Pengikut

Rabu, September 15, 2010

WALIMAH dan kondangan di sisi sunnah

ADAT, apabila disebut golongan yang mementingkan adat dan meninggalkan agama kerap ditujukan kepada orang-orang Minangkabau yang mengamalkan Adat Perpatih.  Hujah mereka ialah Adat Perpatih berlawanan dengan syariat Islam: Islam utamakan lelaki tetapi adat itu utamakan perempuan. Harta pusaka lebih untuk lelaki berdasarkan syariat Islam, tetapi Adat Perpatih utamakan anak perempuan. Hah, puaslah dapat mendakwa orang lain melanggar agama menggunakan adat. Yang bukan orang Minangkabau, yang tidak mengamalkan Adat Perpatih sudah sucikah daripada mengutamakan adat berbanding al-Quran dan Sunnah Nabi?


Adat telah wujud sebelum Islam diterima oleh nenek moyang kita. Adat atau budaya dalam kehidupan terbentuk hasil perubahan sosial masyarakat berdasarkan pegangan agama, sejarah cara hidup, keadaan geografi dan zaman.  Oleh kerana adat berubah dari masa ke semasa, biasa didengar ayat, “orang muda zaman sekarang tak pentingkan adat zaman dahulu”. 

Kaum saya, Jawa dan suku-suku Melayu lain pun mempunyai adat. Adat berkahwin, menerima anak, kematian dan pelbagai lagi. Selepas bulan Ramadan, apabila tiba musim cuti maka tersusunlah jadual kenduri perkahwinan di mana-mana. Kenduri kahwin ini meriah dan modalnya besar kerana pengaruh adat, bukan tuntutan agama pun.  Kaum saya pun tidak kurang hebatnya melaksanakan adat kahwin. Tidak banyak yang hanya laksanakan akad nikah dan memberi jamuan percuma kepada kira-kira 50 orang jiran tetangga!

Saya sentuh soal kondangan saja.  Kondangan ini kepada suku Melayu lain disebut salam berkaut atau salam berduit. Kondangan ini wajib kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan.  Kondangan mesti dengan wang ringgit, bukan salam kosong. Malu bagai tak memakai pakaian di khalayaklah jika dalam majlis kenduri kahwin atau muputi (dapat anak) bersalam kosong.  Saya pernah dengar ada orang tua yang terperangkap dalam majlis yang kena kondangan, tetapi satu sen pun dia tak bawa wang. Katanya, “kalau dapat bertukar jadi katak pun sanggup waktu itu, malunya nak bersalam kosong!”

Jika dalam sehari ada tiga atau lebih majlis perkahwinan yang dirinya diundang, maka dipilihlah mana yang hendak dihadiri.  Bukan soal malas atau sibuk, tetapi kerana jika hadir mesti dengan kondangan. Kondangan itu duit! Maka ada beberapa majlis yang sengaja tidak dihadiri kerana tiada duit untuk berkondangan.

Orang yang membuat kenduri kahwin pun boleh tumbangkan dua ekor lembu!   Cuba kira, purata seorang  kondangan RM10.00, jika yang hadir 700 orang saja sudah dapat RM7,000.00!  Memang tak dapat menampung semua kos majlis tetapi dapat menampung 50 peratus pun mereka kata OK.

Syariat Islam kata apa terhadap majis perkahwinan yang disandarkan pada kondangan sepert itu? Kita lihat hadis Rasulullah berkenaan kenduri atau jamuan perkahwinan.

Daripada Anas bin Malik maksudnya, “Rasulullah telah melihat (pakaian) Abdulrahman bin Auf ada kesan kuning (bau harum zafran) lalu bersabda: Apa ini?  Jawab Abdulrahman: Saya telah berkahwin dengan seorang perempuan yang mas kahwinnya seberat nawah emas.  Baginda bersabda: Allah memberkati engkau, dan  buatlah walimah (jamuan) walau dengan seekor kibas.” (Riwayat at-Tirmizi)

Daripada hadis di atas, Rasulullah memerintahkan dibuat kenduri menjamu orang apabila telah (sudah dilakukan) bernikah.  Buat kenduri walau menjamu dengan seekor kibas, ertinya mesti dilakukan walau bilangan yang hendak dijamu kecil.  OK, orang pun faham tak salah buat jamuan untuk 1000 orang kerana mampu!

Bagaimana dengan adat kondangan yang menyebabkan orang berduit (kaya) boleh hadir dan yang tidak ada duit (miskin) terpaksa tidak hadir?  Lihat hadis di bawah.

Daripada Abu Hurairah maksud sabda Rasulullah: Makanan yang keji ialah makanan di majlis walimah (perkahwinan) iaitu yang diundang orang kaya-kaya sahaja dan ditinggalkan orang-orang fakir.  Sesiapa yang tidak hadir telah melakukan maksiat kepada Allah dan rasul-Nya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam adat kaum saya, memang semua (kaya dan miskin) diundang tetapi adat kondangan (beri wang kepada tuan rumah) merupakan penentu kaya atau miskin. Kepada si kaya jika sehari ada 10 undangan majlis walimah pun, dia pasti hadir. Bagi si miskin, majlis walimah disebelah rumahnya pun tidak dihadiri kerana tiada wang untuk kondangan. 

Nah kaumku, tidakkah adat kondangan itu menjadi penentu sebenar untuk hadir ke majlis walimah?  Jangan hanya mengata orang Minangkabau saja melanggar agama, Jawa pun ada utamakan adat berbanding agama.

Salahkah kondangan? Secara umumnya tidak. Asal adat murni untuk saling membantu biaya perkahwinan. Masalahnya ialah kini kondangan sudah menjadi satu kewajiban sehingga siapa yang tidak ada wang untuk kondangan, tidak hadir majlis. Dalam sunnah, memenuhi undangan walimah itu wajib. ‘kewajiban’ kondangan  ini menyalahi sunnah nabi.

Jika masyarakat sanggup menerima tetamu majlis yang tidak kondangan, tidak dijeling-jeling, diperli-perli, diumpat-umpat atau disisihkan untuk majlis sosial lain, silakan terus dengan kondangan. Sesetengah tempat di Pahang (pengalaman saya) tidak kisah sangat soal kondangan ini. Saya pun aman, kadang-kadang kondangan dan ada kalanya salam kosong saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan