Pengikut

Khamis, Julai 30, 2009

AGAMA, kenderaan, DVD: Yang tulen dan palsu

DALAM diri manusia ada satu fitrah yang mahukan hal-hal terbaik, yang asli atau tulen. Sebagai contoh, pemilik kenderaan seboleh-bolehnya mahu mencari alat ganti kenderaan yang tulen, bukannya yang palsu. Mana-mana pemerintah juga mempunyai pendirian menyokong hal-hal tulen dan membanteras perkara palsu. Di negara kita misalnya kerajaan bertungkus-lumus memerangi cetak rompak khasnya produk palsu hiburan. Banyak premis perniagaan diserbu untuk menyita barangan palsu. Pendek kata, daripada golongan atasan hinggalah masyarakat marhaen, kecenderungan mencari ketulenan adalah satu tabii dan kerja terpuji. Sebaliknya orang yang suka mencari perkara-perkara palsu, dipandang rendah dan dianggap tidak siuman!

Setelah berlalu lebih 1400 tahun, dan Islam merentas pelbagai wilayah dan budaya, adakah umat Islam tetap kepada fitrah mencari yang tulen atau sudah tidak perduli sama ada hal akidah dan ibadahnya diselaputi kepalsuan? Apabila ada majlis berkaitan dengan al-Quran, maka diseru umah supaya berpegang kepada ajaran al-Quran. Kemudian pada musim sambutan Maulidur Rasul, diseru pula agar mencontohi sunah Rasulullah. Hanya sebutan retorik itu sahajalah yang dihafal, namun masyarakat masih tidak diajak mencari ketulenan dalam beragama.

Mencari ketulenan dalam agama pasti merujuk kepada sumber asal iaitu al-Quran dan sunah. Jika amalan agama disandarkan kepada pendapat ulama, amalan biasa masyarakat dan warisan nenek moyang, jelaslah amalan agamanya tidak tulen sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah. Oleh itu mempelajari al-Quran dan sunah adalah wajib, dan menilai kembali semua amalan supaya sesuai dengan dua sumber itu juga wajib. Ya, wajib kepada yang mahu ketulenan, yang asal daripada nabi. Yang sudah tidak mahu kepada ajaran nabi (yang asal) tentulah mencari helah dan taktik termasuk mentakwil atau mentafsir mana-mana ayat al-Quran dan hadis nabi supaya disesuaikan dengan amalan barunya.

Perkara agama yang tulen dan sah untuk dicontohi ialah pada zaman Rasulullah dan sahabat, tabi’en (selepas zaman nabi) dan selepas tabien. Menurut Imran bin Hussein, bahawa Rasulullah bersabda (maksudnya): Sebaik-baik zaman ialah zamanku (termasuk sahabat), kemudian zaman sesudahku (tabi’en) dan kemudian sesudah mereka (sesudah tabi’en).” Hadis riwayat Bukhary.

Manakala ayat al-Quran yang mengesahkan contoh daripada Rasulullah cukup jelas. Perhatikan maksud ayat 21 surah al-Ahzab, “Demi sesungguhnya bagi kamu, diri Rasulullah itu contoh ikutan yang bagi yang sentiasa mengharap (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat, dia (yang mencontohi nabi) banyak menyebut dan mengingati Allah.”

Amalan pada malam Jumaat yang tulen dan sah dicontohkan oleh Rasulullah ialah membaca surah al-Kahfi, manakala yang palsu atau tidak sah daripada Rasulullah ialah membaca surah Yassin! Sekarang apabila menghampiri bulan Ramadan, banyak orang Melayu kita membuat kenduri arwah iaitu menjamu orang makan dan membaca beberapa ayat al-Quran yang pahalanya diposkan kepada arwah-arwah. Perkara ini tidak ada contoh daripada zaman yang disebutkan oleh nabi. Jelaslah kenduri arwah rekaan atau amalan palsu sahaja. Lalu orang bertanya: Jika kenduri arwah tidak dilakukan oleh Rasulullah, kami hendak buat apa? Jawabnya ialah: Kalau sudah tahu Rasulullah tidak berbuat kenduri arwah, maka tidak buat hal itu samalah mengikuti Rasulullah.

Oleh kerana dalam minda dan budaya sudah sebati dengan kenduri arwah sejak zaman sebelum datangnya Hindu-Buddha lagi, maka masyarakat Melayu kita sangat curiga jika tidak melakukan kenduri arwah! Kata mereka, bagaimana nasib roh nenek-moyang kita di sana? Jawaban Rasulullah begini: Daripada A’isyah r.a, Nabi bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami (urusan agama) perkara yang tidak ada padanya, maka hal itu tertolak.” Hadis riwayat Bukhary. Berdasarkan sabda Rasulullah kenduri arwah sekalipun disolek dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, tidak berguna di sisi Allah dan rasul-Nya. w.a.

1 ulasan:

  1. Asslamu'alaikum..

    Riwayat yg mengatakan amalan Nabi saw baca surah al kahfi atau surah ad dukhaan juga dari riwayat2 yg dhoif. Tidak ada hadis sahih yg Nabi saw khususkan baca apa2 surah di malam jumaat.

    Wassalaam....

    BalasPadam