Pengikut

Ahad, September 12, 2010

SESUDAH Ramadan ini...

TAMATlah sudah Ramadan, berakhir sudah pemburuan terhadap sebaik-baik malam iaitu Lailatul-Qadr.  Dalam budaya Melayu, tamatnya bulan Ramadan juga berakhirnya semangat melaksanakan solat sunat malam, yang pada bulan Ramadan sesebut Tarawih.  Ini bermakna, terhenti jugalah semangat melaksanakan solat berjamaah yang ketara kemuncaknya pada waktu Isyak, kerana selepasnya ada solat Tarawih berjamaah.


Apa yang tinggal di masjid selepas ini?  Mereka yang melaksanakan solat berjamaah kerana ilmunya, pengetahuan terhadap sunnah nabinya, dan yang beramal kerana Allah, bukan beramal kerana ikut-ikutan orang banyak.  Oleh itu, tamatnya Ramadan ini sudah kembali kepada yang asal.  Jika sewaktu Ramadan yang bersolat jamaah Isyak hingga 800 orang, dan selepas Ramadan kira-kira 100 orang, mereka yang tinggal itulah yang lulus dalam ujian Ramadan.  Itulah secara kasarnya.  Di sisi Allah, kita tidak tahu.

Selepas ini masjid akan dimeriahi jika ada pihak menganjurkan solat hajat. Maklumlah, selepas ini musim anak-anak menghadapi peperiksaan dan adat orang Melayu kini ialah membuat solat hajat. Solat hajat ini masih dalam pertikaian antara sunah atau sebaliknya. Jika pun ada sumber sahnya, tetapi yang pasti tidak ada sumbernya dilaksanakan secara berjamaah.  Isunya di sini ialah status solat hajat itu apa, sehingga orang yang yang selama ini tidak perduli solat fardu di masjid maka jadi berduyun-duyun ke masjid?  Semuanya kerana adat, bukan ilmu agama.  Semuanya kerana budaya ikut-ikutan, bukan kerana sunnah nabinya.

Selepasnya apa lagi?  Selain solat fardu Jumaat, ada solat sunat Iduladha.  Tentulah banyak yang hadir ke masjid.  Selainnya ialah agenda tahunan, jika ada sambutan Isra dan mikraj, maulidur-rasul dan secara kecil-kecilan pada malam Jumaat.  Itulah antara hari-hari yang berbeda jumlah kehadiran orang ke masjid. 

Bolehkah solat subuh dihadiri orang banyak seperti solat Jumaat? Secara tradisi dan rasional, jawabnya tidak!  Bacalah hadis yang menceritakan Rasulullah mengancam akan membakar rumah orang yang tidak solat berjamaah, siapa sangatlah yang perduli.  Bacalah bagaimana gambaran orang yang akan merangkak ke masjid kerana hendak ganjaran solat Isyak dan Subuh di masjid, orang tersengih saja. 

Kalaulah selepas ini ada program yang melibatkan  menteri atau seseorang raja dibuat di masjid pada sebelum subuh, orang akan berjaga-jaga untuk ke masjid pada waktu yang sama. Kan semasa Ramadan ada majlis pemberian sumbangan dilaksanakan kira-kira jam 5 pagi!

Tujuan pendedahan ini ialah untuk mengajak mereka yang terkesan dengan madrasah Ramadan dan mahu melakukan perubahan agar melakukan sesuatu berpandukan ilmu.  Rasanya orang yang hendak kembali kepada berilmu dalam beribadah bilangannya kecil, namun itulah yang disuruh dalam al-Quran. Perhatikan erti ayat 36 surah al-Isra’: Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui, kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani semuanya akan diminta tanggungjawabnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan