Pengikut

Jumaat, September 24, 2010

MENGAPA tidak pilih Hindu, Buddha dan Kristian?

KITA berfikir sejenak mengenai penciptaan Allah atau Tuhan yang satu. Pengetahuan yang kita miliki mudah saja untuk membawa pengertian mengenai apa yang berlaku di sekeliling.

Agama ialah satu sistem kepercayaan terhadap Tuhan.  Semua agama merupakan prinsip tumpuan menerima Tuhan sebagai penguasa yang sangat hebat. Kalau ada satu ketekunan yang tidak memberikan tumpuan kepada penerimaan kuasa hebat sebagai Tuhan, itu bukan takrifan agama.  Sebagai contoh, penerimaan bolasepak oleh sebagian manusia sehingga sanggup berkorban dan mati kerana sukan berkenaan, itu bukanlah agama sebab bolasepak bukan ritual menghubungkan manusia dengan kuasa hebat Tuhan.


Tuhan menjadi pencipta dan pengatur maha hebat di alam jagat ini.  Tuhan yang hebat (bernama Allah) diakui oleh semua manusia.  Nama Tuhan yang hebat ini mungkin berbeda-beda berdasarkan budaya dan bahasa manusia seantero dunia, tetapi konsepnya tetap sama. Fitrah manusia normal ialah mencari, menerima dan melaksanakan hubungan dengan Tuhan yang maha hebat ini.  Maka manusia mempunyai agama sebagai sistem menghubungkan dirinya dengan pencipta maha agung itu.

Demikianlah, tetapi manusia tidak memilih satu nama agama saja, menjadi pelbagai pula. Dalam sebuah pekan kecil pun ditemui orang beragama Islam, Hindu, Buddha, kristian dan animisme.  Secara umum semua manusia ini telah menepati fitrah iaitu menerima kekuasaan Tuhan dengan jalan agama.  Allah bukan sahaja mencipta manusia, malah semua yang ada di alam jagat ini.  Semua ciptaan Allah ini ditentukan fitrahnya masing-masing.

Dalam dunia haiwan, ikan hidup dalam air dan tidak mungkin hidup di luar habitat yang disediakan.  Lembu, kambing dan jenis haiwan memakan tumbuh-tumbuhan tidak mungkin bertukar menjadi haiwan pemakan daging.  Begitu juga haiwan pemakan daging tidak boleh menjadi pemakan tumbuh-tumbuhan.  Contoh lain Allah menjadikan bakteria untuk mereputkan fizikal makhluk lain.  Tugas atau semua fitrah ini tidak pernah berubah-ubah sekalipun masa berubah berzaman-zaman. Dapatlah diertikan semua ini sebagai ketaatan makhluk kepada pencipta dan pengaturnya yang mana hebat itu, Allah.

Manusia memilih agama untuk menghubungkan dirinya dengan tuhan, betul. Manusia memilih sesuatu objek atau menentukan sendiri ciri dan sifat Tuhan yang diterimanya sebagai penguasa maha hebat, itu salah.  Kerana manusia menentukan sendiri ciri dan sifat Tuhan inilah yang menjadikan adanya jenama agama lain selain Islam.  Malangnya secara kasar, daripada enam bilion manusia di dunia, hanya ada satu setengah bilion menerima ciri dan sifat Tuhan yang ditetapkan sendiri oleh-Nya iaitu Allah. Merekalah yang memilih Islam, yang bertauhidkan Allah sebagai Tuhan. Mereka dinamakan muslim, yang menerima Allah sebagai Tuhan, dan tidak mengurangkan apa-apa kuasa dan peranan-Nya.

Pemeluk agama lain, menerima Allah sebagai Tuhan yang yang mencipta, tetapi ada yang mengurangkan kuasa-Nya dengan percaya sebagian kuasa Allah ada pada makhluk lain.  Maka timbulkan kreativiti mencipta berhala sebagai satu simbol kepercayaan itu.  Selain itu ada penganut agama yang mencipta kepercayaan adanya pembantu Tuhan seperti dewa dan dewi, di situlah mereka tidak memilih Islam.

Di sisi Allah bagaimana? Allah sendiri menjelaskan sia-sia sesiapa yang memilih agama selain Islam, bererti sesiapa yang menerima Allah sebagai Tuhan tetapi tidak jitu mempercayai hanya Allah  sebagai penguasa terhebat, habislah mereka.  Maksud firman Allah sendiri surah ali-Imran ayat 83: Maka mengapa mereka mencari agama selain agama Allah, padahal apa yang di langit dan bumi berserah diri kepada-Nya (sama ada) suka atau terpaksa, dan hanya kepada-Nya mereka dikembalikan.  


Ayat 85 pula:  Dan siapa yang mencari agama selain Islam dia tidak akan diterima, dan di akhirat termasuk golongan yang rugi.

Manusia yang menerima ciri atau sifat Allah sebagai Tuhan dalam Islam merupakan manusia yang menuruti fitrah.  Konsep dan sistem kepercayaan muslim bersih, seperti makhuk-makhluk lain yang bersih dan tepat berada dalam fitrahnya sepanjang zaman.

Adakah manusia selain Islam berfikir mengenai perbandingan antara kepelbagaian agama dengan ketepatan peranan makhluk lain di dunia?  Semoga yang muslim menjaga ketepatan fitrahnya sama seperti makhluk lain (Allah sebut yang di langit dan bumi berserah diri kepada-Nya) yang tepat dalam fitrahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan