PELAJARI TAUHID DENGAN MUDAH
ILMU tauhid atau akidah merupakan ilmu yang paling penting kepada setiap muslim. Tauhid menentukan seseorang itu menerima Allah saja sebagai tuhan. Itulah tauhid yang benar. Kalau masih menganggap ada kuasa (tuhan) lain selain Allah, itu salah atau masih belum muslim.
Tauhid sebenarnya mudah sekali difahami oleh sesiapa, daripada peringkat kanak-kanak sehingga orang dewasa. Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma wa Sifaat merangkumi tauhid sebenar kepada setiap muslim.
Muslim yang benar akidahnya, pasti akan mengubah sikap dan pemahaman dirinya dalam hidup. Pemahaman akidah yang betul akan membentuk perilaku hidup muslim yang sentiasa sesuai dengan kehendak Allah dan rasul-Nya. Hal ini bermakna, janji kita dengan Allah iaitu syahadah ‘tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah rasul-Nya’ akan menjadikan kita menjaga diri agar sentiasa berada dalam lingkungan kehendak Allah dan rasul-Nya. Berada dalam kehendak Allah dan rasul-Nya, bermakna kita menjadi muslim yang sejati, bukan tiru-tiruan, jadi-jadian, bukan cuba-cuba atau adalah sikit-sikit ikut Allah dan rasul-Nya.
Tauhid Rububiyah
Dengan tauhid ini kita mengakui Allah sebagai tuhan pencipta segala-galanya. Secara mudah, muslim memahami bahawa semua yang ada dicipta oleh Allah atau tuhan yang maha agung. Oleh itu tidak ada tuah, sial, semangat atau kuasa-kuasa ajaib. Semua kuasa hanya kepunyaan Allah. Orang bukan Islam juga mengakui segala-galanya dicipta oleh Allah. Maksud firman Allah, “Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka, ‘siapa yang menciptakan mereka’, mereka menjawab Allah.” (az Zukhruf: 8). Mereka mungkin hanya menyebut Tuhan, God atau Tuan Alah. Mereka yakin ciri-ciri tuhan atau god sama dengan Allah yang difahami setiap muslim.
Tauhid Uluhiyah
Dengan tauhid ini kita menerima peraturan Allah. Misalnya melaksanakan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah mesti bertepatan seperti kehendak-Nya. Maksud firman Allah, “hanya Engkau kami sembah dan minta pertolongan”. (al-Fatihah:5).
Tauhid Uluhiyah menyebabkan manusia memilih Islam. Cara-cara beribadah atau menyembah Tuhan (Allah) berdasarkan contoh ibadah Nabi Muhammad. Contohnya ibadah solat, puasa, zakat dan haji. Jika ada yang mahu menyembah Allah tetapi tidak mahu menggunakan cara-cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad, ibadahnya ditolak. Amal ibadah itu tiada nilai langsung di sisi Allah.
Tauhid Asma wa Sifat
Dengan tauhid ini kita mengenali nama dan sifat Allah. Kita mengenali Allah betul-betul berdasarkan bagaimana Allah memperkenalkan diri-Nya dalam al-Quran dan sunah Nabi Muhammad. Jangan lupa maksud firman Allah “Tidak ada satupun yang serupa dengan Dia (Allah)” (Asy-Syuura:11). Maksud yang mudah, kedudukan dan sifat Allah tidak dapat diserupakan dengan mana-mana bentuk yang difikirkan oleh akal manusia.
Kita beriman kepada al Quran dan hadis nabi, maka kita menerima pengenalan Allah seperti Allah bersemayam di Arasy, wajah Allah, tangan Allah, Allah melihat, Allah mendengar, Allah penyayang, Allah pemurah, Allah pengampun dan bermacam-macam lagi seperti 99 nama Allah. Semua nama dan sifat Allah kita terima, tetapi kita tidak boleh menyamakan sifat-sifat Allah itu seperti yang kita miliki. Jadi bagaimana cara sifat-sifat Allah itu? Misalnya, bagaimana Allah mendengar? Oh, Allah mendengar tapi bukan seperti cara manusia mendengar. Bagaimana wajah Allah? Wajah-Nya tidak menyamai mana-mana gambaran fikiran manusia. Allah maha besar, tidak dapat diserupakan dengan apa-apa pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan