Pengikut

Isnin, November 26, 2007

Solat saja di atas jalan!

BAYANGKAN tiga juta manusia berhimpun dalam satu kawasan dan dengan mudah dipimpin oleh seorang manusia yang bukan daripada bangsanya. Situasi ini hanya berlaku dalam satu peristiwa tahunan dunia: solat lima waktu di masjidil haram Makkah semasa musim haji. Disiplin ini sebenarnya mudah saja sebab sejak kecil setiap muslim di seluruh dunia sudah diajar menerima pakai panduan imam dalam solat, maka apabila dihimpun bersama bangsa-bangsa lain, disiplinnya tetap sama. Orang di luar dunia muslim mungkin kaget dan terpinga-pinga kerana perhimpunan sebegini besar tidak ada dalam mana-mana aktiviti agama atau sosial lain.

Solat berjemaah, di masjid mana-mana pun disiplinnya tetap sama: yang lelaki diutamakan di hadapan, berapat-rapat dan mengikut apa sahaja pergerakan imam. Di Malaysia begitu, di Makkah dan Madinah juga tidak berbeda. Kerap penceramah menegur bakal-bakal haji supaya segera masuk ke masjid untuk mencari keutamaan di saf hadapan bagi lelaki, dan bagi perempuan juga digesa masuk untuk memenuhi ruang solat perempuan. Mengapa penceramah berpesan demikian?
Oleh kerana di Makkah dan Madinah, para hujaj tidak ada aktiviti lain yang utama selain solat berjemaah, maka semua faham rutin dan keadaan yang dialami dan bakal berlaku. Bayangkan dua juta dan kemudian menjadi tiga juta (saat menghampiri 8 zulhijah) berhimpun untuk setiap solat lima waktu. Satu jam sebelum azan, orang sudah mula memasuki masjid. Setengah jam kemudian semua ruang masjid penuh. 15 minit kemudian lagi, seluruh halaman masjid dan jalan-jalan dipenuhi manusia yang sudah bersedia dengaan ruang solatnya. Maknanya semua jemaah tahu dan faham segenap laman, jalan dan ruang terbuka kira-kira setengah kilometer dari pintu-pintu masjid akan diguna untuk solat berjemaah.

Dalam keadaan demikian, di manakah sepatutnya kita menempatkan diri? Sebab itu penceramah dalam kursus berkali-kali mengharap jemaah haji agar hadir awal ke masjid dan mencari ruang terbaik dalam masjid. Namun banyak memilih jalan mudah. Sekalipun turun awal ke masjid, mereka tidak masuk ke masjid, sebaliknya membuka sejadah di tepi-tepi jalan atau lorong kedai kerana tahu manusia akan memenuhi ruang-ruang itu sehingga semua jemaah solat bercantum antara satu sama lain.

Memang banyak manusia, banyaklah kerenah dan ragamnya. Sebenarnya ragam memilih tempat solat di Makkah sudah terdidik di tanah air lagi. Maaf jika dikatakan bahawa di mana-mana kawasan penduduk, tidak sampai satu peratus yang berusaha menjaga solat berjemaah lima waktu di masjid. Bagi yang sudah berkarat, hanya ke masjid pada hari Jumaat, mereka akan memilih serambi masjid sebagai ‘port’nya sekalipun ruang dalam masjid masih luas. Yang di tanah air tidak merasa ‘keseronokan’ mendatangi masjid dan merebut saf pertama, maka apabila sampai di Makkah juga akan bersikap serupa. Merekalah yang terlebih awal membuka port di tepi-tepi jalan sekalipun azan akan dilaungkan setengah jam kemudian! Ada yang komen: Berpuluh-puluh tahun menunggu hendak ke Makkah, bayar beribu-ribu pilih juga bersolat di atas jalan. Maka dijawab rakannya: Agaknya mereka faham fadilat solat di lorong dan atas jalan lebih besar berbanding paling dekat dengan imam!

Solat, saf paling hadapan dan sentiasa berjemaah sebenarnya bukanlah sangat urusan dunia. Jika orang membuat perbandingan: Orang yang solat dapat rezeki orang tidak solat pun dapat rezeki. Orang solat berjemaah sihat, orang solat sendirian juga sihat. Orang solat di serambi atau atas jalan tetap sah, sama juga sahnya solat di saf pertama. Jawabnya satu sahaja, ini urusan beriman kepada hari akhirat. Janji Allah pasti benar, maka apa-apa yang ditawarkan melalui al Quran dan sunah rasul-Nya akan dikotakan di akhirat kelak. Itu saja….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan