Pengikut

Isnin, November 19, 2007

catatan peribadi (1) padi siraj

BERITA Harian 17 Nov 2007 dalam sisipan ‘Sabtu’ melapor sejenis padi hybrid baru dinamakan ‘siraj’. Saya terus membacanya sebab nama ‘siraj’ adalah nama ayah saya. Betullah, siraj itu nama orang, singkatan mantan DYMM Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin. Tidak perdulilah siapa yang menyarankan nama ‘siraj’ untuk padi hybrid itu, sama ada Mardi atau Bernas atau syarikat RB Biotech Sdn Bhd.

Mengapa padi hybrid ‘siraj’? Datanya ialah Malaysia mengeluarkan 800,000 tan beras (bukan padi) setahun daripada 280,000 hektar sawah padi, dan masih perlu mengimport 1.5 juta tan beras. Negara mengimport beras dari Thailand, Pakistan dan Vietnam. Oh, dengan penanaman padi siraj ini tahun 2010 kira-kira 90 peratus keperluan beras negara dipenuhi.

Saya dan keluarga berbangga padi siraj akan menyelesaikan masalah beras negara. Saya bangga sebab ayah saya memang seorang petani. Sejak kecil sebagai petani. Saya dibesarkan dengan hasil petani, hasil tanam padi. Malah dahulu, beras yang dimasak oleh ibu betul-betul yang ditanam oleh ayah di sawah. Sekarang petani belum tentu dapat menanak beras yang dikeluarkan dari petak sawahnya!

Saya mengikut ayah menjadi petani sejak berumur tujuh tahun. Tradisi di desa saya bukan membuat rumah untuk tinggal tetap di kawasan sawah, tinggal di desa tanaman kelapa tetapi punya sedikit sawah padi kira-kira 7 hingga 10 km dari desa. Dahulu, jarak itu jauh sekali sebab kena berbasikal. Kalau musim menanam atau menuai, kami akan bermalam di gubuk kecil. Begitulah rutin ayah sehingga tahun 1985 apabila saya keluar dari desa kerana masuk universiti. Sejak itu ayah berhenti ke sawah kerana tidak ada pembantu.

Susahkah menjadi petani? Sekarang seorang pesawah padi boleh memakai tali leher! Bermula urusan daripada membajak sehingga menuai, dikerjakan oleh jentera moden. Jadi, pesawah kini hanya perlu menekan handphone meminta pihak menguruskan jentera-jentera berkenaan.

Semasa saya dan ayah buat sawah lecehlah jika dibanding cara sekarang. Namun tahun 1970-an dan 80-an, itu kira oklah.

Mula-mula kena pilih benih padi, kemudian rendam sehingga keluar akar-akarnya macam taugeh. Pergi ke tepi sawah buat tapak semaian. Bagaimana hendak buat? Alas dengan jeramai atau debu bahan bakar atau daun pisang. Cedok Lumpur dari kolam dan ratakan lumpur atas daun pisang tadi kira-kira dua inci tebal. Taburlah benih padi yang sudah berakar itu atas lumpur. Tutup dengan jerami padi supaya terlindung daripada hujan atau panas. Kalau itik datang, lesaplah….

Selepas dua minggu anak padi tumbuh kira-kira enam inci, kena pindahkan ke sawah yang sudah ada air. Pindahkan secara berumpun-rumpun supaya membesar dengan subur sehingga mencapai ketinggian satu setengah kaki. Lepas itu tanamlah. Nanti dulu, tengok sawahnya macam mana.

Selama menunggu anak padi membesar di sawah tadi, bajaklah sawah dengan jentera jenama ‘kubota’, tapi masih kena bersihkan sampah iaitu rumput-rumput yang sudah mati dilibas Kubota.

Maka bermulalah menanam padi. Anak-anak padi yang tingginya sudah satu setengah kaki tadi akan disiat-siat menjadi satu persatu. Satu itu, bermakna satu perdu. Tahu perdu? Tengok rumpun serailah… Cara menanam ialah menghunjamkan akar perdu anak padi di tanah berlumpur dengan menggunakan alat ‘kuku kambing’. Kena buat satu persatu. Kalau satu hektar ada 100,000 rumpun, semua itu kena melalui hunjaman kuku kambing satu persatu! Jarak antara satu perdu dengan perdu lain kira-kira lapan inci.

Setelah membesar dan berbuah, musim menuai. Cara menuai ialah menggunakan sabit, seperti orang mengambil rumput untuk makanan lembu atau kambing. Kumpulkan untuk dibalun atau pukulkan ke dalam tong. Dari tong itu masukkan padi ke dalam guni dan pikul ke tepi jalan. Sama ada untuk dijual atau dibawa pulang ke rumah, guna basikal atau motrosikal.

Bayangkan rumitnya menanam padi zaman 70-an dan 80-an berbanding dengan abad ke-21 ini. Cerita ayah menjadi petani pada zaman Jepun lagi menyayat hati. Menjadi petani,membela lembu dan kambing, telah membolehkan lima daripada enam anak ayah dan ibu mendapat ijazah dari universiti. Saya ingat dan pasti, setiap kali anaknya dapat masuk universiti dijualnya seekor lembu untuk biaya masuk univ.

Nanti jika padi siraj menjadikan hasil petani berganda-ganda lagilah menyeronokkan. Lantaran susahnya menjadi petani, dan sekarang ada padi dinamakan seperti nama ayah saya, saya sekeluarga cukup seronok. Orang lain akan kata ‘perasan’ tapi untuk kami sekeluarga, tidak. Itulah sebagian sejarah seorang petani kecil bernama Siraj.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan