Pengikut

Selasa, September 14, 2010

BERITA-berita semasa Hari Raya

BERZIARAH ke rumah jiran atau saudara mara, sekalipun bukan pada Hari Raya merupakan kerja kebajikan.  Jika ziarah pada 1 Syawal, jelas pula menjadi satu ibadah kerana hari itu merupakan satu hari muslim bersosial sesama mereka tetapi diktiraf sebagai ibadah kepada Allah.


Nampaknya, dalam berbual bicara sewaktu ibadah Hari Raya ini sesama ahli keluarga pun tidak dapat lari daripada membicarakan hal politik kepartaian.  Sejak dahulu hingga hari ini, kondisinya tak banyak berubah.  Tambahan sekarang, apabila pemerintahan negeri sudah bertukar ganti, maka banyak pula modal untuk diberikan.  Hadir ke rumah insan yang memihak kepada Umno, maka modal bicaranya ialah perkara-perkara pelik pentadbiran oleh Pas temasuk di peringkat kampung dan daerah. Dahulu semasa Umno masih memerintah, insan yang memihak kepada Pas akan berbual bicalah mengenai kroni, rasuah dan pilih kasih dalam kalangan ahli Umno.  Oleh kerana di desa, maka mereka juga masak memberi dalil kejelekan parti lawannya di desa juga.

Saya perhatikan, perkara yang menjadi pertikaian bukan sahaja soal teknikal dalam pengurusan yang menjadi tonggak parti-parti politik.  Mereka di desa-desa, jika sudah memihak kepada sesuatu parti politik juga akan melihat ruang peribadi seseorang berdasarkan pegangan politiknya.  Soal kekerapan solat di masjid pun dinilai daripada partinya. “Ah, memang orang parti Umno begitu”  atau “Ha, yalah.., bercakap saja pandai macam orang Pas”.

Apakah keadaan masyarakat muslim yang saling mengeji peribadi masin-masing merupakan lumrah dalam Islam dan merupakan warisan sepanjang zaman?  Juga, apakah situasi seperti ini merupakan normal dan diiktiraf sewaktu melakukan ibadah Hari Raya 1 Syawal?

Apabila pulang ke rumah, terpaksalah merenung semula maklumat yang diterima.  Mujurlah teringat ayat yang masyhur berkenaan larangan berhati-hati apabila mendengar berita daripada orang fasik.  Ayat 6 surah al-Hujurat, “Wahai orang-orang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada satu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

Memanglah saya tidak mengatakan si pulan dan pulan itu fasik.  Hal ini sebagai peringatan kerana cerita-cerita yang bermotif politik selalunya diperbesar-besarkan untuk mempengaruhi pendengarnya.  Mungkin betul berlaku, kecil saja, tetapi pihak lawan politiknya membuat tafsiran yang panjang untuk membentuk pandangan umum atau persepsi.  Persepsi ini penting untuk seseorang memihak kepada mana-mana parti politik.  Maka, bagus ayat 6 surah Hujurat itu digunapakai.

Selain itu, inilah akibat menerima sistem Barat (baca penjajah Barat / Ahli Kitab) iaitu demokrasi berparlimen yang antara elemennya ialah pembentukan parti-parti politik.  Dengan penubuhan parti-parti politik inilah perbedaan pendapat dikumpulkan dan didebatkan.  Bukan mudah untuk mendebatkan soal pengurusan saja dan tidak mendebat soal keluarga dan peribadi. Ya, bukan mudah, dan telah pun gagal. Justeru, di mana-mana juga apabila dimulai dengan debat soal teknikal pengurusan atau pentadbiran, maka yang menambah sedap umpat keji ialah soal peribadi.  Sah, Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara) telah berjaya dalam misi mereka. Kita yang beriman patut sedih, bukan menjadi salah satu mata rantai menjayakan misi Ahli Kitab itu!

Begitulah salah satu wajah Idulfitri 1 Syawal kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan