  Maka dijawab Ibnu Umar r.a. “pada usia mendekati 70 ini aku tidak ingin diriku menjadi penyebab terbunuhnya seseorang.” (diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalam at-Thaqabat)

Sikap Ibnu Umar r.a. yang lain ialah tidak menyertai mana-mana kumpulan muslim yang bermusuhan berebut kekuasaan atas nama apa pun.  Beliau mengasingkan diri daripada tempat kekacauan itu.  Beliau tahu dirinya seorang yang ditunggu-tunggu untuk memberikan pendirian memihak kepada siapa.  Hal ini dapat dilihat apabila beliau  mengasingkan diri ke Makkah apabila berlaku suasana kacau di Madinah.

Sikap seorang sahabat yang berpegang kepada al-Quran dan sunah ini jelas memastikan keutuhan jamaah atau kesatuan umah sekalipun menyedari ada kekurangan pada khalifah yang memerintah.  Baginya ketaatan kepada pemerintah merupakan suruhan wahyu dan rasul-Nya, maka setiap muslim tidak boleh melepaskannya.

Bagi orang-orang yang memahami permasalahan ini, terus bersatu dalam jamaah muslimin bersama pemimpin yang dikatakan zalim masih jauh menjamin kelangsungan beragama berbanding mengobarkan kempen dan gerakan melawan pemerintah.  Apabila pemerintah yang dikatakan zalim dicerca dan ditanggalkan maruahnya umah berpecah dan bermusuhan antara pengikut pemimpin dan penentangnya. Itulah fitnah dan ruang kehancuran.  Apabila luasnya permusuhan sesama muslim, mereka tidak menemui apa yang dinamakan kehebatan umah yang dipilih Allah, melainkan kehinaan sewaktu di dunia lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan