KEPADA
kira-kira 20 orang remaja yang dikira cerdas mindanya saya bertanya begini, “sekiranya
ayah dan ibu anda bukan seorang muslim, adakah anda sekarang seorang
muslim?” Hampir semua memberi jawaban
yang serupa iaitu ‘bukan muslim’. Ketika
ditanya sebab utama keadaan demikian, mereka menjawab ‘ikut ibu bapa’.
Keadaan
di atas adalah kebiasaan sepanjang sejarah.
Mudah bicara, suasana di sekitar sangat mempengaruhi pembentukan
kepercayaan, sikap dan pemikiran seseorang.
Sejak kecil seseorang akan diasuh atau memerhatikan seluruh ruang
kehidupan keluarga dan masyarakatnya, maka di situlah dia mendapat pengetahuan
dan pendidikan. Jika seseorang melihat
ayah dan ibunya solat lima kali sehari, maka terdidiklah dia dengan amalan
solat lima kali. Jika keluarganya kerap
mengadakan kenduri arwah untuk mengenang orang-orang yang telah mati, maka dia
akan mewarisi budaya dan adat
sedemikian.
Tidak
dapat tidak, faktor kebiasaan menjadi dasar pembentukan pemahaman seseorang
mengenai agamanya. Pergilah sekolah dan
membaca banyak buku pun, apabila pulang ke pangkuan masyarakatnya budaya dan
adatnya menjadi pilihan berbanding segama ilmu yang dikira berlawanan dengan
budaya dan adat. Malah, menjadi perkara
biasa pula guru-guru agama akan mengajar agama yang bersesuaian dengan
kebiasaan budaya beragama di sana. Semua
ini untuk mengelak berlakunya percanggahan.
Daripada
penjelasan di atas, diharap mudah memahami mengapa sukar untuk menukar
pendirian keagamaan seseorang kepada yang lain.
Remaja-remaja yang bukan muslim sekalipun tidak begitu memahami agama
yang dianuti ibu bapanya, tidaklah begitu mudah untuk menerima Islam sebagai
agamanya dengan sekali-dua penjelasan. Faktor yang paling kuat mereka menolak
Islam ialah ‘tidak mahu keluar daripada lingkungan budaya dan adat hidup selama
ini’.
Dalam
kehidupan beragama anak-anak muslim pun begitu juga. Apa yang selama ini mereka warisi dan
pelajari (secara informal) daripada keluarga dan masyarakatnya sangat sukar
untuk dikikis sekalipun diberikan fakta dan hujah mengapa sepatutnya perlu
diubah.
Baru-baru
ini saya diminta menjadi pemudah cara kepada kem pendidikan solat untuk anak-anak
berumur 11 dan 12 tahun. Kalaulah saya
terus mahu menerapkan cara wuduk dan solat berdasarkan sunah yang sahih (malah
saya siap membawa buku-buku kecil sifat wuduk dan solat nabi), tentulah
anak-anak akan menjadi keliru besar dalam waktu yang singkat itu. Saya cuma mahu mengubah pemikiran
mengutamakan yang wajib agar mereka dapat terus beribadah dengan senang, bukan
melihat ibadah suatu yang agak berat kerana susunan (tertib) dalam ibadah itu
yang agak berat kepada anak-anak.
Dalam
sekumpulan kecil, saya mendapati ada yang telah hafal doa qunut tetapi tidak
hafal bacaan tasyahud awal hingga akhir.
Kecuali untuk solat fardu, mereka sebenarnya tidak begitu dapat
menghafal lafaz niat solat lain dalam bahasa Arab sebagaimana yang tertera
dalam teks buku ajaran solat yang dibekalkan (selama ini, itulah yang mahu
diamalkan). Mereka juga tidak dapat
meletakkan niat dalam bahasa Melayu sewaktu sedang melafazkan ‘takbiratul ihram’. Misalnya sewaktu melafazkan ‘Allahuakbar’
mereka tidak berjaya sama sekali memasukkan niat ‘sahaja aku solat fardu zuhur
empat rakaat kerana mengikuti imam kerana Allah Ta’ala’. Jika diuji untuk lafaz niat solat jamak dan
qasar yang jarang dilakukan memang semua gagal.
Kegagalan-kegagalan ini telah membentuk pendapat kepada mereka bahawa
solat tidak sah apabila niatnya tidak sempurna sebagaimana yanag
diajarkan. Sebab itu selama masih
anak-anak, selagi tidak berjaya sempurna bab-bab niat solat, mereka akan kuat
beranggapan solatnya masih tidak berjaya.
Solat hanya sebagai ikut-ikutan.
Walaupun
saya tidak mengatakan apa yang mereka pelajari daripada ibu bapa dan budaya
masyarakat itu tidak menepati sunah nabi, sukar juga untuk mengubah set minda bahawa
permulaan solat itu dengan lafaz ‘Allahuakbar’ tanpa ada niat apa-apa di
baliknya! Begitulah kuatnya pengaruh sekitaran yang sudah dilembagakan atau dijadikan satu peraturan beribadah.
Begitulah
pemikiran agama yang kita warisi daripada ibu bapa dan ahli masyarakat. Mesej saya ialah: Jika dalam kalangan kita
yang muslim pun masih sukar hendak mengutamakan apa yang terkandung dalam
alquran dan sunah atas alasan ‘beza’ dengan masyarakatnya, janganlah cepat
menghukum remaja-remaja bukan Islam sebagai tidak tahu kebenaran beragama
jika tidak mahu memilih Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan