Pengikut

Khamis, September 03, 2009

DAMAIKAN perselisihan umah

DALAM sebuah akhbar milik satu organisasi politik terdapat seorang tokoh muda Perlis yang diberitakan membuat ‘laporan polis’ terhadap seorang ustaz. Akhbar itu menyebut tokoh muda politik itu menggesa disiasat ustaz berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan dalam ceramahnya bahawa solat hajat perdana sebagai amalan bid’ah. Kata sang tokoh, kenyataan ustaz berkenaan bukan daripada ajaran Islam sebenar dan solat hajat ini sudah menjadi satu kebiasaan.

Lama sebelum itu sudah berlaku saling tuduh-menuduh antara Umno dan Pas. Umno menuduh Pas mengamalkan ajaran Islam sempit yang bukan ajaran Islam sebenar. Sementara Pas menuduh pula Umno sebagai kumpulan sekular yang memisahkan agama daripada politik.

Dalam hal yang tidak ada kaitan dengan politik, ditimbulkan kenyataan mengenai usaha-usaha tajdid yang cenderung dikaitkan dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang waktu itu menjadi Mufti Perlis. Maka muncul suara menggesa supaya dipertahankan Islam arus perdana, yang sudah diterima sejak zaman berzaman.

Selain pertikaian-pertikaian berkenaan, banyak lagi tuduhan, debat, sindir-menyindir dan entah apa lagi dalam kalangan masyarakat. Masing-masing menyatakan pemahaman Islamnya sebagai Islam sebenar. Frasa ‘Islam sebenar’ tentunya untuk memberi gambaran mudah kepada masyarakat ajaran Islam yang sah. Sah, bererti bersumberkan daripada alquran dan hadis nabi yang sahih. Jika mengatakan Islam sebenar tetapi tidak disandarkan kepada sumber asal ajaran Islam, jelaslah kenyataan Islam sebenar hanya untuk menyedapkan hujahnya. Nampak lebih jujur dengan istilah Islam arus perdana yang seperti mengakui amalan Islam yang tidak semestinya tepat seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah pada abad ketujuh dahulu.

Daripada semua itu baguslah diperhatikan satu hadis Rasulullah yang menerangkan mengenai perbalahan dalam kalangan umat Islam, dan apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang mahukan kebenaran.

Maksud sabda Rasulullah, “Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat.” (Hadis sahih riwayat Abu Daud, Tarmizi, Ibn Majah, Al-Darimi dan Ibn Hibban)

Allah telah mengajar umah untuk menyelesaikan perselisihan ini dengan kembali kepada ajaran yang asal iaitu ‘kembali kepada Allah dan rasul-Nya’, bererti merujuk pertikaian itu berdasarkan ajaran al-Quran dan sunnah. Ayat 59 surah An-Nisa’ (bermaksud) “Hai orang-orang beriman, taatilah Allah dan rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan rasul-Nya (sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Islam itu hanya satu dan telah sempurna (surah al-Maidah ayat 3), tambahan pula orang-orang yang beriman itu sebenarnya telah disahkan bersaudara oleh Allah (surah al-Hujuraat ayat 10). Perselisihan dan perbedaan pendapat memang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana komuniti masyarakat, malah dalam sebuah keluarga kecil pun. Punca perbedaan pendapat ialah pemilikan ilmu,latar belakang sejarah dan budaya, cara pentafsiran dan menjaga kepentingan yang berbeda antara satu sama lain.

Sekalipun al-Quran dan sunnah ada di hadapan mata, rupa-rupanya banyak perselisihan tidak dapat diselesaikan. Punca keadaan buruk ini berterusan ialah kerana tidak benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Demikianlah Allah menetapkan syarat untuk membereskan masalah, melenturkan keegoan seseorang ialah dengan syarat benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Tanpa benar-benar beriman ini, tentulah yang bertelingkah akan mencari apa hujah termasuk yang ada dalam al-Quran dan mentakwil maksudnya untuk membela pandapatnya.

Syarat beriman terhadap hari kemudian ialah mengingat hari mati dan pembalasan. Apabila kematian datang, semua manusia menyerah kalah kepada Allah. Maka sebab itu Allah mensyaratkan supaya merasakan diri akan mati dan seperti akan terus di bawa ke pengadilan Tuhan dalam mengendurkan ketegangan supaya keegoan mempertahankan pendapat dapat diredakan.

Nampaknya dua syarat kembali kepada ajaran Allah dan rasul-Nya, jika tidak disertai ketelusan dan keikhlasan benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian (pembalasan) masih menemui jalan buntu. Oleh itu masih banyak perselisihan, perdebatan dan tuduh-menuduh yang telah turun-temurun kerana mempertahankan ego dan degil masing-masing. Apabila sudah tidak ingat mati, semuanya dilanggar, kata orang membujur lalu melintang patah!

Dalam hal mempertahankan keegoan ini ada satu hadis Rasulullah yang boleh direnung. Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Patutlah Allah menyatakan dalam al-Quran banyak manusia yang lalai, rugi, tidak berfikir (ke arah kebaikan) dan sebaliknya itu Allah juga menegaskan hanya sedikit hamba-hamba-Nya yang bersyukur, yang mendapat nikmat, dan mendapat balasan baik. Semuanya terbentang di hadapan mata, menjadi satu lagi bukti kebenaran al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan