Pengikut

Selasa, Julai 21, 2009

WADUH Pak Anwar!

Di Malaysia ada satu peristiwa besar yang bersejarah dan mempunyai pengertian tersendiri. Kesannya juga besar dan panjang, sama ada dilihat dari sudut politik pro-Umno atau kontra-Umno. Pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatannya Timbalan Perdana Menteri (1998) dan kemudian tuduhan-tuduhan salah laku seksnya menjadikan keadaan yang asalnya damai menjadi kacau-bilau.

Asalnya cuma pemecatan jawatan, namun Anwar tidak berhenti di situ sebaliknya membawa rakyat di belakangnya. Oleh kerana Anwar mahu berkuasa sebagai Perdana Menteri juga, maka dia memilih jalan di luar Umno dan mencari sokongan musuh-musuh Umno-Barisan Nasional. Untuk menarik sebanyak mungkin sokongan rakyat terutamanya bukan Melayu, tentulah Anwar menawarkan hal yang tidak mungkin diperoleh melalui BN. Melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar menjanjikan sesuatu yang BN tidak boleh memberikannya.

Kesannya besar dan memecah budaya politik kaum-kaum di Malaysia. Pertama: Sebelum pemecatan Anwar, orang Melayu dan bukan Melayu percaya bahawa hanya orang Melayu yang menjadi pemerintah negara. Tidak mungkin Perdana Menteri dan menteri-menteri utama daripada bukan Melayu. Pilihan raya 2008 yang dipimpin oleh Anwar telah memberi harapan besar bahawa orang bukan Melayu boleh memerintah negara melalui seni politik dan faktor nasib.

Kedua: Sebelum pemecatan Anwar, amalan Umno dalam BN yang diterima oleh majoriti rakyat ialah Melayu dominan. Maka apa juga dasar dalam negara memperlihatkan kecenderungan memberi kelebihan kepada rakyat Melayu dan bumiputera. Selepas Anwar dipecat dan menggerakan pakatan pembangkang melalui Pakatan Rakyat (PR), dasar partinya lebih terbuka dan tidak menjanjikan dominan Melayu. Hal ini sangat menarik minat bukan Melayu dan menyebabkan banyak pengikut BN menyeberang ke PKR-PR. Oleh kerana PRU 2008 menyaksikan 50 peratus memihak kepada PR, maka boleh disimpulkan bahawa pemikiran liberal (bukan Malay dominant) menjangkau 50 peratus rakyat Malaysia.

Ketiga: Sebelum pemecatan Anwar manhaj politik Pas bersifat lokal dan dasarnya sangat mencurigakan masyarakat bukan Melayu. Melalui peranan Anwar, Pas menanggalkan baju tradisionalnya dan membuka pendekatan baru dalam politik sehingga begitu banyak pengundi bukan Melayu memilih calon-calon Pas. Maka nampaklah hasilnya, Wakil-wakil Rakyat Pas muncul di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Keempat: Sebelum pemecatan Anwar, secara majoriti suara orang Melayu melalui Umno dan dilaksanakan oleh BN. Namun selepas pemecatan Anwar, pemikiran orang Melayu bergerak ke arah Pas-PKR dan Umno-BN. Kini suara orang Melayu yang sama seperti suara liberal DAP itu sudah merebak dengan pantas termasuk dalam Pas. Di balik itu, suara bukan Melayu sebenarnya tidak berpecah kepada DAP-PKR dan MCA-MIC kerana apa juga isu yang menyentuh hal mereka disantuni dengan baik tanpa mengira daripada parti politik mana.

Pergerakan pemikiran politik, ekonomi dan sosial ini dijangka akan berterusan sehingga PRU 2013. Banyak penganalisis melihat PRU 2013 kelak sebagai penentu jaya gagalnya antara dua mazhab politik Umno-BN atau PKR-PR. Untuk lebih difahami ialah perang ideologi antara Melayu Dominan (BN) atau Liberalisme (PR). PRU juga dilihat penentu masa depan PR kerana itu sahaja peluang Anwar untuk menjayakan misinya sebagai PM. Perlu diingat, sejak merdeka tidak ada manusia yang berjaya menggerakkan DAP dan Pas dalam satu misi negara tetapi Anwar berjaya sepenuhnya mengurus konflik ideologi PR. Namun persoalan besarnya, Anwar belum menunjukkan pengganti yang berwibawa sepertinya.

1 ulasan:

  1. Anwar telah banyak merubah lanskap politik Malaysia sejak PRU 12 hingga kini. Matlamatnya hanya satu - hendak menjadi PM walau dengan apa cara sekalipun.Soal bangsa melayu mahupun agama Islam tidak penting.Perjuangan politik apapun yang dibawa dan dicanangnya sekarang hanya tempelan. Semua itu hanya politik palsu Anwar untuk mencapai cita-citanya. Bagi bangsa melayu, dia sangat bahaya kerana bakal akan memusnahkan bangsa dan bagi agama Islam pula dia akan menjadi punca Islam palsu yang dibawanya. Bahaya kerna apabila ketentuan tuhan tiba,yang menanggungnya ialah rakyat dan negara.

    BalasPadam