Pengikut

Rabu, September 23, 2009

MENGAPA idulfitri hari bersedih?

ALLAHU Akbar, Allahu akbar, Allahu akbar. Allah maha besar! Salam idulfitri tahun 1430 hijriah. Idulfitri adalah hari kemenangan setelah menempuh badai percubaan selama sebulan pada Ramadan. Kemenangan ini tentulah dirayakan dengan suasana gembira dan meriah. Pada zaman Rasulullah, ada sahabat-sahabat yang bergendang merayakan idulfitri. Janganlah bersedih pada hari ini.

Sekalipun gesaan bergembira, masyarakat kita melayan perasan melankolik. Kerana budaya balik kampung atau mudik untuk bertemu dan bermesra dengan kaum keluarga sanak saudara, maka emosi mengatasi akal yang disaran oleh sunah Nabi. Banyaklah acara emosi bersedih-sedihan bermula dengan gema takbir yang mendayu-dayu bagai baru kehilangan kekasih tersayang. Takbir idulfitri ini (termasuk iduladha) sudah diset lagunya yang meruntun dan melemahkan perasaan pada hari kemenangan dan kegembiraan. Aneh sekali kerana takbir asasnya satu laungan besar tanda kemenangan dan kegagahan. Menyebut ‘Allah maha besar’ berulang kali sambil menangis, aduh gawat.

Khutbah yang saya dengar terbaru ini pun isinya banyak mengajak khalayak menghimbau kenangan lama dan sedih di celah-celah kehidupan. Maka pak khatib yang berkhutbah pun jadi emosional, menangis di mimbar! Khutbah yang wajib membangkitkan semangat tinggi dengan laungan takbir sudah menjadi pentas drama air mata. Apa ini?

Kesedihan yang tidak dapat dielak pada idulfitri ialah menerima kematian mendadak. Di tanah air kita ini yang punya 27 juta jiwa, dalam tempoh dua minggu perayaan ini boleh dijangka dengan kematian angkara kecelakaan jalan raya sekurang-kurangnya 270 jiwa. Hal ini bermakna dalam suasana idulfitri, sehari Malaysia menerima korban jalan raya 19 orang, tidak termasuk yang menderita parah di rumah-rumah sakit. Tidak harus menyalahkan takdir Allah kerana tingkah laku di jalanan ini bikinan manusia sendiri.

Pemerintah sudah menyiapkan segala undang-undang atau hukum untuk kebaikan pengguna jalan raya, maka wajiblah mentaati semua itu. Banyak yang ingkar undang-undang ini walhal kepatuhan terhadapnya merupakan perkara yang diwajibkan Allah dalam al-Quran surah An-Nisaa’ ayat 59. Maka selama mentaati undang-undang jalan raya (yang diusahakan pemerintah kerana diberi wewenang oleh Allah), maka selama itu menjadi ibadah di sisi-Nya. Kemudian siapa yang ingkar undang-undang jalan raya ini, dia pun ingkar perintah Allah!

Kemudian menjadi satu penerimaan umum, jika di negara-negara miskin Afrika banyak penduduknya mati kerana kurang makan, di Malaysia banyak penduduknya mati kerana terlebih makan. Sebut saja penyakit kerana terlebih makan seperti sakit jantung, kencing manis (diabetes) dan darah tinggi, semua itu gara-gara serakah melahap makanan. Hari raya juga bagaikan pesta makanan yang cukup untuk memulakan atau membekalkan darjat tiga jenis penyakit berkenaan. Terimalah begitu jika memang kebanyakan muslim malas untuk beraktiviti jasmani berbanding kaum tionghua yang bukan muslim. Aneh, sepatutnya yang muslim sangat prihatin hal kesihatan. Ini satu tanda ilmu wajib difahami dan diamalkan, bukan sekadar mendoa agar Allah menyelamatkan diri daripada mara bahaya.

Justeru, Islam menganjurkan supaya berpuasa enam hari yang boleh dimulakan pada dua Syawal. Saran ini untuk mengimbangi keserakahan dalam banyak hal pada hari yang disambut sangat meriah. Jelas, Islam tetap memberi imbangan yang adil dalam meminta penganutnya bergembia ria.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan